Beto Kusyairi tercalon dalam Top 5 Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 tahun ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEPUTUSAN sama ada Beto Kusyairi bakal dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) atau sebaliknya, hanya diketahui pada 7 Disember ini yang merupakan kemuncak untuk acara yang dinanti-nantikan oleh penggiat seni tempatan.

Bagi Beto, tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik untuk FFM33 pun sudah merupakan satu penghormatan buat dirinya.

Pelakon itu tercalon dalam kategori tersebut kerana lakonannya yang hebat menerusi watak Zuhal dalam filem ‘Imaginur’, arahan Nik Amir Mustapha. Filem ‘Imaginur’ yang meraih pujian daripada pengkritik dan penonton, mengetengahkan tema psikologi dan emosi dengan naratiff yang kompleks.

Diana Danielle (kanan) memegang watak Nur dalam filem ‘Imaginur’.

Melakonkan watak Zuhal, seorang lelaki yang berdepan dengan cabaran mental dan perjalanan emosi yang penuh liku bukanlah mudah. Persembahan Beto dianggap luar biasa kerana mampu membawa kedalaman emosi yang menghidupkan wataknya dengan penuh kejujuran dan intensiti.

Pencalonan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen Beto dalam memberikan mutu lakonan yang konsisten tinggi sepanjang kariernya. Sebelum ini, Beto pernah meraih beberapa anugerah menjadikan pencalonan di FFM33 ini satu lagi bukti kredibilitinya sebagai salah seorang pelakon terbaik Malaysia.

Mengulas mengenai pencalonannya, Beto berkata, ia adalah hasil kerja keras semua pihak dalam menjayakan filem ‘Imaginur’.

“Pencalonan ini bukan hanya untuk diri saya sahaja, tetapi untuk semua yang sudah berusaha keras dan memberikan komitmen yang luar biasa dalam setiap langkah produksi. Ia adalah pengiktirafan terhadap kerjasama dan semangat perjuangan yang telah kami tunjukkan.

“Pencalonan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan, tetapi juga penyuntik semangat bagi diri sendiri dan seluruh pasukan. Ia memberi saya motivasi untuk terus berkarya dan mencari jalan untuk mencipta karya-karya yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga memberi impak kepada penonton,” katanya.

Lakonan Beto Kusyairi sebagai Zuhal dalm filem ‘Imaginur’ meraih pujian ramai.

Beto berharap filem itu dapat membangkitkan minat dan perasaan baharu dalam kalangan peminat filem.

“Saya percaya, bahawa semangat kerjasama dan sokongan yang kami bangunkan bersamasama akan terus memberikan hasil yang luar biasa di masa hadapan, dan seterusnya mewujudkan lebih banyak cerita-cerita menarik yang dapat dinikmati oleh semua,” katanya.

Selain Beto, lakonan Diana Danielle sebagai Nur dalam filem ‘Imaginur’ turut mendapat perhatian juri untuk disenaraikan dalam Top 5 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM33.

Pencalonan ini adalah hasil persembahannya yang penuh emosi dan berkesan menerusi watak Nur, seorang wanita misteri yang menjadi simbol kekuatan, kasih sayang dan keteguhan dalam perjalanan emosi watak utama filem ini.

Filem ‘Imaginur’ arahan Nik Amir Mustapha ditayangkan pada umum tahun lalu.

Lakonannya yang tulus dan mendalam telah menerima pujian meluas daripada pengkritik serta meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Sekali gus pencalonan ini mengukuhkan lagi reputasi Diana sebagai salah seorang pelakon wanita paling berbakat di Malaysia. Sebelum ini, Diana mencipta pelbagai pencapaian dalam dunia seni dan kini menerusi FFM33, Diana menunjukkan kesungguhannya untuk terus menghasilkan karya seni berkualiti tinggi.

Diana berkata, filem ‘Imaginur’ sebuah projek yang sangat bermakna bagi dirinya yang tidak hanya menawarkan hiburan, tetapi juga mendalam emosi dan mesej.

“Saya amat berbesar hati dengan pencalonan ini. Filem ‘Imaginur’ adalah projek yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi, pengarah, serta rakan pelakon yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.

Acara kemuncak FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu. Tanpa sokongan dan cinta anda semua, usaha kami dalam menyalurkan cerita yang penting melalui Imaginur tidak akan bermakna.

“Setiap kata-kata daripada anda memberikan saya semangat yang 5dak terhingga untuk terus berkarya dan memberi yang terbaik dalam setiap projek yang saya ceburi. Keberadaan anda dalam perjalanan ini menjadikan segala-galanya lebih bermakna. Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Selain pencalonan Beto dan Diana untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, ‘Imaginur’ turut meraih beberapa pencalonan dalam kategori lain, menonjolkan kekuatan keseluruhan filem ini dalam industri perfileman negara.

Previous articleFestival Filem Malaysia beri impak kepada anak seni.
Next articleMira Filzah utamakan rumah tangga, jaga batas pergaulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here