Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Mark Adam/Koleksi Syed Wafa
Orangnya kelakar, mudah mesra, mempunyai vokal yang bagus dan sentiasa merendah diri. Itulah personaliti yang dimiliki oleh penyanyi dan pelakon Mark Adam atau nama Islamnya Fikri Mark Adam Abdullah.
Mark atau nama asalnya, Marcus Adam Macaraig Echivarre, 46, yang merupakan kelahiran Cebu, Filipina itu datang ke Malaysia pada 2001, sewaktu usianya 22 tahun, bersama anggota kumpulan muzik Big Bang demi mencari rezeki.
Kehadiran Mark bukan sekadar mencari rezeki dalam bidang muzik, malah beliau bertuah kerana turut memiliki seorang isteri wanita tempatan iaitu Nor Azah Redzuan atau Izan yang dinikahinya pada 2003 dan merupakan pengurus peribadinya dalam menentukan jadual kerjaya seni beliau.

Mark mula serius dalam bidang seni suara tempatan sebagai penyanyi arus perdana sejak tampil dengan single “Pencuri” dan “Marry Me” yang sekali gus melonjakkan nama beliau sebagai penyanyi yang disukai ramai.
Sebagai penyanyi yang pernah menyanyi di kelab malam, Mark bukan sekadar boleh menyanyi, malah kebanyakan lagu yang dirakam adalah ciptaannya sendiri.
Bagi berkongsi ilmu mengenai seni vokal yang dimilikinya, Mark yang pernah menjadi guru vokal selama 10 tahun di Filipina sebelum itu, secara rasmi telah membuka sekolah vokal iaitu Suara Academy di Neo Damansara sejak 2017.

Ujar Mark, beliau membuka sekolah vokal kerana mahu membantu mereka yang ingin belajar muzik pada kadar harga yang berpatutan.
“Alhamdulillah, selepas tiga tahun Suara Academy dibuka, sudah melatih lebih daripada 300 orang pelajar yang terdiri dari usia tiga hingga warga emas.
“Ada yang datang ke sini bukan sahaja untuk belajar menyanyi, tetapi belajar mengenai latihan vokal sebagai persediaan menjadi bilal dan sebagainya. Di sini, kami menganggap sesiapa sahaja yang besama Suara Academy adalah sebagai satu keluarga.
“Dari seorang guru iaitu saya saja, kini pusat latihan kami mempunyai ramai guru berpengalaman. Peningkatan dari masa ke semasa termasuk kemasukan pelajar juga amat menggalakkan, termasuk juga rakan artis yang datang untuk mendapat perkhidmatan kami,” katanya dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar sebelum ini.

Bagi memantapkan lagi kedudukannya dalam bidang seni, Mark juga mencuba bakatnya dalam dunia lakonan. Drama pertama lakonannya adalah “Plan Cinta Tak Jadi” sebagai Fareez pada 2015 dan diikuti pada tahun berikutnya menerusi drama “Suami Tanpa Cinta” sebagai Farael Ilham.
Sejak itu rezeki Mark dalam lakonan tak pernah putus, antara drama lakonannya adalah “Biniku Ninja” (2017), “Suamiku Mat Piun” (2018), “TQ Captain” (2019), “Keluarga Bahadon” (2019 – 2021), “Guard Komando” (2022), “Puaka Cuti Semester” (2023) dan “Boleh Saya Bantu?” (2024 – 2025).
“Alhamdulillah, peluang saya dalam bidang lakonan memang cukup murah dan saya anggap itu rezeki daripada Allah. Saya memang suka berlakon walaupun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan pada masa sama, nyanyian adalah keutamaan saya,” katanya yang kini mengikat kontrak selama dua tahun dengan Suria Records (SRC).
Mark yang pernah menimba pengalaman sebagai penyampai radio di Hot FM pada 15 Februari hingga 19 Julai 2021 mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Fizie itu baru saja tampil dengan single “Raya Twist” bersama barisan artis SRC iaitu Intan Maya, Erika Foo, Fairuz Syazwan, Chacha Trisha dan Expose.

Memandangkan Mark seorang penyanyi senior berbanding yang lain, penyanyi itu tidak kisah digandingkan dengan barisan bakat baharu. Baginya, apa yang penting sekarang ini beliau sudah bernaung di bawah label SRC dan ada pihak yang akan mengurus kerjayanya.
“Saya ada kontrak dua tahun dengan SRC, setakat ini semuanya berjalan baik dan hubungan kami seperti keluarga, bos pun okey tak ada masalah.
“Kenapa saya pilih SRC? Sebenarnya, tahun lepas SRC ada buat rumah terbuka dan saya dijemput. Waktu bertemu bos Edwin, dia tanya saya ada bernaung di bawah mana-mana label ke? Saya beritahu, saya tak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman kerana waktu itu saya sibuk berlakon.
“Bila sibuk berlakon, rasanya ramai yang sudah lupa bahawa saya adalah seorang penyanyi. Bila Edwin tawar, saya kata bagi saya fikir dulu. Saya buat research pasal SRC dan siapa artis yang bernaung di bawah label tersebut sebelum saya buat keputusan.

