Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBELUM penyanyi Jay Jay menghembuskan nafas terakhir pada 4 Ogos 2024 dalam usia 67 tahun, Allahyarham pernah berimpian untuk menjayakan konsert solo. Namun impiannya itu tidak sempat dilaksana.
Bagi memastikan hasrat Allahyarham tidak terhenti begitu saja, anak Jay Jay iatu Nur Camelia atau lebih dikenali sebagai Cammy, menghubungi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez dan menyuarakan hasrat agar diadakan satu persembahan penghargaan bagi mengenang jasa dan sumbangan arwah dalam dunia seni tanah air.
Tidak menolak hasrat Cammy, Freddie yang mengenali Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus sebagai seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai bersetuju untuk menganjurkan persembahan khas kepada Allahyarham.

Freddie yang pernah berjuang dalam bidang seni sebagai penyanyi untuk kumpulan The Revolvers dan Jay Jay pula bersama Carefree telah menghubungi rakan-rakan artis yang seangkatan atau yang pernah bekerjasama dengan arwah untuk bersatu di atas pentas sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.
Ternyata ramai yang mahu menjayakan acara tersebut sebagai tanda penghormatan kepada sahabat kesayangan mereka itu dalam satu persembahan Istimewa yang diberi nama ‘Malam Rindu Bayangan’.
Persembahan istimewa itu akan diadakan pada 11 Mei (Ahad) 2025 di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang, bermula jam 8 malam.
Jelas Freddie, ia merupakan sebuah persembahan amal makan malam selama tiga jam, yang menampilkan gabungan artis-artis hebat tanah air yang rata-rata merupakan sahabat rapat Allahyarham Jay Jay.

Para artis utama yang akan membuat persembahan ialah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khadijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta barisan asal kumpulan Carefree yang pernah bersama Jay Jay dalam detik-detik gemilangnya.
Turut serta menjayakan persembahan tersebut sebagai pembuka tirai ialah penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah yang akan menyampaikan beberapa buah lagu. Persembahan akan diiringi oleh para pemuzik maestro tanah air seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Firdaus dan lain-lain.
Selain persembahan pentas, kata Freddie, malam tersebut turut akan menyaksikan jualan amal lukisan penghargaan oleh pengkarya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots), yang akan dijual secara bida, serta penampilan istimewa saudara Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arahan seni album arwah sepanjang kariernya.
“Segala kutipan hasil malam amal ini akan disumbangkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan. Sebagai simbolik permulaan, pada hari sidang media ini juga, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima utama yang amat memerlukan bantuan dan sokongan moral iaitu Shuib (Freedom), Ramlah (balu kepada Allahyarham Yazit, pemain dram kumpulan Search), dan Ali (XPDC).

“Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua,” kata Freddie lagi.
Orang ramai, para peminat setia Jay Jay, serta peminat barisan artis terlibat, dijemput hadir dan menyokong acara ini. Sokongan boleh disalurkan melalui pembelian meja untuk 10 orang pada harga RM1,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000.
Bagi yang ingin hadir secara individu, tiket berharga RM150 turut disediakan namun terhad kepada hanya 100 tempat sahaja berdasarkan, siapa cepat, dia dapat.
Ini merupakan satu peluang yang amat berbaloi untuk menikmati persembahan luar biasa barisan artis terbaik negara sambil menjamu selera dan beramal dalam suasana penuh kenangan.
Untuk tempahan meja, pembelian tiket, tajaan atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.