Tiga penyanyi wanita yang mempunyai suara mantap bakal menghibur penonton sempena An Evening To Remember With Ayu, Idayu, Alyah di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEMANTAPAN vokal ketiga-tiga penyanyi ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing sudah membuktikan kewibawaan mereka dalam pertandingan yang disertai sebelum ini.

Malah sehingga hari ini kredibiliti vokal Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob tidak pernah mengecewakan sesiapa yang menonton persembahan mereka secara langsung.

Kali ini tiga penghibur wanita handalan tersebut akan bergabung di atas pentas yang sama bagi menjayakan persembahan eksklusif yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun 2025.

Jangan lepas peluang untuk menyaksikan persembahan eksklusif daripada Idayu, Alyah dan Ayu.

Showcase yang bertemakan “An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah” itu bukan sahaja menyaksikan mereka menyampaikan lagu hits secara solo malahan bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.

Pengarah Kreatif & Perhubungan Media showcase itu, Slen Fadzil berkata, idea kolaborasi tiga suara dari Johor, Kelantan dan Sabah itu tercetus daripada Alyah sendiri yang inginkan sebuah gandingan padu di kalangan sahabat baik beliau.

“Sebagaimana yang kita ketahui, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob masing-masing dicungkil bakat mereka daripada tiga pertandingan nyanyian popular iaitu Bintang HMI, One In A Million & Akademi Fantasia Megastar.

Dari kiri, Alyah, Ayu Damit dan Idayu masing-masing mempunyai aura tersendiri.

“Masing-masing ternyata miliki kehebatan vokal tersendiri dan secara kebetulan, mereka menggemari genre-genre lagu yang sama khususnya balada dan pop komersial.

“Jadi memang sesuailah mereka digabungkan untuk memberikan kepuasan berganda kepada penonton kelak. Pada kedua-kedua malam itu kita akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka sendiri selain melodi evergreen hingga terkini daripada artis tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambah Slen lagi, pihaknya amat terharu dan berbangga kerana showcase tersebut mendapat kerjasama terbaik daripada Park Inn by Radisson Putrajaya.

Idea untuk bergandingan bersama, adalah cetusan daripada Alyah yang mahu satu pentas dengan sahabat baiknya.

“Penonton tidak perlu risau kerana lokasi tersebut menjaminkan keselesaan dari segi tontonan dan lebih menarik, penonton akan disajikan hidangan koktel sebelum persembahan bermula.

“Bukan itu sahaja, peminat yang datang dari luar Lembah Klang juga boleh menginap dengan selesa di hotel ini dengan pakej-pakej berbaloi,” kata Slen Fadzil lagi pada sidang media menguar-uarkan showcase tersebut, baru-baru ini.

Showcase bertemakan “Pesona Elegan” itu dianjurkan oleh Like Music Entertainment dengan kerjasama Park Inn by Radisson Putrajaya.

Tiga vokalis wanita ini masing-masing pernah menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Park Inn by Radisson Putrajaya, Encik Yusli Yunus serta Pengarah Projek Showcase, Puan Izza Safinaz Ibrahim serta rakan penaja.

Tiket showcase “An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah” berharga RM350 (termasuk Meet & Greet, Cenderahati & Hidangan Koktel) serta RM250 (termasuk Hidangan Koktel).

Tiket-tiket boleh ditempah mulai 24 April 2025 dengan menghubungi talian Whatsapp 6010-211 4687.

Previous articleErti wuduk dalam kehidupan seharian (Bahagian 1)
Next articleiQIYI perkenal segmen ‘Drama Onz’ untuk peminat drama Melayu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here