Inilah Azura yang mendampingi Jamal Abdillah selama ini dan Azura juga adalah anak ketiganya.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Live Injection Sdn. Bhd

PADA usia yang bakal menjangkau 66 tahun pada 7 Mei ini, Dato’ Jamal Abdillah masih mampu mendendangkan lagu-lagu hitsnya dengan begitu bertenaga.

Beliau telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang sewaktu berlangsungnya Konsert Sandarkan Pada Kenangan – Mencari Azura yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu.

Antara tetamu istimewa yang hadir menonton konsert Jamal.

Penyanyi yang digelar Raja Pop Malaysia itu membuka tirai persembahan dengan lagu “Kau Lupa Janji” dengan iringan 10 orang pemuzik dan tiga orang penyanyi latar.

Lagu kedua pilihan juara Bintang RTM 1979 itu adalah “Kekasih Awal Dan Akhir” yang dipetik daripada album studio ke-10, berjudul “Jamal” yang dikeluarkan pada 1991.

“Sudah 47 tahun saya dalam bidang seni, lagi tiga tahun cukup 50 tahun iaitu Jublee Emas. Insya-Allah kita akan buat konsert Istimewa nanti. Pada malam ini pun ada tetamu istimewa iaitu Tan Sri Azam Baki, beliau adalah peminat saya,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Perjalananku” yang dimuat dalam album “Mati Hidup Semula yang dilancarkan pada 1986.

Lagu-lagu dendangan Jamal masih popular hingga kini.

Jamal kemudian meneruskan persembahan dengan lagu “Gadis Melayu” yang asalnya adalah dendangan Ahmad Syech Albar, penyanyi dan pemuzik rock Indonesia. Lagu ini juga pernah dinyanyikan terlebih dahulu oleh Othman Hamzah dari Singapura sebelum Jamal.

Bagi memastikan beliau berupaya menghibur kira-kira 1,200 penonton yang hadir dengan pelbagai lagu, Jamal telah mendendangkan beberapa lagu secara medley. Lagu yang digabungkan itu adalah “Nasib Diriku”, “Ke Mana Ku Bawa”, “Sendiri” dan “Cenderawasih”.

Berduet dengan Wany Hasrita untuk lagu “Sandarkan Pada Kenangan”.

Jamal yang tidak banyak berkomunikasi dengan penonton itu meneruskan persembahan dengan lagu “Takdir Penentu Segala” sebelum pentas diambil alih oleh anak sulungnya, Osama Yamani yang mendendangkan lagu “Seroja”.

Sebelum Osama yang menyanyi sambil memetik gitar itu mengadakan persembahan, pentas waktu itu disajikan dengan sketsa Ami Takal. Sewaktu mereka berlawak, ruang dewan seakan ‘sepi’ kerana penonton tidak seiring dengan jenaka yang dipersembahkan.

Persembahan Jamal diiringi oleh 10 orang pemuzik dan tiga penyanyi latar.

Pada pendapat penulis, adalah lebih baik kalau waktu itu ditayangkan video yang memaparkan perjalanan seni Jamal dari awal hingga terkini daripada lawak syok sendiri itu.

Untuk segmen kedua, Jamal muncul dengan baju warna hitam menghibur penonton dengan lagu “Penghujung Rindu” yang merupakan judul album ke-11 yang dikeluarkan pada 1994.

“Saya mempunyai lebih 100 buah lagu. Sewaktu nama sedang popular pada 1983, saya ditawar berlakon filem ‘Azura’, ditawar melakonkan watak Zack.

Rata-rata penonton yang hadir adalah peminat yang sejak dulu mendengar lagu-lagu dendangan Jamal.

“Untuk mengimbau kembali era populariti Zack, mari kita panggil Azura untuk menyanyikan bersama lagu “Sandarkan Pada Kenangan”. Dipersilakan Wany Hasrita untuk menyanyi bersama saya,” kata Jamal sebelum penyanyi wanita itu tampil di pentas dan Wany merupakan pasangan duetnya untuk lagu “Belenggu Rindu”. “Kucuma” dan “Bakawali”.

Jika penyanyi lain setiap kali menjayakan konsert berskala besar, mereka akan berusaha untuk menampilkan perubahan sedikit sebanyak untuk lagu yang dinyanyikan supaya tampak kelainan.

Konsert Sandarkan Pada Kenangan – Mencari Azura berlangsung di Zepp Kuala Lumpur , baru-baru ini.

Berbeza dengan Jamal, setiap lagu yang didendangkan seperti “Aku Penghibur”, “Aku”, “Azura” dan “Seniman Menangis” tetap sama seperti versi asal. Kiranya kalau kita tutup mata, seolah-olah mendengar suara Jamal dari cakera padat yang diputar.

Mungkin Jamal lebih selesa mendendangkan lagu mengikut versi asal atau mungkin tidak ada masa untuk berlatih menyanyikan lagu versi baharu kerana sibuk memenuhi undangan persembahan.

Persembahan Jamal pada malam itu disudahi dengan lagu “Seniman Menangis” yang merupakan lagu dari album kesembilan beliau yang diterbitkan pada 1990 sambil diiringi oleh Osama.

Jamal bersama empat daripada tujuh orang anak-anaknya.

Turut berada di pentas ketika Jamal mendendangkan lagu tersebut ialah anak-anaknya iaitu Nor Azura Yamani, El Isaac Yamani dan Iskandar Rayyan Yamani. Ada juga yang bertanya kenapa Jamal tidak mengajak seorang lagi anaknya, Ahmad Zaki Yamani. Mungkin ada hal yang tak dapat dielakkan sebab itulah anak keduanya tidak dapat hadir.

Seperti biasalah, setiap kali penghujung konsert ada penonton yang minta ditambahkan satu atau dua buah lagu lagi. Tatkala mendengar permintaan daripada penonton di bahagian hadapan pentas, Jamal dengan pantas menjawab, “Saya dibayar untuk 13 buah lagu saja”.

Walaupun lagu yang didendangkan setakat itu sahaja, rata-rata penonton yang membesar dengan lagu-lagu dendangan Jamal berpuas hati.

Previous articleAdakah Yasin dan Taha juga nama Nabi SAW? (Bahagian 2)
Next articleElveena Iris walaupun sibuk bisnes sempat buat kerja-kerja amal!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here