Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto : Ehsan Mira Filzah
JIKA sebelum ini penonton meluat dan menyampah dengan perangai Haikal dan Intan dalam drama ‘Andai Tiada Dia’, mulai 23 Disember ini rasa benci itu akan tertumpu kepada Eshaal dan Astrid pula.
Eshaal, lakonan Shukri Yahaya adalah suami kepada Elina yang dibawa oleh Mira Filzah tapi mempunyai kekasih di pejabat iaitu Astrid, lakonan Sharifah Sakinah. Aksi watak-watak ini dapat ditonton setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria menerusi drama ‘Curang Tanpa Niat’.
Untuk drama 32 episod, arahan Eyra Rahman yang diterbtitkan oleh iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME) itu, Mira selaku Elina mengakui wataknya amat berat kerana banyak bermain dengan emosi.
Sebelum memulakan penggambaran, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, mengakui ada bertemu dengan Ellie Suriaty untuk meminta pandangan dan bimbingan daripada pelakon tersebut.
“Untuk drama ‘Curang Tanpa Niat’ ini saya berlakon sebagai Elina, seorang wanita berkerjaya tapi berhenti kerja menjadi suri rumah sepenuh masa sejak mengandung. Tidak dinafikan drama ini memang berat kerana banyak bermain dengan emosi.
“Sebelum turun set, saya ada berjumpa dengan Ellie Suriaty untuk berbincang pasal skrip bersama sebab saya dapat skrip pun lewat. Ellie yang banyak tolong saya keluarkan karakter Elina ini. Saya juga banyak membaca di internet luahan hati isteri yang dicurangi dan itu membantu lakonan saya.
“Kalau kita tengok dalam kehidupan sebenar, memang ada wanita yang akan berhenti kerja bila ada anak. Macam saya sendiri, mengambil masa lama juga untuk kembali aktif apabila ada anak kecil.
“Elina ini bukan teraniaya tapi kecurangan suami berlaku di belakangnya dan dia tidaklah lemah. Dia cuba pertahankan rumah tangga tu sebab dia ada dua orang anak.
“Mesej itu bergantung. Keseluruhan cerita ini adalah bagaimana kita sesuaikan diri dalam berumah tangga. It takes two untuk melakukan apa-apa saja dan bukan hanya sebelah pihak,” ulasnya tentang drama yang bakal menjadi perhatian ramai itu.
Mira yang pernah bergandingan dengan aktor popular seperti Datuk Remy Ishak menerusi drama ‘Pujaan Hati Kanda’ dan ‘Lelaki Kiriman Tuhan’, Datuk Adi Putra (Cinta Si Wedding Planner), Ben Amir (Sweet Dreams) dan Ungku Ismail Aziz (Adelle Sofea) mengaku tidak kekok berlakon di samping Syukri.
‘Curang Tanpa Niat’ bukanlah gandingan pertama mereka kerana sebelum ini Mira dan Shukri pernah berlakon bersama dalam telefilem ‘Abang Beduk’, justeru itu keserasian antara mereka sudah wujud.
“Ini kali ketiga saya berlakon dengan Shukri, sebelum ini kami berlakon telefilem saja tapi untuk drama rantaian ini yang kali pertama. Berlakon dengan dia mudah sebab dia profesional dan easy going. Dengan dia ni macam give and take, dia bagi kita ambil dan balas.
“Antara sebab yang buat saya nak berlakon drama ini kerana Syukri, saya tahu bekerja dengan dia mudah. Selain itu, sudah lama saya tunggu naskhah sebegini.
“Selalunya sebelum bersetuju, saya akan lihat juga siapa yang mengarah dan sudah lama saya ingin berlakon di bawah arahan kak Eyra Rahman dan bila tahu dia pengarah, itu buat saya setuju. Kena pula dengan pasangan lakon yang saya sudah biasa,” katanya terus terang.
