Oleh: Khadijah Ibrahim
DI kalangan generasi Z atau Gen Z khususnya, antara kumpulan muzik yang diminati mereka adalah Insomniacks yang popular dengan lagu “Pulang” yang dianggotai oleh Iqie selaku penyanyi utama, Iskandar sebagai pemain bass, dan Dan sebagai pemain gitar.
Kreativiti tiga anak muda ini tidak pernah putus dan kini mereka melangkah setapak lagi ke depan dengan menampilkan EP inggeris ulung yang berjudul “Awake & Dreaming” dan ini merupakan satu pencapaian baharu diraih Insomniacks dalam koleksi diskografi kumpulan tersebut.

Menurut Iqie, sudah sekian lama mereka memendam hasrat untuk memiliki koleksi lagu Inggeris sendiri. Ternyata proses mencurah kreativiti menghasilkan projek itu mencungkil lebih banyak lagi sisi berbeza selain corak berkarya kian matang.
“Kami sentiasa teringin lancarkan lagu-lagu Inggeris sendiri sejak awal penubuhan kumpulan ini. Kami yakin pengikut dan pendengar muzik kami di Malaysia juga sudah siap melihat sisi berbeza kami.
“Proses penulisan lagunya cukup menyeronokkan. Terasa menyegarkan apabila menulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. EP ini adalah koleksi idea dan pengalaman daripada zaman remaja kami.

“Ia merungkai pelbagai emosi yang mengajar kami sepanjang tempoh meniti kedewasaan. Kami berharap karya ini akan mampu menyentuh jauh dalam lubuk hati pendengar,” kata Iqie.
Secara keseluruhannya, “Awake & Dreaming” merungkai kesulitan dalam fasa berbeza mengenai kesihatan mental. Pada masa sama, peduli terhadap perasaan setiap mereka yang melalui pengalaman terhadap isu itu.

Sementara itu, kata Dan, EP tersebut adalah gambaran kepada masalah insomnia yang dilalui Insomniacks sendiri awal dulu. Bila masalah itu menimpa, mereka sukar membezakan antara realiti dan mimpi.
“Inspirasi di sebalik lagu “Awake & Dreaming” khususnya tercetus daripada kisah kami yang bergelut dengan insomnia sehingga terperangkap dalam kesunyian di malam hari atau waktu dilanda kesibukan pada hari siang.
“Walaupun ditulis sedekad yang lalu, ia tetap mengimbau kembali masa dan emosi dilalui ketika itu. Akhirnya tahun ini kami dapat memberinya nafas baharu dengan suntikan bunyi moden dan nostalgia.

“Ia membawa kami kembali kepada permulaan kembara kami sebagai pemuzik serta sokongan peminat kami. Dengan rakaman lebih rapinya, pasti penantian ramai akan berbaloi,” katanya berkongsi cerita di sebalik pembikinan EP tersebut.
Dengan penambahan diskografi itu, Iskandar percaya impian untuk mengadakan konsert sendiri pun semakin tiba. Selain seleksi lagu-lagu melayu hit seperti “Pulang”, “Reminisensi” dan “Sempurna”, kini mereka campurkan karya Inggeris pula.
Lagu hit mereka seperti “Reminisensi” dan “Sempurna” kini berada di carta domestik RIM sebagai Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia.
Pendengar boleh melihat sisi berbeza dan baharu Insomniacks. Anggota Insomniacks sangat teruja untuk tunjukkan sisi itu, apa lagi kemampuan lain mereka yang lebih versatil. Semua ahli berharap semua akan terhibur dan rasai getaran lagu-lagu Inggeris mereka.

EP “Awake & Dreaming” yang mengetengahkan genre pop rock dihasilkan sepenuhnya Iqie, Dan, dan Iskandar. Turut merealisasikan projek itu adalah JOEK selaku produser dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.
Sebanyak lima lagu dimuatkan iaitu “Anti-hero”, “Awake & Dreaming”, “Overdrive” (feat. KillaDriz), “Some Days Are Just Better” dan “Why Don’t You Cry”.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.