Oleh: Khadijah Ibrahim
BERMULA 8 Mei ini, jika hadir ke pawagam untuk menonton filem ‘Gayong’ lakonan Beto Kusyairy, Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi, anda juga akan dihiburkan dengan lagu “Malam Nestapa” yang merupakan runut bunyi untuk filem arahan Faisal Ishak.
Lagu “Malam Nestapa” nyanyian Nikki Palikat yang mendapat sentuhan komposer, Leonard Yeap, liriknya tulisan Raihani Mohd. Saaid dan David Koon sebagai penerbit, bukanlah mudah untuk dipersembahkan.
Ujar Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat, 40, lagu tersebut sarat emosi dan disuntik dengan jalan cerita cukup mendalam. Apatah lagi, ia sebuah lagu runut bunyi yang dicipta khas untuk naskhah layar perak.

Menurut Nikki, “Malam Nestapa” berkisar penderitaan seseorang yang dilanda keperitan amat mendalam. Sakit dirasakannya tidak tergambar sehingga ke satu titik putus segala harapan pada satu malam yang nestapa itu.
“Insan berkenaan hampir berputus asa namun berusaha mengumpul segala kekuatan dan ingatkan kembali dirinya pada sebuah ikrar yang dipegangnya. Dia perlu terus berjuang dan kotakan ikrar itu.
“Sewaktu menerima demo lagu ini, saya teringat kepada lagu “Terasing” nyanyi Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Penghayatannya mirip menggambarkan pasal seseorang ditimpa kemurungan,” katanya.
Penyanyi berasal dari Tambunan, Sabah ini amat berpuas hati apabila emosi dan penghayatannya dicurahkan sepenuh hati. Nuraninya memang tersentuh dengan mesej besar dalam “Malam Nestapa”.

“Bahagian paling saya suka adalah korusnya yang menceritakan perasaan ingin patah semangat. Tapi pada masa sama, masih kental semangat juang dalam dirinya untuk melawan perasaan itu.
“Melodinya berjaya menggambarkan kegetiran itu dan mesejnya cukup bermakna mengenai bagaimana mencari kekuatan dalam pada emosi dan harapan hampir punah,” katanya lagi.
Menariknya, Nikki juga menimba ilmu baharu dalam proses teknikal rakamannya. Dia memuji ketegasan komposernya Leonard yang enggan karya itu digubah dan harus dinyanyikan mengikut komposisi aslinya.
“Ini kerjasama sulung saya bersama Leonard dan corak kerjanya sangat mengutamakan perincian segala aspek. Contohnya, pada bahagian nada suara serta susunan muzik lagu ini.

“Dia sangat tegas mahukan penyanyi selesakan diri dengan komposisi asal lagu diciptanya. Ini kerana, dia enggan penghayatan yang ditetapkan dalam lagunya tersasar,” jelasnya.
Paling membuatkan Nikki meremang adalah tatkala mendengar petikan piano Leonard yang cukup memukau. Sebaik dia menyerap ‘roh’ lagu itu, sekali gus melancarkan proses rakamannya.
“Ketika saya mendengar mainan pianonya untuk lagu ini, barulah saya dapat merasakan rohnya yang amat luar biasa. Proses rakaman di studio cuma memakan masa sekitar dua jam.
“Leonard sudah beritahu hala tuju keseluruhan konsep lagu dengan begitu jelas sekali. Saya tabik betapa tegasnya dia dalam proses kreativitinya. Kena lunaskan juga apa yang sudah dia tetapkan dari awal,” katanya.

Nikki amat berbesar hati diberi peluang itu dan besar impiannya agar “Malam Nestapa” mampu menyentuh hati ramai. Dia berharap penghayatannya dalam lagu itu akan menusuk jauh ke lubuk hati pendengar.
“Ini sebenarnya kali pertama saya menyanyikan runut bunyi untuk filem bergenre aksi. Semoga penyampaian nyanyian saya dalam “Malam Nestapa” cukup rasa dan beri keadilan kepada filem itu.
“Saya juga ingin ambil kesempatan berterima kasih kepada SOL Pictures dan Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip atas kepercayaan untuk menyanyikan runut bunyi filem itu,” katanya.
Filem ‘Gayong’ diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dan penggambarannya dibuat di Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.