Mahu dedikasi persembahannya itu kepada Allahyarham ibunya, Rohana Jalil.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI dan pelakon Kilafairy menganggap peluang yang diberikan kepadanya untuk mengadakan persembahan sempena Konsert Udit Narayan In KL, di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pada 28 Disember ini ibarat bulan jatuh ke riba.

Selain dapat berada di pentas yang sama dengan penyanyi legenda kegemarannya iaitu Udit Narayan, Kilafairy atau nama penuhnya, Syakila Nisa Jahangir Khan, 32, mahu mengabadikan momen tersebut untuk Allahyarham ibu tercinta, Rohana Jalil yang telah kembali ke rahmatullah pada Jun 2023.

“Saya mahu arwah ibu, Allahyarham Rohana Jalil jadi saksi pembabitan saya dalam konsert epik dan bersejarah bersama legenda tersohor Bollywood, Udit Narayan. Jika arwah ibu masih hidup pasti beliau bangga.

Sejak usia lapan tahun, Kilafairy sudah mula menyanyi lagu Bollywood.

“Arwah ibu saya juga sangat meminati lagu “Khushiyan Aur Gham” dari filem ‘Mann’ dan saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem ‘Devdas’, ‘Mann’ dan ‘Taal’. Semuanya menusuk jiwa.

“Jadi apabila terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terasa seperti kembali ke masa silam saat menghabiskan momen menonton filem Bollywood. ‘Khabi Khushi Khabi Gham’ merupakan filem yang saya dan keluarga tonton sebanyak lima kali dan masih menangis,” kongsi Kilafairy tentang pengaruh filem Hindi terhadap keluarganya.

Antara sebab kenapa penganjur VVST Digital Creation mempelawa Kilafairy untuk memeriahkan Konsert Udit Narayan In KL adalah kerana kebolehannya mendendangkan lagu-lagu Hindustan dengan fasih.

Kilafairy yang bakal mendendngkan sebuah lagu solo dan dua lagu duet bersama Syamel itu mengakui beliau mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak usia lapan tahun dan menonton filem Hindi sudah seperti menjadi satu tradisi dalam keluarganya sejak kecil.

Kilafairy bakal mengadakan persembahan sempena Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember ini.

“Selain belajar menyanyi lagu Hindi, saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood.

“Udit Narayan adalah seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana merupakan peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan SRK dalam filem adalah vokal Udit.

“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.

“Saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan penyanyi tersohor Udit Narayan. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan,” katanya yang giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu.

Mahu dedikasi persembahannya itu kepada Allahyarham ibunya, Rohana Jalil.

Menaruh harapan agar konsert bersama Raja Melodi itu berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.

“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan punya tema Bollywood namun tidak ada yang berlebihan. Saya akan tampil dengan gaya sederhana tapi elegan seperti penampilan selalu,” ujarnya.

Konsert Udit Narayan In KL akan menjadi saksi ikon legenda muzik yang memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad berkarier kembali ke Malaysia selepas 12 tahun.

Cukup terkenal dengan lagu ikonik beliau, “Papa Kehte Hain,” dan persembahan beliau dalam filem “Qayamat Se Qayamat Tak”, Udit akan membawa para peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini.

Penganjur VVST Digital Creation janji konsert Udit Narayan akan berjalan seperti yang diuar-uarkan.

Maka dengan itu jangan sampai terlepas menyaksikan Konsert Udit Narayan In KL yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024.

Pihak penganjur VVST Digital Creation memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah.

Sebarang pembelian tiket boleh layari https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di [email protected].

Previous articleNash bersama IRAMA dan PRU gerakkan misi bantuan banjir!
Next articleKebaikan dan manfaat kapur kepada kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here