Lagu "Meriah Lain Macam" berjaya menduduki carta nombor satu di Malaysia dan Brunei.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TAHUN ini boleh dikatakan paling banyak lagu raya dihasilkan bagi memeriahkan sambutan Syawal, lebih daripada 20 buah lagu raya. Apabila banyak lagu raya yang diterbitkan, pendengar pun pening kepala nak dengar yang mana.

Hanya lagu yang boleh masuk ke kepala dan pendengaran pendengar saja yang akan didengar berulang kali kerana setiap orang ada pilihan tersendiri.

Antara yang mendapat sambutan hangat adalah lagu “Serumpun” dendangan Mimi Fly, “Meriah Lain Macam” (Hael Husaini & Nadeer), “Raya Nak Ke Mana?” (Datuk Seri Siti Nurhaliza), “Tum Tum Raya” (Shiha & Ieda Zikir), “Nyam Nyam Ketupat” (Wani Kayrie, Zizan Razak, Dinda Dania & MissAlvy), “Raya Pum Pang” (Fazura & Syasya Rizal) dan “Raya Ya Ya” (Iman Troye & Dato’ Aliff Syukri).

Kolaborasi Nadeera demgan Hael Husaini yang juga komposer itu sering membawa kejayaan kepada mereka.

Pada tahun ini, Rocketfuel Entertainment telah melancarkan tiga lagu raya yang mencipta fenomena tersendiri, “Meriah Lain Macam”, “Nyam Nyam Ketupat” dan “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera.

Ketiga-tiga lagu ini telah mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim/tontonan secara kolektif di YouTube dan platform digital lain, menjadikannya antara projek muzik raya paling berjaya dalam sejarah Rocketfuel Entertainment.

“Meriah Lain Macam”, ciptaan Hael bersama Iqie Hugh yang dimulakan dengan lirik ‘Sayang…Ya iya sayang? You ada mana sekarang? Dah kenapa sayang? menggambarkan keterujaan pasangan suami-isteri membuat persiapan pulang ke kampung untuk berjaya menduduki tempat pertama di carta Malaysia dan Brunei.

Lagu solo raya dendangan Nadeera “Dam Dim Dum Raya” turut mendapat perhatian ramai.

Lagu itu menjadi tular dan berjaya mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan menduduki tangga No.1 di pelbagai carta, termasuk Carta RIM (Lagu Melayu) (kini dikenali sebagai Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei. Malah lagu tersebut juga “trending” nombor 1 di YouTube selama 33 hari berturut-turut.

“Alhamdulillah, saya amat terharu dengan sambutan luar biasa terhadap “Meriah Lain Macam”. Bila saya dan Nadeera rakam lagu ini, niat kami hanya hendak sampaikan kemeriahan, rasa gembira dan semangat raya yang semua rindukan.

“Tak sangka pula lagu itu boleh meledak dan ini semua benar-benar di luar jangkaan. Saya berterima kasih kepada semua peminat dan pendengar yang menjadikan lagu ini sebagai sebahagian daripada ‘playlist’ raya mereka. Ini hadiah paling manis buat kami tahun ini,” kata Hael terharu.

Barisan artis Rocketfuel Entertainment pada majlis ‘Last Kopek Raya Rocketfuel’ di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Wani Kayrie mengakui, beliau terharu dan teruja dengan sambutan yang diberikan kepada lagu dendangannya bersama rakan artis lain.

“Saya benar-benar teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima “Nyam Nyam Ketupat”. Tak sangka lagu yang kami rakam dengan penuh keceriaan dan semangat raya ini mencuri hati jutaan pendengar.

“Gabungan tenaga semua artis menjadikannya sangat istimewa. Melihat orang ramai menari dan menyanyi bersama di media sosial memang sangat mengujakan. Saya anggap ini sebagai salah satu pencapaian terbaik saya untuk musim raya kali ini,” katanya tersenyum.

Lagu “Nyam Nyam Ketupat” juga tidak kurang hebatnya kerana tariannya juga menjadi ikutan.

Lagu “Nyam Nyam Ketupat” ciptaan Shazriq Azeman, John Jeeves, Omar K, Riz dan Zizan itu merupakan lagu raya ceria dengan melodi yang menarik serta lirik yang mencuit hati. Lagu tersebut meraih hampir lapan juta tontonan di YouTube dan mencapai kedudukan No.3 Most Streamed Malay Singles In Malaysia.

Selain itu, lagu tersebut turut memperkenalkan tarian unik yang menjadi tular di media sosial, dan menariknya, bintang sukan badminton dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Victor Axelsen turut menggunakan “Nyam Nyam Ketupat” sebagai lagu latar dalam salah satu hantaran di akaun TikToknya ketika sesi latihan di Kelab Badminton Gentofte, Denmark.

Selain “Meriah Lain Macam” lagu dendangan Nadeera yang berjudul “Dam Dim Dum Raya” juga tidak kurang hebatnya. Sebagai penyanyi solo, lagu dendangan Nadeera meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube, sebuah pencapaian yang membanggakan.
“Saya sangat bersyukur dengan sambutan yang diberikan terhadap “Dam Dim Dum Raya”. Ini adalah lagu raya solo pertama saya, jadi ia memang sangat bermakna.

Kejayaan di luar jangkaan bagi artis yang mendendangkan lagu ini.

“Walaupun kita tahu persaingan lagu raya setiap tahun sangat sengit, tapi melihat sokongan daripada peminat dan bagaimana lagu ini berjaya mencuri tempat di hati ramai benar-benar menyentuh hati saya,” akuinya.

Melihat kepada sambutan hangat terhadap projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment bertekad untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti dan segar kepada penonton dan pendengar.

Terkini Rocketfuel Entertainment baru saja mengeluarkan lagu “Bukan Lagi Kita” dan “Diam” versi Anugerah Juara Lagu di semua pelantar digital utama sejak 1 Mei lalu.

Previous articleWow!…Meriah sungguh pilihan ‘Set Lunch’ Restoran Rasa Rosz!
Next articleKonsert MeleTOP TVS, ‘hadiah’ kepada penduduk Miri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here