Oleh Nury Kadir
Ini kisah dari sebuah video pendek yang secara tidak sengaja melintas di depan mata ketika melayari ‘muka buku’. Kisah seorang ibu dan dua orang di meja makan. Si ibu sedang sibuk menghidangkan sarapan pagi untuk dinikmati bersama anaknya.
Sambil menunggu hidangan siap, si adik yang berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun bertanya, “Ibu, kenapa kita kena solat?” Si Ibu yang tangannya ligat menyiapkan hidangan tidak terus menjawab sebaliknya mengambil dua biji limau manis dan dua biji gelas yang berisi air. Melihat Ibu yang masih belum memberikan jawapan lalu si abang menjawab, “Supaya kita dapat pahala dan Allah kabulkan segala permintan kita.” Si adik terangguk-angguk.
Lalu si ibu berkata sambil menunjukkan sebiji limau, “Kita namakan dia Ashtar. Hari ini Ashtar lupa solat subuh.” Lalu mengopek sebahagian kecil kulit limau itu. “Tengah hari Ashtar tak solat Zohor,” sambung si ibu sambil mengopek sebahagian lagi kulit limau. “Solat Asar pun Ashtar tinggal,” Si Ibu mengopek lagi sebahagian kulit limau. “Solat Maghrib pun tidak ditunaikan,” lagi sekali kulit limau dikopek. Akhir sekali ibu mengopek kulit limau yang hanya tinggal sambil berkata, “Solat Isyak pun tak buat juga.” Kemudian si Ibu memasukkan limau yan telah siap dikupas ke dalam gelas berisi air. Limau itu tenggelam hingga ke dasar gelas. Manakala sebiji lagi limau yang belum dikupas dimasukkan ke dalam satu lagi gelas lain yang juga berisi air. Limau yang belum dikopek kulitnya itu timbul di permukaan air. “Limau yang tidak dikopek kulitnya itu adalah Ashtar yang tidak pernah meninggalkan solat fardu. Limau yang dikopek kulit tadi itu adalah Ashtar yang tidak menunaikan solat. Jadi kenapa kita perlu solat?” tanya si ibu. “Solat menjadikan diri kita hidup…jiwa kita hidup…” luah si abang dengan bersahaja.
Adakah kita faham apa yang dimaksudkan si abang dalam kisah tadi? Analoginya solat itu macam kulit limau. Limau tanpa kulit apabila dimasukkan ke dalam air ia tenggelam, kalau manusia terjun ke dalam air lalu tenggelam dan tidak timbul-timbul maksudnya lemas (mati). Sedangkan limau yang masih ada kulit apabila dimasukkan ke dalam air, ia timbul maksudnya hidup. Begitulah kita jika hidup tidak dibalut dengan solat akan tenggelamlah dengan indahnya dunia dan hanyut ke lautan khayalan tidak bertepi.
Namun ada juga ramai orang Islam di dunia yang tidak solat tapi hidup mereka senang juga, tidak ada masalah dan gembira bahagia. Jika sudah begitu hujahnya, tidak mengapa…teruskanlah kerana Allah ada cara untuk tarbiah kita agar kembali pada taat padaNya.
Sebanyak mana pun amalan yang lain akan jadi tidak sempurna tanpa solat. Bahkan, solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi. (HR al-Tirmizi)
Orang tua-tua selalu pesan buatlah apa saja yang kamu hendak buat (kecuali perkara yang haram) tapi solat jangan tinggal. Ia adalah paksi utama keimanan seseorang Mukmin. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.An, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha Illallah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di Baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.” (HR Muslim)
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.” (Riwayat al-Tirmizi)

Solat fardu lima waktu disyariatkan kepada umat Islam pada malam peristiwa Israk dan Mikraj. Bagi yang faham akan merasakan itu adalah hadiah terindah bagi seorang Muslim. Kisah Israk dan Mikraj Nabi SAW diceritakan di dalam hadis yang panjang. Ianya diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya Sahih Al-Bukhari daripada Anas Bin Malik ,Musnad Imam Ahmad daripada Anas Bin Malik dan Dalail Al-Nubuwwah oleh Imam Al-Baihaqi. Dan ada juga terdapat di dalam beberapa sumber sekunder (المصدر الفرعي) yang merujuk juga kepada sumber-sumber tersebut.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my., antara peristiwa penting yang berlaku di dalam Israk dan Mikraj ialah perintah solat secara khusus. Kisah ini diceritakan di dalam hadis sahih: kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi SAW menceritakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda SAW menyebut juga :
ثُمَّ فُرِضَتْ عَلَيَّ الصَّلَوَاتُ (الصَّلَاةُ) خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَمَرَرْتُ عَلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قَالَ أُمِرْتُ بِخَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي وَاللهِ قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَوَضَعَ عَنِّي عَشْرًا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِعَشْرِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ فَقَالَ مِثْلَهُ فَرَجَعْتُ فَأُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ بِمَ (بِمَا) أُمِرْتَ قُلْتُ أُمِرْتُ بِخَمْسِ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ قَالَ إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسَ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ قَالَ سَأَلْتُ رَبِّي حَتَّى اسْتَحْيَيْتُ وَلَكِنِّي (وَلَكِنْ) أَرْضَى وَأُسَلِّمُ قَالَ فَلَمَّا جَاوَزْتُ نَادَى مُنَادٍ أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي
Maksudnya : “…Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi SAW menjawab, “Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari.” Kata Nabi Musa, “Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu.”Kata Nabi SAW, “Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan.” Nabi SAW menyebut, “Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama.” Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata, “Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?” Kata Nabi SAW, “Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari.” Nabi Musa berkata, “Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu.” Nabi SAW bersabda, “Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah.” Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru, “Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.” (HR Al-Bukhari)
Potongan hadis itu menjelaskan bagaimana perintah solat lima waktu sehari semalam diwajibkan. Pada zahirnya kisah ini seakan-akan menampakkan kelemahan Nabi SAW kerana tidak melaksanakan terus apa yang telah diperintahkan. Ditambah pula Baginda SAW terus merujuk kepada Nabi Musa.Tidak seperti Nabi Ibrahim dan anaknya yang tidak banyak mempersoalkan apatah lagi meminta pengurangan daripada perintah yang telah ditetapkan seperti mana dakwaan sesetengah pihak lalu menjadikan alasan ini untuk memalsukan kisah berkenaan Israk dan Mikraj.
