Dari kiri, tutor fizik dan kimia, Tasha, Muruka Nathan, Ko-ordinator HCP, Farah dan Vignesh, tulang belakang HCP Education Studio yang membantu pelajar B40.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah pasti idamkan untuk mendapat keputusan terbaik. Bak kata pepatah, kejayaan tak datang bergolek, apapun yang diidamkan perlu disertai dengan usaha.

Justeru ada di antara pelajar akan mengikuti kelas tuisyen untuk memantapkan lagi pemahaman mereka tentang sesuatu subjek. Antara subjek yang sering diikuti dalam kelas tambahan atau tuisyen adalah matematik, sains, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan geografi.

Bagaimana dengan pelajar dari keluarga kurang kemampuan yang sosio-ekonominya rendah atau dikategorikan sebagai B40. Jika ada di kalangan pelajar dari keluarga B40, jangan risau kerana HCP Education Studio ada solusinya.

HCP Education Studio adalah sebuah pusat tuisyen dalam talian yang sedia membantu pelajar-pelajar berkenaan, khususnya dari aliran sains di kalangan B40 yang mahu menimba ilmu.

Tidak dinafikan ramai pelajar mempunyai visi yang baik, cuma mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakannya kerana kekangan kewangan untuk mengikuti kelas tuisyen.

Bagi mengatasi masalah tersebut HCP Education Studio menyediakan kelas tuisyen dalam talian serta beberapa program yang lain untuk mereka yang berminat.

Pengetua HCP Education Studio, Muruka Nathan berkata, bagi memastikan program yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk meraih cita-cita mereka, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa sekolah.

“Kita ada bekerjasama dengan beberapa sekolah yang sudah kita lawati untuk mengenal pasti pelajar dari kalangan B40. Kami di HCP ada pasukan yang sedang bergerak dan berjumpa dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab di sekolah terutamanya pengetua dan kaunselor di sekolah.

“Kaunselor memainkan peranan penting untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan terutamanya dalam kalangan B40. Melalui sistem ini, kaunselor mencadangkan pelajar-pelajar sains yang memerlukan bantuan.

“Kami sasarkan program ini boleh beroperasi di seluruh negara, walaupun terpaksa mengambil masa lama sikit. Selain menggunakan media sebagai cara untuk kita capai sasaran di semua negeri, kami juga merancang untuk mengadakan kaunselor berhubug dengan pihak sekolah supaya pelajar yang kita sasar dapat dihubungi pada kadar segera.

“Ini adalah program pertama dan kami sasarkan lebih kurang 500 pelajar. Ini langkah pertama dan mengharapkan jumlah yang besar dari masa ke semasa yang mana akan menyebabkan HCP akan bergerak atau berkembang dengan lebih pesat,” katanya pada majlis pelancaran biasiswa HCP Educatioan Studio baru-baru ini.

HCP Education Studio mahu memberi peluang kepada pelajar dari B40 menimba ilmu secara atas talian dengan bimbingan mereka.

Ujarnya, biasiswa yang ditawarkan bernilai sehingga RM3,800 bagi seorang pelajar untuk tempoh setahun, yang merangkumi akses kepada kelas online, modul pembelajaran, serta bimbingan akademik yang intensif.

Tambahnya lagi, untuk langkah pertama pihak HCP sedang melihat pada pelajar SPM iaitu tingkatan empat dan lima sahaja. Di masa hadapan, HCP akan mengenal pasti pelajar dari tingkatan satu juga untuk dimulakan pada fasa kedua dan ketiga.

“Fasa pertama adalah lebih kepada pelajar-pelajar aliran sains daripada tingkatan empat dan lima. Buat masa sekarang pelajar sedang membuat permohonan di online juga. Di mana beberapa guru terutamanya kaunselor telahpun memperkenalkan kepada kami pelajar B40.

“Maklumat tentang projek ini boleh didapati di TikTok Live dan sebagainya. Saya cadangkan pelajar atau guru-guru yang ingin membantu pelajar, boleh kenalkan TikTok HCP kami dengan cara ini sasaran yang kita harapkan iaitu pelajar sains tingkatan lima dapat mengikuti TikTok Live kami dan mendaftar diri sebagai calon.

“Kemudian kami akan proses dan seterusnya memastikan pelajar-pelajar berkenaan mendapat peluang yang sewajarnya. Sebenarnya, permohonan tahun ini telah bermula tapi tiada tarikh tutup. Untuk pelajar SPM ada tarikhnya tapi bagi pelajar tingkatan empat pula ia berterusan asalkan mereka mengetahui tentang program ini dan boleh menyertainya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihak HCP turut menyediakan sistem sokongan yang komprehensif, termasuk Student Leadership Team (SLT) dan Professional Leadership Team (PLT), serta sistem Mentor-Mentee.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membina kepimpinan dalam kalangan pelajar, serta memastikan mereka mendapat bimbingan dan sokongan yang diperlukan sepanjang perjalanan akademik mereka.

“Sistem Mentor-Mentee yang ditawarkan membolehkan setiap pelajar dibimbing oleh seorang mentor berpengalaman yang akan membantu mereka mengatasi cabaran akademik dan memberi nasihat dalam merancang masa depan mereka.

Selain itu, pelajar juga akan mendapat peluang untuk menyertai sesi kepimpinan yang dikendalikan oleh SLT dan PLT, yang bertujuan membangunkan kemahiran kepimpinan dan pembelajaran secara berpasukan,” katanya.

Tenaga pengajar profesional dari HCP akan mengajar para pelajar yang berdaftar dari Isnin hingga Jumaat secara atas talian. Walapun belajar menerusi gajet dan komputer riba, setiap pelajar yang mengikut kelas tersebut tetap akan dipantau.

“Kami adalah organisasi yang misinya adalah untuk menjadikan kualiti pendidikan kepada semua. Inilah salah satu caranya yang kami laksanakan. Untuk program kita tak perlu laptop, cukup kalau ada telefon bimbit. Konsep online kita bawa sebab nak pelajar boleh belajar di mana-mana saja.

“Setiap kali pembelajaran online, pelajar akan dipastikan membuka kamera dan kita ada satu sistem iaitu ‘eyeball’ untuk memastikan pelajar ada depan kamera. Kita ada moderator waktu cikgu mengajar,” ujarnya.

Previous article‘Malam Rindu Bayangan’ penghargaan untuk Allahyarham Jay Jay
Next articleSelamat Hari Pekerja 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here