Oleh: Khadijah Ibrahim
SEDAR tak sedar, rupa-rupanya sudah 10 tahun Kugiran Masdo terlibat dalam bidang seni. Kumpulan yang dianggotai oleh Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri itu, baru-baru ini telah meraikan satu dekad perjalanan seni mereka dalam industri muzik dengan cara yang cukup unik dan mengejutkan.
Bertempat di Saloma, Kuala Lumpur, majlis bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” berlangsung dengan meriah pada 30 April lalu yang bermula jam 9 malam berjaya menghimpunkan lebih 200 peminat setia serta rakan-rakan media.

Sebagai penghargaan buat para peminat, Kugiran Masdo menghadiahkan persembahan eksklusif secara langsung menerusi “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” yang mengimbau kenangan lagu-lagu hits mereka.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah”, yang menghangatkan suasana dan membuat para hadirin bernyanyi bersama.
Menyedari yang pertemuan tersebut terlalu singkat untuk menghibur peminat mereka, Kugiran Masdo mengambil keputusan untuk mengadakan Konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’.

Pengumuman mengejutkan itu daripada kumpulan tersebut pada acara berkenaan membuatkan peminat tidak sabar untuk hadir memeriahkan konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ anjuran Hitman Solutions yang bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara.
Bukan sekadar akan menghibur para peminat mereka, malah Kumpulan Masdo juga berjaya meletak nama mereka sebagai artis pertama yang mengumumkan konsertnya di lokasi tersebut.
Dengan kapasiti yang boleh memuatkan 7,000 pax, MASDO boleh menyambut ulang tahun ke-10 mereka bersama para peminat dengan suasana yang lebih intim.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata, sebagai rakyat Malaysia yang turut bergiat dalam dunia hiburan dan muzik, pihanya sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan.
“Dengan pengalaman, bakat, dan legasi Kumpulan Masdo yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah.
“Bagi kami, pengumuman besar ini perlu dimulakan dengan sesuatu yang benar-benar istimewa dan penuh kejutan, supaya perjalanan menuju hari konsert nanti menjadi lebih bermakna.

“Dengan sokongan padu daripada peminat setia mereka, kami yakin konsert ini bakal meraih sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat lama tetapi juga yang baharu,” kata Rohit.
Peminat boleh pra-daftar mulai 30 April hingga 1 Mei untuk dapatkan harga Rockzone Early Bird – RM128. Sekiranya terlepas, peminat masih boleh membeli tiket semasa Public Sale dengan harga Rockzone (Free Standing) – RM148 dan Cat 1 (Free Seating) – RM198.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket, sila ikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau hubungi talian +6012-265 5783 atau [email protected].

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.