Oleh: Khadijah Ibrahim
SINGLE “Radar” yang dilancarkan baru-baru ini, bukanlah lagu pertama yang dirakam oleh penyanyi baharu iaitu Tunku Ines. “Radar” yang merupakan ciptaan Shazriq Azeman, Omar K dan Iqie Hugh adalah single kedua beliau.
Pada September tahun lalu, beliau tampil dengan single sulung berjudul “Andai” ciptaan Edry Abdul Halim, edaran Rocketfuel Entertainment.
Mungkin ada yang tertanya, siapa Tunku Ines ini? Pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian ke? Untuk merakam lagu tidak perlu menyertai program realiti atau pertandingan, asalkan anda berbakat dan berkemampuan. Semua itu boleh dilaksanakan jika kena dengan percaturannya.

Bagi penuntut tahun akhir jurusan Komputer Sains di Universiti Nottingham itu, beliau tidak perlu risau tentang kos kerana Tunku Ines adalah anak kepada Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dan Yang Mulia Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Raden ini.
Namun pemilik nama penuhnya, Tunku Ines Najihah Raden, 21, itu tidak mengambil mudah dengan kedudukan yang dimilikinya itu. Demi komitmen untuk bergelar penyanyi, Tunku Ines belajar vokal bersama Cikgu Siti Hajar sebelum rakaman.
“Sejak kecil saya suka menyanyi. Melancarkan single ini adalah impian sejak dahulu. Saya beruntung kerana mendapat sokongan daripada ibu bapa. “Radar” sangat dekat di hati kerana itu semua mencerminkan pengalaman saya sendiri.

“Menerusi lagu ini, saya benar-benar menjadi diri sendiri. Genre pop rock memang sudah sebati dalam jiwa. Sepanjang rakaman saya tidak ada sebarang masalah kerana saya terlibat dari awal dan mereka (komposer) banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sejak awal perbincangan lagu hingga ke akhir rakaman dibuat.
“Saya kongsi melodi dan lirik impian dengan komposer. Mereka sangat terbuka dan tidak pernah kedekut ilmu. Dalam team saya, mereka punya idea sendiri, tapi saya juga tahu apa yang saya mahu. Jadi saya perlu ambil tahu dalam setiap keputusan,” jelasnya.
Menyedari penglibatannya dalam bidang seni suara, bakal mendedahkan dirinya kepada pujian dan kritikan, Tunku Ines mengakui sudah bersedia menghadapi segala dugaan tersebut.

“Orang boleh cakap apa sahaja. Siapa saya untuk menghalang orang lain berkata-kata. Setiap orang ada impian tersendiri dan bidang ini adalah impian yang saya tunggu-tunggu dan saya tidak akan mudah mengaku kalah.
“Saya sudah bersedia jadi penyanyi. Ini bukan main-main. Ini adalah cinta dan impian saya. Saya harap mendapat sokongan daripada orang ramai,” katanya penuh harapan.
Bagi memastikan lagu “Radar” mudah melekat di pendengaran peminat muzik, Tunku Ines mengambil inisiatif untuk menghasilkan video muzik yang luar biasa. Video muzik “Radar” menampilkan konsep Tunku Ines sebagai ratu lautan dengan menampilkan elemen radar marin kapal laut.

Malah, video muzik yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia dan Pantai Goa Langir Sawarna, Banten adalah hasil garapan idea daripada Tunku Ines sendiri dengan kerjasama dari kru produksi PT Lvcid Surya Kreatif, Jakarta, Indonesia.
Pada majlis pelancaran lagunya, kelibat selebriti ternama seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Che Puan Jeslina Hashim, Dato’ Hattan dan pelakon Eja turut hadir memberi sokongan. Ibu bapa tercinta juga turut berada di sisi, memberi restu dan dorongan.
“Saya ada bertanya kepada Sarimah tentang pengalaman live performance. Katanya, proses itu sangat mendebarkan, dan beliau beri saya banyak tip untuk bersedia.
“Saya terharu bila ramai hadir. Semua itu buat saya rasa dihargai dan lebih semangat untuk terus melangkah,” katanya yang sudah merancang untuk tampil dengan dua lagi single baharu tidak lama lagi.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.