Dua acara besar ini dijangka dapat menarik ramai pelancong ke Sarawak

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEMENTERIAN Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak bersama TVS dengan kerjasama Astro, bakal menganjurkan konsert berskala besar bagi menghibur penduduk di Sarawak.

Konsert ini bukan sahaja memaparkan gabungan hebat antara dua jenama hiburan terbesar negara, tetapi juga menandakan satu lagi kejayaan dalam memperluas jangkauan industri kreatif ke utara Bumi Kenyalang itu.

Konsert yang diberi nama ‘Konsert MeleTOP TVS’ yang dibawakan oleh U Mobile itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri, pada 17 Mei 2025 turut disusuli oleh rakaman khas MeleTOP keesokan harinya, 18 Mei 2025.

Ini adalah kali pertama program hiburan popular tersebut dibawa keluar dari Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai tuan rumah bersejarah untuk edisi luar biasa ini.

Barisan artis yang bakal menghiasi pentas termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi, satu gabungan mantap antara budaya tradisional Borneo dan muzik pop kontemporari yang pasti memukau penonton. Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV Unifi TV), Astro ONE dan Sooka.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, serta Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Hj. Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara tersebut merupakan satu pencapaian besar buat industri kreatif tanah air.

“Ini merupakan satu pencapaian besar buat industri kreatif kita. Kami bangga menyokong penganjuran berskala besar seperti ini di Miri. Tahniah kepada TVS dan Astro atas kerjasama luar biasa ini,” katanya.

Artis kelahiran Sarawak berpeluang menjayakan ‘Konsert MeleTop TVS’ di Stadium Tertutup Miri pada 17 Mei ini.

Bukan setakat itu saja, pada 21 Mei 2025, sambutan diteruskan dengan “Konsert Berkat Gawai-Kaamatan”, menampilkan Ratu Rock Negara, Ella sebagai peneraju utama. Turut serta memeriahkan malam istimewa ini adalah Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX serta artis jemputan dari Kalimantan, Marina Jara.

Konsert ini akan bermula pada jam 7:30 malam, dan akan disiarkan pada 31 Mei 2025 jam 9 malam di TVS bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal. Ini merupakan satu penghargaan kepada warisan dan budaya masyarakat Sarawak, Sabah dan Kalimantan, di samping meraikan perpaduan melalui muzik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, memberitahu pemilihan Miri sebagai lokasi bukanlah secara kebetulan.

“Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak, berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Dengan ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya bakal disambut, ini adalah masa terbaik untuk meraikan bersama rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Naib Presiden, Kurasi & Penciptaan Kandungan Tidak Berskrip GenNext Astro, Elyna Rahmat turut berkongsi keterujaannya.

“Hampir setahun kami merancang kolaborasi ini. Muzik menyatukan semua, dan konsert ini adalah bukti perpaduan tersebut. Kedua-dua konsert ini bukan sahaja menawarkan persembahan hebat dari artis-artis ternama, tetapi turut membuka peluang besar kepada bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak untuk berkongsi pentas dengan bintang-bintang terkenal.

“Dengan kemasukan percuma, acara ini dijangka menarik pelancong dari dalam dan luar negara, termasuk dari Brunei dan Kalimantan,” katanya.

Dapatkan tiket-tiket anda di tvsarawak.my/kejutan-tvs – tetapi cepat, tiket adalah terhad.

Previous articleLagu raya keluaran Rockfuel Entertainment yang lalu dapat sambutan hangat!
Next articleSentiasalah Memperbaharui Wuduk! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here