Konsert mega Aku Stacy bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Jun ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

AKHIRNYA Stacy berpeluang mengadakan konsert di negeri kelahirannya, Sabah. Konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada jam 8 malam, 21 Jun 2025.

Menurut Stacy, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment bersama U Mobile itu bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah persembahan yang mencurahkan sepenuhnya kreativiti dan dedikasi beliau terhadap seni pentas sebagai hadiah teristimewa buat warga Sabah.

Konsert Stacy nanti akan diserikan dengan persembahan daripada Akim juga.

“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, khas untuk orang Sabah. Saya akan bawa penari dari Semenanjung dan gabungkan dengan penari tempatan. Nantikan gimik dan kejutannya kerana saya tak sabar nak gegarkan SICC!” kata Stacy penuh semangat.

Bagi memeriahkan konsert tersebut, penyanyi lagu “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” itu turut mengundang suaminya, Akim Ahmad. Pasangan ini yang sinonim dengan persembahan romantis bakal tampil dalam salah satu segmen khas yang dijamin akan membuatkan penonton terhibur.

Berbeza dari mana-mana persembahan sebelum ini, Stacy sendiri terlibat 100% dalam konsep, susunan muzik, koreografi, serta pemilihan pasukan kreatif, menjadikan konsert ini paling autentik dalam perjalanan seninya.

Konsert Aku Stacy Menggegar Kota U dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile.

“Konsert ini sangat istimewa bagi saya, saya mahu jadikannya sebuah pengalaman yang tidak terlupakan buat peminat saya di Sabah. Saya amat bersyukur kepada U Mobile kerana merealisasikannya, dengan sokongan mereka, saya dapat menghidupkan visi ini dalam skala yang besar.

“Komitmen mereka terhadap dunia hiburan memberikan saya peluang untuk mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa khas buat para peminat. Konsert ini juga bakal membawa penonton mengimbas perjalanan karier saya seawal era “Aku Stacy” hingga ke “Menyala”.

“Setiap lagu ada ceritanya tersendiri dan ditambah dengan susunan muzik baharu, koreografi segar berserta visual pentas bertaraf antarabangsa. Saya mahukan semua penonton pulang dengan rasa puas, terhibur dan terinspirasi,” ujar Stacy.

Konsert di Sabah ibarat persembahan terima kasih Stacy kepada peminatnya di sana.

Bagi peminat yang mahu menonton persembahan Stacy, bolehlah membeli tiket-tiket yang ditawarkan pada harga RM6,000 – Not For Sale (Duduk), RM399 – Aku Stacy (Duduk), RM257 – Pelangi Senja (Berdiri), RM197 – Gilalah (Berdiri) dan RM137 – Jahat (Berdiri) di www.ticket2u.com.

Untuk info lanjut mengenai konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U”, peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat yang terkini, dan ikuti juga saluran U Mobile untuk konten-konten di belakang tabir serta pengalaman konsert yang eksklusif.

Previous article“Radar” catat perjalanan seni Tunku Ines
Next article“Aidilfitri Bersama Negarawan” Kenang Jasa Tun M Yang Tidak Terbalas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here