Bella Astillah muncul bersama adiknya, Didi.

Oleh: Khadijah Ibrahim

WALAUPUN sebelum ini berlaku sedikit kontroversi pasal artis yang bakal menjayakan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hati’, ternyata kekecohan itu tidak memberi impak langsung kepada acara yang berlangsung pada 1 Disember lalu.

Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hati’, anjuran Orange International Entertainment yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu mencatat sejarah baharu apabila sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah, Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah dan Wani Kayrie berjaya memukau ribuan penonton.

Nikki Palikat, Adira dan Ayu Damit bergandingan suara menerusi lagu “Drama”.

Persembahan pada malam itu diserikan dengan tarian pembuka tirai daripada para penari diikuti persembahan bertenaga daripada kesemua artis. Mereka menyanyikan lagu “Sumandak Sabah” sambil memperkenalkan diri masing-masing.

Penyanyi Wani Kayrie diberi ruang untuk memulakan persembahan solo dengan lagu baharunya iaitu “Aiman Tino” dan diikuti dengan lagu medley “Crazy In Love X Bang Bang” dengan gayanya yang tersendiri.

Kemudian tampil pula juara ‘One In A Million’ musim kedua, Ayu Damit dengan lagu “Hanya Di Mercu” yang mengembalikan nostalgia ketika beliau menjuarai program realiti tersebut hampir dua dekad yang lalu.

Azharina memukau penonton dengan suaranya yang merdu itu.

Kehangatan pada malam itu ditambahkan pula dengan kemunculan Marsha Milan yang menyerlah dengan lagu popularnya, “Cinta” yang meraih kedudukan naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36).

Manakala duo adik-beradik genit, Bella dan Didi Astillah, membuktikan bakat generasi muda Sabah tidak kurang hebatnya mempamerkan lagu “Bermanja-manja” bersama, diikuti Bella secara solo menyanyikan lagu hit “Tapi Bukan Denganmu” dengan penuh emosi.

Penyanyi yang menjayakan ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hati’, masing-masing berasal dari Sabah.

Persembahan terus hangat dengan penampilan Nikki Palikat bersama Adira Suhaimi dan Ayu bergandingan mendendangkan lagu “Drama” dengan aksi yang mempesonakan.

Kemudian juara program realiti ‘Mentor’ musim kelima, Salma Asis mempersembahan lagu “Aku Permata” dan diikuti oleh Adira Suhaimi menghiburkan penonton dengan lagu popularnya “Pujaan Hati” dan akhirnya, ‘Queen of Soul’, Azharina memukau penonton dengan vokalnya yang padu melalui lagu “Rawan”, “Seandainya” dan “Elegi Sepi”.

Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hati’ diakhiri dengan persembahan kesemua artis bergabung menyanyikan medley lagu “Anak Kampung” dan “Original Sabahan”, yang mencetuskan suasana penuh keakraban dan nostalgia di kalangan mereka.

“Aiman Tino” single baharu yang didendangkan oleh Wani Kayrie.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Datuk Mohd Fadzli Idrus berkata, kejayaan konsert ini membuktikan komitmen Orange International Entertainment dalam menyediakan platform untuk mempersembahkan muzik berkualiti serta menghimpunkan rakyat Malaysia serantau dalam satu semangat kesatuan melalui seni.

“Sesungguhnya saya rasa bangga atas kejayaan konsert tersebut. Malam ini adalah bukti kehebatan bakat kelahiran Sabah yang telah mencipta nama di persada muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk kesemua artis yang terlibat.

Lagu “Cinta” mesti dinyanyikan oleh Marsha Milan.

“Kesemua artis terkenal tersebut berpadu hati di atas satu pentas, menghidangkan persembahan yang luar biasa. Dengan alunan suara yang memukau serta keunikan gaya setiap artis, malam tersebut menjadi suatu pengalaman yang penuh emosi, hiburan dan nostalgia bagi para peminat yang hadir.

“Kami sentiasa mencari cara untuk mempersembahkan hiburan yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga bermakna. Selepas kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang akan menampilkan gabungan artis dari pelbagai latar belakang dan genre, demi memberikan pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara,” kata Fadzli menzahirkan rasa optimis mengenai masa depan Orange International.

Rata-rata yang hadir puas hati dengan konsert anjuran Orange International Entertainment  itu.

Turut hadir menonton konsert yang mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan Seni Budaya ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlida RM Jasni dan konsert ini akan di lanjutkan ke negeri Sabah pula pada tahun depan.

Previous articleMira Filzah utamakan rumah tangga, jaga batas pergaulan
Next articleGebyar Nusantara 2024 rai persahabatan anak seni dua negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here