Acara kemuncak FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

BAGI menyemarakkan lagi Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) yang akan berlangsung pada pada 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menganjurkan Intuisi Evolusi Emas FFM33.

Intuisi Evolusi Emas FFM33 adalah program membabitkan forum bertajuk Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku, sekali gus memperlihatkan bagaimana pencapaian FFM mampu menjadi lonjakan besar bagi karyawan filem tempatan.

Barisan panel forum terbabit menampilkan Datuk Rosyam Noor, Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin dan Erra Fazira, manakala, pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar sebagai moderator.

Ellie Suriaty (kiri) sebagai moderator untuk forum bertajuk ‘Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku’.

Erra Fazira, 50, yang pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem “Soal Hati” pada FFM 15 dan “Hingga Hujung Nyawa” (FFM 18) mengakui anugerah dimenanginya itu beri impak daripada sudut kepercayaan karyawan dan penonton.

“Anugerah ini juga beri impak yang sangat besar kepada semua pemenang di mana ia menjadi penanda aras dan menunjukkan peningkatan pada setiap tahun.

“Tipu kalau kata ia tidak beri impak pada karyawan sama ada pengarah, penulis skrip dan kru membabitkan prestasi serta aspek yang lebih baik lagi.

“Justeru, dengan adanya kepercayaan, akan ada karya berat ditawarkan tapi tidak semua pelakon diberi kepercayaan untuk melakonkannya,” katanya.

Perkongsian daripada pemenang anugerah dalam industri perfileman ini boleh dijadikan panduan untuk bakat baharu.

Pelakon dan penyanyi itu tidak menafikan ada berasa beban dengan anugerah diterima dan salah satunya mungkin untuk dirinya terus beri yang terbaik pada lakonan.

“Selepas menang pelakon terbaik mungkin orang akan cakap ini sahaja hasil lakonan? Sebenarnya, kita sudah ada lapisan dan anugerah ini mengubah dari sudut tanggungjawab sebab kita harus beri yang lebih baik lagi.

“Pada masa sama, kita ada tanggungjawab untuk berganding dengan pelakon baharu serta angkat semua orang kerana kita mahu bukan nama kita sahaja naik dalam industri seni kerana nampak tidak seimbang,” katanya.

Rosyam pula sempat berkongsi tip bagaimana pelakon lama sepertinya perlu tahu cara untuk menyesuaikan diri dalam dunia era baharu media sosial sekarang.

Program intuisi Evolusi Emas FFM33 iaitu forum bertajuk Orang Muda Dalam Perjuangan turut diadakan pada hari pertama.

“Bukan sahaja dari segi populariti, tapi lebih sukar mengekalkan nama yang kita ada kerana pelakon hanya boleh bertahan dari segi populariti selama 10 tahun dan selepas itu tempatnya akan diambil pelakon baharu.

“Ini berlaku pada diri saya kerana sangat sukar untuk terus ‘maintain’ (kekal) dalam industri seni pada usia 57 tahun kerana perlu bersaing dengan pelakon baharu yang lebih muda.

“Pelakon baharu adalah pesaing yang sihat dan mereka harus ada untuk teruskan kesinambungan industri seni dan tak boleh nak harap pada pelakon yang sudah tua seperti kami,” katanya.

Kata pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik filem KL Menjerit (FFM 16) dan filem “Kala Malam Bukan Mengambang” (FFM 21) ini lagi, industri seni di Malaysia tidak sama seperti di luar negara.

 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi memeriahkan sambutan FFM ke-33.

“Aspek ekonomi mereka sangat besar dan ada duit untuk pemasaran filem dan menjual ke seluruh pelusuk dunia. Tapi kita pula sibuk bagaimana nak jual karya ke luar negara sedangkan karya dalam negara pun masih belum diterima seluruh anggota masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan India?

“Sama dengan pelakon baharu sekarang di mana proses mereka bermula dari bawah dan ini zaman mereka dan bagaimana kita pula sebagai orang lama untuk tarik peminat yang ada dengan bergabung dengan peminat baharu sekarang,” katanya.

Sementara itu, Fauziah, 62, yang sudah lima dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air memuji dan berkongsi pandangan mengenai senarai pencalonan filem yang berjaya mara ke Top 5 FFM
33 dan menganggap barisan juri yang membuat penilaian juga bukan calang-calang.

“Saya melihat barisan juri FFM kali ini menghargai karya yang bertanding dan itu amat penting bagi kita untuk turun padang dan memahami syot filem apa sebenarnya lakon layar itu?

“Bagi mereka yang ada keinginan untuk mencapai sesuatu, mereka perlu jujur dengan karya dihasilkan terutama dari segi genre dan jalan cerita harus bermula dari satu cerita yang jujur,” katanya.

Bergelar anak seni yang berkualiti bukan mudah kerana ia perlu komitmen yang besar.

Kata pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem “Ali Setan” (1985/1986) dan “Puteri” (1987) ini lagi, dia juga berpeluang menonton filem yang ditayangkan dari satu panggung ke panggung ketika menyertai delegasi Festival Filem Asia Pasifik sebelum ini.

“Saya dapat melihat bagaimana mereka menghasilkan filem yang hebat dan berjaya di panggung dan ia turut menyuntik semangat buat kami sebagai delegasi,” katanya.

Terdahulu, program intuisi Evolusi Emas FFM33 iaitu forum pada hari pertama bertajuk Orang Muda Dalam Perjuangan mengetengahkan barisan panel yang juga pengarah muda prolifik tanah air yang berkongsi pengalaman dalam industri perfileman dan pengarahan. Antaranya, Areel Abu Bakar, Pekin Ibrahim, Kyoll Hamzah dan Datuk Fizz Fairuz.

Previous articleBakat lakonan Elizabeth Tan dihargai
Next articleBeto Kusyairi, Diana Danielle wakil ‘Imaginur’ untuk FFM33

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here