Soma harap lagu "Aku Tetap Raya" boleh menjadi malar segar.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TAHUN ini rasanya paling banyak penyanyi keluarkan lagu raya. Siapa saja boleh keluarkan lagu raya bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, secara solo atau beramai-ramai.

Apabila banyak lagu raya yang dikeluarkan, secara tak langsung pendengar mempunyai pelbagai pilihan sama ada nak dengar lagu dendangan penyanyi A berulang kali atau memilih lagu nyanyian penyanyi B.

Semua itu bergantung kepada rezeki, tak kiralah lagu itu berentak moden atau tradisional. Kalau kena dengan halwa telinga orang ramai, lagu itu pasti menjadi tular.

Soma mendendangkan lagu “Aku Tetap Raya” pada majlis pelancaran video muzik tersebut, baru-baru ini.

Pada pandangan penulis, setakat ini, lagu raya baharu belum ada yang ‘meletup’ seperti lagu tahun lepas iaitu “Alamak Raya Lagi” nyanyian De Fam atau Raya Di Rumah Dinda, gandingan Xpose bersama Dina Nadzir. Walau apapun setiap orang ada pilihan tersendiri.

Bagi penyanyi baharu tanah air, namun penuh berpengalaman, Soma atau nama aslinya Rosmah S. Sengari @ Basar juga tidak mahu melepaskan peluang tampil lagu raya berjudul “Aku Tetap Raya” ciptaan Belle Fattah, Adinda Amiro dan Soma sendiri.

Lagi ini dipenuhi dengan mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal, serta menampilkan melodi yang ceria menerusi lirik yang mencerminkan kemeriahan dalam menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Soma berharap lagu ini dapat memberikan keceriaan dan menjadi lagu pilihan peminat sepanjang musim perayaan ini walaupun sedar banyak lagu raya yang dihasilkan tahun ini.

“Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat untuk memiliki lagu raya sendiri selepas tampil dengan album mini yang berjudul “Penantian” pada Disember tahun lalu.

Bersama Adinda Amiro (kiri) dan Belle Fattah (kanan) yang bertanggungjawab menulis dan mencipta lagu untuk Soma.

“Saya tak ada niat untuk bersaing dengan penyanyi lain yang juga mengeluarkan lagu raya. Bagi saya mudah saja, setiap penyanyi ada cara tersendiri dan bagi saya sebagai penyanyi, sekurang-kurangnya saya ada lagu raya sendiri.

“Saya jadi penyanyi pun kerana minat yang mendalam terhadap dunia seni. Saya rasa setiap penyanyi juga menyimpan impian untuk ada lagu raya sendiri dan masing-masing berharap lagu raya tersebut menjadi malar segar seperti lagu-lagu raya klasik,” katanya berharap lagu “Aku Tetap Raya” mendapat perhatian dan sokongan yang baik daripada peminat muzik di Malaysia.

Mengenai single “Aku Tetap Raya”, Soma berkata, lagu itu menerapkan melodi dan elemen muzik yang menyerlahkan kepelbagaian kaum.

“Lagu ini bukan sahaja sesuai untuk hari raya, malah perayaan lain juga melalui melodi yang pelbagai. Lagu ini bukan sahaja ada elemen Melayu, sebaliknya, Cina, India dan bangsa lain di Malaysia.

Penyanyi Khadijah Ibrahim sangat menyokong perjalanan seni Soma.

“Kalau dengar melodi lagu ini, ada banyak elemen yang kami masukkan. Lagu ini kedengaran sangat ‘universal’, sangat sesuai kalau dinyanyikan dalam bahasa lain juga.

“Kami memang sengaja buat melodi sebegitu ditambah pula zaman sekarang sukar nak dapatkan lagu raya yang memang ketengahkan irama tradisional.

“Apa pun, saya gembira kerana diberi peluang muncul lagu raya sendiri pada hari raya tahun ini. Mungkin apa yang boleh saya harapkan ia boleh jadi lagu sepanjang zaman,” ujarnya yang mengambil masa kira-kira sembilan jam untuk menyudahkan kerja rakaman dan penghasilan single lagu tersebut.

Mengenai pemilihan Belle dalam projek pembikinan single “Aku Tetap Raya”, Soma berkata, keputusan didorong atas kebolehan komposer itu.

Impian Soma untuk memiliki lagu raya sendiri sudah tercapai.

“Bukanlah mahu sambung legasi Allahyarham Datuk S Atan yang bertanggungjawab menerbitkan album “Penantian” sebelum ini. Sebaliknya, saya sudah lama kenal Belle dan percaya dengan kebolehannya,” katanya.

Menariknya, video muzik rasmi “Aku Tetap Raya” turut menampilkan penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, yang menjadi idola serta sumber inspirasi buat Soma dalam dunia nyanyian dan hiburan.

Selain penyanyi “Ku Sangka Siang Kiranya Malam”, untuk video muzik tersebut, Soma juga mengundang model Zahnita yang kini kembali aktif dalam industri seni.

Lagu “Aku Tetap Raya” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music.

Previous articleSet Talam Istimewa Ramadan jadi pilihan warga kota, Restoran Rasa Rosz tak menang tangan layan pelanggan.
Next articleSiput Sarawak seniwati cemerlang walaupun ada kekurangan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here