(Depan sekali) Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diiringi Timbalan Presiden TODAK, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri ketika hadir bagi merasmikan Selangor Future Cup 2024/2025: Lahirnya Lagenda.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

SELANGOR Future Cup 2024/ 2025: Lahirnya Lagenda – Kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor melakar sejarah sebagai kejohanan e-sukan sekolah pertama yang menggabungkan pembangunan bakat sukan elektronik dengan laluan akademik yang jelas. Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor, Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK.

SMK Kota Kemuning muncul juara bagi kejohanan tersebut dengan membawa pulang RM160,000 biasiswa tajaan TODAK Academy, RM30,000 nilai pembangunan hab e-sukan di sekolah berserta RM5,000 tunai. Manakala tempat kedua dimenangi SMK Saujana Utama dan tempat ketiga SMK Seksyen 19 dan SMK Bandar Sunway.

Kejohanan ini bertujuan untuk mengenalpasti bakat-bakat baru e-sukan di kalangan pelajar sekolah yang berpotensi. Penganjuran sukan ini juga untuk memberi pendedahan kepada peserta merasai pengalaman bermain di peringkat skala profesional.

Timbalan Presiden TODAK, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri.

Menurut Timbalan Presiden TODAK, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri, kejohanan ini bukan sekadar pentas persaingan, tetapi satu platform untuk memperkasa masa depan para atlet e-sukan muda.

“Kami tidak mahu sekadar melahirkan pemain e-sukan berbakat, tetapi juga individu yang mempunyai hala tuju pendidikan yang jelas. Misi TODAK adalah untuk menghapuskan stigma, bahawa e-sukan hanya berkisar tentang kemenangan dan wang hadiah. Melalui biasiswa dan program pembangunan yang kami tawarkan, kami ingin membuktikan bahawa industri ini mempunyai masa depan yang cerah.

“Selangor Future Cup berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan bakat pemain muda kepada ekosistem e-sukan sambil menggalakkan penglibatan komuniti dan semangat kesukanan. Sebanyak 64 sekolah di seluruh Selangor telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Pertandingan ini juga menjadi salah satu platform dalam mengenal pasti bakat yang boleh diserap ke program pembangunan atlet e-sukan bagi misi SUKMA yang akan datang,” katanya.

Menurut Mohd Ikmal Fareeq, TODAK Academy juga turut menawarkan biasiswa penuh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) kepada juara kejohanan iaitu pelajar Sekolah Menengah Kota Kemuning.

Wajah kegembiraan juara SMK Kota Kemuning selepas menerima hadiah kemenangan.

“Biasiswa ini bernilai lebih RM31,600 bagi setiap pemain yang terpilih, dengan jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM200,000. Pelajar yang menerima biasiswa ini berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang pembangunan kandungan digital dan teknologi permainan di peringkat Diploma.”

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut disertai seramai 384 orang pelajar dari 64 buah sekolah. Majlis penuh bersejarah ini telah dilancarkan secara rasminya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diiringi Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor pada 22 dan 23 Februari lalu di AEON Mall Shah Alam.

“Sepanjang dua hari kejohanan ini berlangsung, kami dapat lihat ramai peserta yang mempunyai potensi besar dan saya percaya dengan bimbingan yang betul melalui program pembangunan atlet di TODAK dan SRG, kita mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional di masa hadapan,” ujarnya lagi.

Kejohanan Selangor Future Cup 2024/2025 ini turut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, yang melihat inisiatif ini sebagai langkah awal untuk memperkenalkan e-sukan sebagai sebahagian daripada pembangunan pelajar di peringkat sekolah.

SMK Kota Kemuning amat bangga dengan menerima hadiah kemenangan.

Kejohanan Selangor Future Cup turut mendapat sokongan penaja utama, termasuk TODAK Academy, yang menaja Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan AEON Mall Shah Alam sebagai penaja rasmi lokasi kejohanan. Selain mendapat sokongan dari Moonton Student Leaders (MSL) dengan jumlah tajaan in-app diamonds. Tajaan ini mencerminkan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan bakat e-sukan dalam kalangan belia serta memajukan industri e-sukan di Malaysia.

Dengan kejayaan penganjuran kali ini, TODAK berharap kejohanan seumpama ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia serta badan sukan negeri.

“Kami ingin mengajak lebih banyak institusi pendidikan dan organisasi untuk bersama-sama membentuk masa depan e-sukan di Malaysia. Selangor Future Cup bukan sekadar pertandingan, tetapi satu visi jangka panjang untuk memastikan industri ini berkembang dengan hala tuju yang lebih jelas,” kata Mohd Ikmal Fareeq.

Kejohanan ini bukan sahaja memberi impak kepada para pemain, tetapi juga kepada ibu bapa dan masyarakat yang masih skeptikal terhadap industri e-sukan. Dengan adanya laluan pendidikan yang jelas, ia memberikan keyakinan bahawa penglibatan dalam e-sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi juga membina masa depan yang stabil dan berdaya saing.

Previous articleManfaat dan khasiat buah kurma ketika puasa
Next articleMulianya Hati DPDDM Bantu Seniwati Legenda Sophia Ibrahim!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here