“Sebelum ini saya dengan Mixalogy Music dan Rusa. Kini SRC adalah label terkini saya. Pengalaman bersama syarikat lama menjadikan saya untuk menjadi matang dan sudah faham apa sebenarnya label mahu dan memperbaiki diri untuk menjadi penyanyi lebih baik,” jelas Mark yang dipilih sebagai pemenang Selebirit Komedi Pilihan Online untuk Anugerah Pilihan Oniline 2016 (APO 2016).
Dalam pada itu, Mark juga menolak dakwaan yang beliau adalah ‘anak emas’ SRC kerana pengalamannya berbanding artis baharu yang lain. Katanya, semua artis di bawah label SRC adalah anak emas tanpa mengira tempoh pembabitan masing-masing dalam bidang seni.
“Saya bukan anak emas SRC, semua artis di bawah label ini adalah anak emas. Bagi saya artis baharu ini sangat berbakat dan kami saling bekerjasama. Mungkin disebabkan pengalaman saya lebih berbanding penyanyi baharu, saya diberi kepercayaan dan kena buat tanggungjawab itulah.
“Saya tidak kisah untuk mengajar penyanyi-penyanyi baharu SRC kerana di sini kita berkongsi ilmu dan sesiapa yang perlu tunjuk ajar untuk meningkatkan kualiti vokal, saya ada untuk ajar mereka,” kata Mark yang tidak kedekut ilmu itu.

Jelas Mark, beliau memilih untuk bernaung di bawah label SRC sebab setiap penyanyi mesti ada label untuk membantu melancarkan dan mempromosi lagu-lagu.
Tegasnya, walaupun sekarang ini promosi boleh dilakukan menerusi media sosial dan boleh dibuat sendiri tapi Mark mengakui beliau tidak berupaya melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Saya ada pelbagai bahagian yang perlu dilakukan seperti berlakon dan berniaga. Saya percaya dengan reputasi SRC sejak dari dulu lagi dan sebab itu saya bersetuju bernaung di bawah label tersebut.
“Bersama SRC, saya ada perancangan untuk keluarkan lagu baharu dan sekarang ini kita tengah rancang dan lihat apa yang berlaku dalam industri muzik tanah air sekarang. Sekarang ini sudah digital, kita perlu tahu apa yang hit dan apa yang telah ditinggalkan.
“Daripada muzik saya, kalau boleh saya nak bawa vibe dulu dan campur dengan muzik yang ada sekarang ini termasuklah elektronik dan digital. Saya ada juga perancangan untuk buat lagu untuk artis SRC yang lain,” katanya.

Sibuk dengan pelbagai pekerjaan
Tambahnya, sekarang ini selain sibuk dengan muzik, beliau berusaha mencari jalan untuk menambah sumber pendapatan bagi menyara keluarga.
“Sekarang ini, saya perlu buat pelbagai kerja dan sentiasa mencari jalan untuk mendapat pendapatan pasif untuk keluarga saya. Sebab itulah orang nampak saya sibuk berniaga di sana sini. Tujuan saya adalah untuk belajar dan saya sanggup turun padang, tak peduli apa orang nak cakap.
“Saya nak belajar dan di masa yang sama, saya boleh bertemu dengan orang yang saya tak pernah bertemu secara dekat, seperti peminat.

“Memang saya akan tumpu perhatian kepada muzik tapi kalau ada kerja lain, saya mesti kena pandai susun jadual sebab dengan cara itu saya cari makan. Kalau ada tawaran berlakon, saya tak boleh kata tak sebab itu rezeki. Berlakon, menyanyi dan meniaga mesti kena pandai susun jadual,” katanya terus terang.
Walaupun sebelum ini ada netizen yang mempertikai harga set jualan ‘Satay Bhalut’ keluaran beliau bersama rakan kongsi, Mark tidak mudah melatah.
“Alhamdulillah, Satay Bhalut masih lagi diteruskan, saya tak ambil kisah dengan komen negatif netizen. Orang yang terlibat dalam bidang ini saja tahu kenapa sate itu dijual sebegitu.

“Saya mungkin orang baharu dalam bidang perniagaan tapi rakan kongsi saya itu sudah 30 tahun buat sate dan hantar ke hotel-hotel terutamanya dalam bulan Ramadan. Akan datang, kita rancang buat Satay Bhalut itu sebagai makanan beku,” kata Mark lagi.
Walaupun lebih 21 tahun berada di Malaysia dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) selaps lima tahun mendirikan rumah tangga, hingga kini Mark belum terfikir untuk menukar kewarganegaraan.
“Saya mendapat taraf PR selepas lima tahun berkahwin iaitu pada 2008. Ada yang mengatakan saya sudah boleh pohon kewarganegaraan. Tapi situasi saya sekarang, saya punya passport Filipina, sementara kad pengenalan saya PR Malaysia.

“Bagusnya sekarang ini, saya boleh duduk di Filipina selama-lamanya, dan saya juga boleh duduk di Malaysia selama yang saya mahu. Kalau saya tukar kewarganegaraan, kalau saya balik ke Filipina saya boleh duduk satu bulan saja.
“Betul, saya boleh ambil kewarganegaraan itu, tapi saya selesa dengan situasi sekarang. Saya selesa untuk kedua-dua sebab memudahkan urusan saya,” katanya terus terang.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.