Oleh : Nury Kadir
Hukum solat dalam air banjir adalah sah sekiranya tidak terdapat kawasan daratan untuk menunaikan solat sekiranya tiada perkara yang menghalangnya seperti paras air yang terlalu tinggi dan seumpamanya. Jika terdapat halangan untuk sujud, maka memadai sujud dengan isyarat dan isyarat sujud mestilah lebih rendah daripada isyarat rukuk.
Adapun isu berkaitan solat ketika banjir serta mengerjakan solat dalam air perlu dilihat dalam beberapa aspek.
1. Hukum Mengerjakan Solat Ketika Banjir
Menunaikan solat fardu adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam pada bila-bila masa dan di mana sahaja seseorang itu berada. Oleh itu, kewajipan solat fardu tidak gugur walaupun seseorang itu berada dalam situasi banjir dan bencana alam.
Namun dalam situasi banjir, Islam memberikan keringanan dan kelonggaran kepada umat Islam tanpa mengabaikan kewajipan asas dalam menunaikan solat. Berkenaan pelaksanaan solat ketika banjir ini, umat Islam tetap perlu menunaikannya mengikut keadaan dan kadar kemampuan individu. Berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” (Surah al-Taghabun: 16)
Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya: “Aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda: Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.” (HR al-Bukhari)
Adakah Rukun Solat Perlu Dipenuhi Jika Solat Dalam Air?
Secara asasnya, solat hendaklah dilakukan dalam waktunya dan seseorang boleh memilih sama ada hendak melaksanakan di awal, di tengah atau di penghujung tempoh selagi masih dalam waktu solat. Berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya.” (Surah Al-Nisa’: 103)
Ayat di atas menjelaskan tuntutan serta kewajipan mengerjakan solat fardu di dalam waktunya. Oleh yang demikian, kewajipan mengerjakan solat ketika banjir tetap berjalan seperti biasa namun bagi perihal solat di dalam air perlu dilihat pada beberapa situasi.
Situasi Pertama
Bagi mangsa yang terperangkap dalam banjir, jika terdapat kebarangkalian akan luput waktu solat dalam masa yang sama tiada kawasan daratan atau tempat kering untuk melaksanakan solat. Maka dalam keadaan tersebut, seseorang itu harus untuk melaksanakan solat di dalam air banjir.
Namun, pelaksanaan solat dalam situasi ini mesti dilihat jika tidak terdapat perkara menghalanginya untuk mengerjakan rukun-rukun solat dengan sempurna. Berada pada paras air yang cetek dan tiada sesuatu yang dikhuatiri membawa bahaya pada diri seseorang jika ia bersujud pada tempat tersebut maka wajib orang yang solat tersebut menyempurnakan rukun-rukun solatnya.
Imam al-Khatib Syirbini menjelaskan, sekiranya mangsa banjir berada dalam situasi paras air mencecah bahagian yang melepasi paras lutut, pinggang dan seumpamanya, maka solat fardu perlu ditunaikan itu mengikut kemampuannya. Hal ini mengambil kira faktor keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas mangsa banjir seperti dibawa oleh arus deras, lemas dalam air, terkena jangkitan kuman dan seumpamanya.
“Jika seseorang tidak mampu untuk sujud kecuali dengan menggunakan bahagian dahi dan pelipisnya supaya dengan itu dia lebih hampir dengan tanah, maka dia wajib sujud sedemikian. Namun, jika dia tidak mampu melakukannya, maka dia boleh memberi isyarat dengan kepalanya dan isyarat untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada rukuk.”
Adapun situasi seseorang yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mampu menyempurnakan rukun terutama rukuk dan sujud ketika solat dalam air maka memadai baginya memenuhi rukun solat mengikut kemampuan dan situasi yang sedang dihadapi dan wajib menggantikan solat tersebut pada waktu lain.
Menurut Imam Nawawi ketika menjelaskan perihal solat dalam keadaan lemas: “Dalam permasalahan orang yang sedang lemas, disalib, sakit dan perkara yang seumpamanya yang menyukarkan untuk menghadap kiblat serta menyempurnakan rukun-rukun solat, wajib dia solat mengikut keadaan tempat tersebut dan wajib mengulanginya.”
Situasi kedua
Jika seseorang itu masih mempunyai waktu dan yakin tidak luput waktu solat fardhu dalam waktu tersebut, maka dia hendaklah sedaya upaya mencari kawasan yang tidak ditelenggami air atau daratan atau tempat yang boleh mengerjakan solat secara aman. Kemudian, bersolat seperti biasa seperti menyempurnakan rukun sujud dengan sempurna. Dalam keadaan ini, jika dia tetap solat di dalam air maka solatnya adalah tidak sah.
Hal ini kerana ibadat solat perlu disempurnakan setiap rukun dan syarat sahnya. Antaranya, meletakkan anggota sujud pada tempat sujud seperti tanah atau lantai adalah sebahagian daripada syarat sah sujud dalam solat.
Menurut Imam Nawawi, “anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung.”
Hukum solat dalam air banjir adalah sah sekiranya tidak terdapat kawasan daratan untuk menunaikan solat. Jika terdapat halangan untuk sujud, maka memadai sujud dengan isyarat dan isyarat sujud mestilah lebih rendah daripada isyarat rukuk.
Jamak solat
Mangsa banjir tidak boleh melakukan solat jamak semasa banjir. Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjemaah pada setiap solat fardhu. Adapun solat jamak ketika hujan, ianya memang benar warid dari Nabi SAW dan dibolehkan disisi mazhab Syafie, akan tetapi ianya hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’ iaitu:
1.Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim dan tidak jamak ta’khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama.
2. Solat yang kedua (Asar atau Isya’) mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid.
3. Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak.
4.Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan.
Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ini. Hujan itu rahmat jadi jangan takut demam kerana bermain hujan. Kalau demam jangan lupa makan ubat dan jaga kesihatan serta kebersihan.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.