Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS berduet menerusi lagu “Biar” bersama Tantari, kini Achey berkolaborasi pula dengan penyanyi cilik itu untuk lagu raya yang berjudul “Ragam Raya’.
Menariknya, untuk lagu “Ragam Raya”, Achey turut menampilkan seorang lagi pasangan duetnya iaitu Baby Feaaa yang pernah bergandingan dengannya menerusi lagu “Kabus” sebelum ini.

Menurut Achey yang juga komposer lagu ini, “Ragam Raya” dihasilkan sejak penghujung September lalu namun rakaman dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua artis terlibat.
“Saya dah buat demo lagu pada September tapi rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan jadi proses rakaman sedikit tertangguh,” kata Achey.
Achey turut menjelaskan beliau mempunyai alasan tersendiri kenapa memilih Baby Feaaa walaupun terpaksa mengikut jadual pelajar tersebut.

Ujarnya, pemilihan Baby Feaaa dalam lagu ini dibuat kerana beliau adalah anak kepada Allahyarham Harun Salim Bachik yang pernah membantu mencungkil bakatnya dalam industri seni.
“Arwah Harun pernah membantu saya pada tahun 2012 dan selepas ketiadaan beliau, saya rasa terpanggil untuk membawa Baby Feaaa ke hadapan. Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah ada lagu duet dengan saya berjudul “Kabus” dan kini kami keluarkan lagu raya bersama,” katanya.
Lagu “Ragam Raya” berkisar tenang pelbagai ragam dan persiapan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk trend membeli baju baharu dan pelbagai keunikan lain yang sering berlaku tetapi jarang diketengahkan dalam lagu raya.

“Lagu raya ini ibarat satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama,” ujar Achey.
Lagu ini menceritakan ragam masyarakat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk obsesi membeli pakaian baharu dan perbincangan tentang siapa yang masih memakai pakaian lama.
Achey mahu memastikan setiap lagu rayanya menampilkan elemen yang jarang diketengahkan dalam lagu raya biasa.
“Kalau tahun sebelum ini saya buat lagu “Raya Rempit” yang menceritakan tentang kegilaan menghias motosikal sempena hari raya, kali ini saya angkat realiti persiapan raya yang biasa tetapi tidak selalu dimasukkan dalam lagu,” jelasnya.
Achey berharap lagu ini akan diterima ramai dan menjadi salah satu lagu raya yang dimainkan setiap tahun.

“Saya ingin berterima kasih kepada label saya iaitu syarikat rakaman Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang yang telah membantu menjayakan muzik video lagu ini. Harapan saya, lagu ini akan diterima ramai dan mungkin menjadi viral,” katanya.
Selain itu, Achey turut merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas hari raya nanti termasuk anaknya sendiri yang bakal membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.
Single “Ragam Raya” terbitan Seventeen Eleven Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik dan video muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven https://youtu.be/QAbivSUfiuU

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.