Mengarut! Ya, dakwaan itu memang mengarut kerana apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah menzahirkan sifat rahmat dan belas kasihan Baginda kerana tidak mahu melihat umatnya terbeban. Bahkan Baginda SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah kerana perintah solat juga turun secara khusus kepada Bani Israil.
Perkara ini disebutkan oleh Al-Qurtubi sepertimana yang dinukilkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani. Al-Qurtubi menyebut, “Antara hikmah, mengapa Nabi SAW merujuk kepada Nabi Musa kerana umat Nabi Musa juga ditaklifkan dengan perintah solat yang mana ianya tidak diperintahkan kepada umat sebelumnya. Perintah tersebut dilihat berat untuk dilakukan oleh umat Nabi Musa. Oleh kerana itu, Nabi Musa memberikan pandangan atas dasar belas kasihan terhadap umat Nabi Muhammad SAW. Isyarat ini boleh dilihat melalui kata Nabi Musa ‘aku telah cuba untuk umatku’.
Mana mungkin Rasulullah SAW menolak untuk melaksanakan perintah Allah sedangkan Rasul dan Nabi yang Allah pilih adalah manusia yang taat. Apa yang dilakukan Nabi SAW adalah satu rahmat dan mengambil kira kemampuan umatnya untuk menjalankan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Jika umat Nabi Musa pun tidak mampu untuk menggalas kewajipan tersebut apatah lagi umat Nabi SAW.
Perkara ini sudah semestinya akan membawa kepada kecuaian bahkan lebih teruk daripada itu meninggalkan terus perintah solat. Oleh kerana itu, Nabi SAW mengambil kira apa yang telah diperkatakan oleh Nabi Musa sebagai satu cara supaya umatnya dapat terus melaksanakan solat dan taat akan perintah Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
فَقَالَ: هِيَ خَمْسٌ، وَهِيَ خَمْسُونَ، لَا يُبَدَّلُ القَوْلُ لَدَيَّ
Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Lima waktu dan ia sebenarnya menyamai 50 waktu solat. Keputusan ini tidak berubah di sisi-Ku.” (HR Bukhari)
Berdasarkan riwayat di atas, dapat difahami bahawa solat fardu yang wajib didirikan oleh umat Islam ialah sebanyak lima waktu. Imam Badr al-Din al-‘Aini turut menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk mengerjakan solat fardu sebanyak 50 waktu namun atas sifat rahmat-Nya umat Islam hanya diwajibkan untuk mengerjakan sebanyak lima waktu.
Dari satu sudut yang lain, tidakkah ini menunjukkan hikmah daripada Allah bahawa pengurangan solat sehingga menjadi 5 waktu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan. Ini bertepatan dengan apa yang Allah SWT jelaskan di dalam surah Al-Maidah ayat 6;
مَا يُرِيدُ ٱللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Maksudnya : “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)”
Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya : “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah Al-Hajj : 78)
Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 185;
يُرِيدُ ٱللَّـهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ
Maksudnya : “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
Inilah hikmah yang Allah ingin tunjukkan bahawa agama itu mudah diamalkan dan tidak membebankan, menyenangkan bukan menyusahkan. Tidak boleh terbayang jika solat 50 waktu itu dilaksanakan dalam situasi hari ini di mana manusia sentiasa disibukkan dengan urusan dunia. Pastinya untuk melaksanakan 50 waktu itu sesuatu yang membebankan dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah lain khususnya mengimarahkan bumi. Pengurangan sehingga menjadi 5 kali solat setiap hari menjadikan umat Islam lebih produktif dan tidak ada alasan lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat.
Kemudian timbul pula persoalan, adakah sebelum peristiwa Israk Mikraj, nabi-nabi dan umat terdahulu tidak disyariatkan solat? Adakah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj tidak diperintahkan solat?
#Akan dijawab pada artikel berikutnya…
BERSAMBUNG

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.