Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA saat anggota KRU yang dianggotai oleh Dato’ Norman, Dato’ Yusry dan Edry Abdul Halim mengambil keputusan bersatu semula dan sekali gus mengumumkan Konsert GenKRU yang dijadual berlangsung selama sehari pada bulan Mei 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur telah mencetuskan sensasi luar biasa.
Semua kategori tiket sold out dalam tempoh singkat mendorong penganjur, ICON Entertaiment menambah hari konsert. Bukan sehari tetapi dua hari menjadikan total Konsert GenKRU di Axiata Arena Bukit Jalil tiga hari sekali gus mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama di Malaysia melakukan konsert selama tiga hari.
Dan sejarah yang telah dicetak tidak mahu berhenti sekadar di Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur. KRU mahu terus mencetak sejarah dengan kembali membuat konsert di Singapura selepas bertahun lamanya tidak menyapa peminat di Kota Singa itu.

Dengan bangganya, ICON Entertainment menguar-uarkan bahawa tiga personal KRU itu akan menghangatkan kota Singapura dengan konsert sulung GenKRU Live In Singapore di The Star Theatre pada 28 Jun ini.
“Tentu sahaja kami bangga dan teruja kerana daripada cakap-cakap kosong dan impian membawa GenKRU ke Singapura terlaksana pada saat kumpulan legenda ini mempersiap dan memberi fokus kepada Konsert GenKRU di Axiata Arena.
“Tanpa banyak pertimbangan KRU sekali lagi menerima lamaran ICON Entertainment apabila kami beritahu GenKRU akan bikin heboh Singapura pula.

“Hal ini kerana kami percaya peminat di Singapura juga perlu disantuni dan diberi eksklusiviti di negara mereka sendiri dengan momen terbaik menerusi GenKRU Live In Singapore pada 26 Jun ini,” ujar pengasas dan pemilik ICON Entertainment, Iman Tang.
Bagi KRU sendiri, mereka tidak menyangka keputusan untuk kembali melakukan konsert telah membuatkan KRU menjadi ‘Terhangat Di Pasaran’.
“KRU harus katakan setuju untuk GenKRU Live In Singapore sebagai tanda aprisiasi terhadap peminat kami di sini yang memberi sokongan sejak dahulu sehingga kini.
“Sampai bertemu Singapura. Kalau nak lagi gerek, jangan lupa ikut dress code yang akan diberitahu dan hafal semua lagu KRU,” ujar Edry.
Buat fanatik-fanatik di Kota Singa, ikuti rapat informasi demi informasi yang akan dikongsikan lagi selepas ini. Tiket akan dibuka secara berfasa untuk pembelian.
Harga tiket yang ditawarkan adalah SGD $ 208 (The Way We jam), SGD $218 (Mengerti), SGD $ 228 (Awas), SGD $ 288 (Ohh! La!la!) dan SGD $ 328 (Fanatik).

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.