Oleh : Nafsiah Jani
Bulu mata adalah salah satu rambut pendek yang tumbuh di tepi kelopak mata atas dan bawah, memanjang ke luar dan menjauhi mata. Bulu mata ini tumbuh hingga enam lapisan di masing-masing kelopak mata atas dan bawah.
Setiap wanita mengimpikan untuk mempunyai bulu mata yang lebat dan panjang melentik. Ada yang bertuah kerana memiliki bulu mata yang cantik sejak kecil lagi dan ada juga yang mewarisi kecantikan keturunan masing-masing.
Bagi yang tidak memiliki kelebihan tersebut perlulah berusaha untuk mengubah penampilan mata mereka. Itu sebabnya ada sesetengah wanita sanggup menghabiskan wang ringgit untuk menanam bulu mata dan memakai bulu mata palsu agar mata mereka kelihatan cantik dan menawan pada pandangan mata orang lain.
Bulu mata juga berfungsi untuk melindungi mata dari sebarang kotoran serta menghalang penglihatan dari terkena sebarang jangkitan ataupun cedera. Di samping peranannya yang penting, bulu mata yang lebat juga dapat meningkatkan dan mengubah penampilan seseorang.
Selain menggunakan mascara bagi melentikkan bulu mata dan agar ianya kelihatan lebat, rupa-rupanya ada cara yang boleh membuatkan bulu mata anda lebat dan lentik secara semula jadi. Seperti penjagaan rambut, ada beberapa bahan tertentu boleh digunakan sebagai rutin amalan penjagaan bulu mata serta membantu memiliki bulu mata panjang dan tebal.

Dibbawah ini kami paparkan beberapa amalan yang boleh diamalkan wanita untuk mendapatkan bulu mata yang lebat, panjang dan cantik.
- Lebihan uncang teh hijau yang telah digunakan boleh dijadikan mask bagi melebatkan bulu mata. Selepas gunakan uncang teh uncang hijau, simpan didalam peti sejuk. Pada malam hari letakkan uncang tersebut diatas mata untuk dijadikan mask. Selain melebatkan bulu mata , ia juga dapat mengurangkan tanda hitam dibawah mata akibat tidak cukup tidur.
- Setiap malam, sapu vaseline pada bulu mata menggunakan cotton bud atau berus mascara. Vaseline mengandungi petroleum Jelly yang dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan bulu mata. Jika diamalkan secara konsisten, anda akan gembira dengan hasilnya untuk mendapat bulu mata yang lebat.
- Pilihlah makanan atau suplemen yang mengandungi banyak Biotin. Antara makanan yang disyorkan untuk anda amalkan adalah avokado, keju, kubis, kacang dan banyak lagi. Manakala lemak omega-3, protein, vitamin B6, vitamin B12 juga dapat melebatkan bulu mata dan membantu untuk menyihatkan kulit, kuku dan rambut.
- Minyak kelapa juga merupakan tonik semulajadi yang selalu digunakan untuk tujuan melebatkan bulu seperti rambut. Sapu minyak kelapa pada bulu mata dan amalkan setiap malam dan bilas keesokkan paginya.
- Bulu mata ini sebenarnya macam rambut juga dan kita perlu rajin menjaga dan menyikatnya setiap hari bagi meningkatkan aliran darah dan merangsang pertumbuhan bulu mata agar lebih cepat panjang. Sikat bulu mata selama lima hingga 10 minit bermula dari akar hingga ke hujung bulu mata. Boleh lakukan selepas mandi pagi atau petang setiap hari.
- Gel lidah buaya juga dapat membantu meningkatkan pertumbuhan rambut termasuk bulu mata. Caranya hanya sapu gel lidah buaya pada bulu mata dan amalkan setiap malam dan bilas keesokkan paginya. Jika anda konsisten mengamalkan petua ini, anda akan gembira dengan hasilnya.
- Pelembap bibir juga selain dapat melembapkan bibir, ia juga membantu memanjangkan dan melentikkan bulu mata. Setiap malam, sapu pelembap bibir ini pada bulu mata dan Insya-Allah anda akan gembira dengan hasilnya.
- Minyak Zaitun juga mempunyai kandungan mineral dan vitamin E yang dapat membantu melebatkan rambut dan bulu mata. Minyak terbabit juga kaya dengan antioksidan yang sangat berguna supaya bulu mata dapat tumbuh dengan cepat. Untuk cepat lebat, setiap malam sebelum tidur, sapukan minyak zaitun pada cotton bud dan oles pada bulu mata. Biarkan semalaman dan anda akan gembira dengan hasilnya.
- Sapukan inai pada bulu mata juga adalah kaedah semulajadi yang dapat membantu melebatkan bulu mata. Jadikan serbuk inai sebagai pes dan sikat kepada bulu mata. Inai juga membantu meliputi bulu mata dan menjadikannya lebih tebal dan bulu mata kelihatan tebal dan lebat.
- Vitamin E mengandungi bahan yang dapat membantu pertumbuhan rambut atau mencantikkan kulit. Jadi rajin-rajinlah gunakan serum atau losyen yang mempunyai Vitamin E dan sapu dengan cermat pada bulu mata anda. Anda perlu berhati-hati ketika memakai serum ini kerana takut terkena mata.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.