Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman Abdul Halim adalah antara artis yang menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM). Anugerah ini diberikan bagi menghargai pencapaian dan bakat seseorang selebriti dalam bidang seni serta dunia perniagaan.
Wartawan terkenal tanah air yang kini editor di Lady Boysz, Syed Wafa atau nama sebenarnya, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin Wafa terpilih menerima Anugerah Wartawan Tinta Emas sebagai pengiktirafannya dalam dunia kewartawanan.


Syed Wafa yang terkenal sering mengendalikan temu bual dan bertemu secara eksklusif bersama selebriti terkenal dunia termasuk legenda muzik pop, mendiang Michael Jackson, Mariah Carey, Celine Dion, Whitney Houston, Shah Rukh Khan, Justin Bieber, Michael J Fox serta ramai lagi ikon terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Majlis ini juga turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Antaranya pelakon legenda dan pengarah popular A.R.Badul, Poey Sting dan Rina Eva yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri hiburan dan keusahawanan.


Sebelum ini DPDDM juga telah menyampaikan Anugerah dan Watikah Usahawan Madani 2024 kepada 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai bidang.
Dalam majlis itu juga turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPDDM bersama pihak ReSkills Edtech Sdn. Bhd. dan Timor Leste yang turut disaksikan YM Tengku Datuk Dr. Hishamuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj selaku tetamu kehormat.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama dengan ReSkills bagi menyediakan sistem pembelajaran sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan madani.

“Diharap melalui kerjasama strategik ini dapat meningkatkan lagi akses kepada pendidikan berkualiti yang menguntungkan semua pihak. Kerjasama pembelajaran dalam talian ini menawarkan latihan kemahiran secara percuma bagi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam inovasi digital era pendigitalan, bidang teknologi maklumat dan keusahawanan.
“Diharap inisiatif ini juga dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia B40 untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. Melalui kerjasama ini juga ramai pelajar dan usahawan muda dapat memperolehi kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri.”

Bercakap mengenai Timur Leste pula, kata Nor Hasnal Hashmi, Timor Leste ada potensi besar bagi pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan tenaga.
“Kami ingin memastikan ahli-ahli DPDDM dapat meneroka bidang dengan lebih mudah dan sokongan strategi yang kami sediakan. Kerjasama ini dijangka dapat merancakkan pertumbuhanekonomi kedua-dua negara dengan membuka lebih banyak peluang daripada pelbagai sektor seperti infrastruktur, pertanian, tenaga hijau dan keusahawanan,” kata beliau.

Ujar Nor Hasnal Hashmi lagi,Selain membantu ahli, kami juga turut membantu usahawan muda untuk terus berjaya dengan pelbagai bantuan yang boleh kami tawarkan.
“Galakan dan inspirasi ini merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional sehingga separa mahir. Kami juga menyasarkan untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang,” ujarnya yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pengeluaran halia yang dinamakan Halia Emas.

Selain itu, DPDDM juga turut bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn Bhd untuk Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40 serta Projek Usahawan Agro Tani yang melibatkan latihan bersama INSKEN untuk mengusahakan tanaman Halia Bentong dikenali sebagai Halia City akan diwujudkan di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT).

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.