Mira akui apabila sudah berlakon drama ‘Curang Tanpa Niat’ beliau sukar untuk huraikan apa itu curang atau sebaliknya. Apapun katanya, yang penting dalam sebuah perkahwinan adalah komunikasi.
“Jujurnya secara peribadi saya tahu perkahwinan saya macam mana, tak adalah nak campurkan peribadi dengan kerja. Setakat ini tak adalah timbul apa-apa rasa yang tidak selesa dalam rumah tangga selepas berlakon cerita ini.
“Suami tahu saya berlakon drama macam ini dan sangat menyokong kerjaya saya. Sebagai isteri dan ibu, saya tahu batas gaulan di tempat kerja kerana itu sangat penting kerana selepas berkahwin status kita berubah dan ditambah pula kalau ada anak, tanggungjawab kita sangat berat,” katanya yang tidak mencampur aduk urusan kerja dan rumah tangga.
Mira yang mula aktif dalam bidang seni sejak 2010 hingga kini, adalah di antara pelakon wanita yang jarang terpalit dengan kontroversi. Ini kerana isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar dan ibu kepada Wan Khair Amir yang dilahirkan pada 10 Mei 2022 amat menjaga pergaulannya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu sepanjang membabitkan diri sebagai anak seni telah memperoleh kejayaan yang membanggakan. Antara kejayaan yang dirangkul oleh Mira adalah sebagai penerima anugerah Artis Baharu Wanita Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH29) pada 2016.
Pada tahun yang sama juga, Mira memenangi Anugerah MeleTOP Era bagi kategori Artis Baharu MeleTOP. Manakala pada 2019, sempena ABPBH32, beliau memenangi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular serta Gandingan Serasi Drama bersama Remy Ishak untuk drama ‘Pujaan Hati Kanda’.
Sebelum bergiat aktif dalam bidang lakonan, Mira terlebih dahulu menceburi bidang peragaan sejak usia 17 tahun. Drama televisyen pertamanya lakonannya adalah ‘Dunia Lola’ sebagai Lola, sebuah rancangan hijabista yang berkolaborasi bersama Syampu Sunsilk.
Mira yang melanjutkan pengajian di UiTM dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa itu bukan sekadar berlakon, beliau juga mendapat kepercayaan produksi TV3 untuk mengacara program ‘Nona’ dari 2018 hingga 2021.
Selain itu, beliau juga pernah mengacara rancangan ‘In Love With Mira’ bersama suami di saluran Naura pada 2020 dan program Mahligai Cinta musim ke-10.
Beliau yang mempunyai kelab peminat yang diberi nama “Miraclegacy” itu mula berlakon filem pertama iaitu ‘Rise: Ini Kalilah’ arahan Nik Amir Mustapha yang ditayangkan pada September 2018. Tahun berikutnya, beliau berlakon dalam filem ‘Sangkar’, arahan Kabir Bhatia.
Selain filem tempatan, pada tahun ini, Mira turut berlakon dalam filem Indonesia, ‘Cinta Tak Pernah Tepat Waktu’ arahan Hanung Bramantyo sebagai Dr. Sarah.
“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja, terharu dan bersyukur dapat terbabit di dalam filem ini kerana sememangnya untuk melebarkan sayap ke Indonesia sudah menjadi Impian saya sejak dahulu lagi.
“Jadi, apabila dipilih untuk terbabit di dalam filem ini dan bekerjasama dengan sutradara tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo, satu kebanggaan buat saya,” katanya tentang filem adaptasi novel karya Phutut EA yang turut dibintangi oleh pelakon Refal Hady, Nadya Arina dan Carissa Perusset.
Tidak tertumpu pada bidang seni saja, Mira mengembangkan sayap sebagai usahawan dengan mengeluarkan produk kecantikan miliknya sendiri, Mora Essential yang berkolaborasi dengan seorang lagi rakan kongsinya dan koleksi tudung jenamanya sendiri, MF Shawls.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.