Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS tampil dengan lagu “Nur Cinta”, “Calar” dan “Langit Biru”, kini Amir Masdi muncul dengan lagu “Bakal Kekasih” yang merupakan single keempat yang dilancarkan daripada album A.M P.M (Side A.M).
“Bakal Kekasih” berkisar mengenai perasaan seorang insan apabila sudah mulai menyukai seseorang. Lagu ciptaan Amir bersama komposer terkenal Edry Abdul Halim itu bukan hanya menyerlahkan sisi baharu dia malah turut membawa mesej yang bersifat universal dan menyentuh perasaan.
Berbeza daripada karya-karya terdahulunya, “Bakal Kekasih” menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll, menyuntik nafas baru dan segar dalam katalog muziknya.
Amir, 29, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, pada awalnya dia menulis lagu tersebut biasa saja yang menyatakan perasaan apabila kita menyukai seseorang itu.

“Saya tulis lagu ni sebagai lagu yang fun yang mana ia mengenai bagaimana kita suka pada seseorang. Tapi Cikgu Edry (Edry Abdul Halim) bagi idea, kenapa tak jadikan kisahnya lebih mendalam.
“Jadi, daripada sekadar suka, kami tukar menjadi seseorang yang kita mahu jadikan pasangan hidup. Saya berasa itu idea yang menarik dan boleh relate dengan semua orang, baik yang bujang mahupun yang dah kahwin,” katanya.
Sejujurnya Amir akui lagu ini amat berbeza daripada karya-karya terdahulunya dan sekali gus memberi semangat baharu kepadanya.
“Saya berasa “Bakal Kekasih” sangat berbeza daripada lagu-lagu yang saya pernah lancarkan sebelum ni. Ini adalah lagu pertama rock and roll saya dan sebenarnya saya dah tulis lagu ni lama dah iaitu selepas PKP. Tapi lagu ini tersadai beberapa tahun dalam phone saya.
“Jadi, ketika saya nak menghasilkan album ini, Cikgu Edry tanya saya nak lagu macam mana lagi untuk album ini, dan saya terus teringat lagu rock and roll ni.
“Saya cakap pada cikgu yang mana saya nak satu lagu rock and roll.’ Saya pun kongsi lagu yang saya dah tulis dan cikgu kata, ‘This is a good tune.’ Dengan bantuan beliau, siaplah lagu Bakal Kekasih,” katanya lagi.

Amir turut berharap “Bakal Kekasih” dapat menjadi medium untuk orang ramai meluahkan rasa terhadap insan yang mereka minati atau cintai.
“Kalau ada siapa yang ada crush tapi tak berani nak luah atau kongsi, boleh guna lagu ni. Lagu ni memang direct dan menyeronokkan,” katanya.
Menambah keterujaan, video muzik “Bakal Kekasih” sudah dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, pada Februari tahun lalu.
“Kami ambil konsep free and easy dan teenage vibes iaitu ala-ala High School Musical atau Uptown Girl. Saya nak tonjolkan tenaga dan suasana ceria untuk semua orang,” jelas Amir.
Dengan elemen klasik yang jarang diketengahkan dalam industri muzik masa kini, “Bakal Kekasih” dijangka memberi kepuasan kepada peminat yang merindui irama rock and roll.
“Saya harap lagu ni dapat mengubat rindu peminat rock and roll. Ini memang sesuatu yang berbeza daripada saya dan saya sangat teruja serta berharap ia membawa sesuatu yang baik untuk kerjaya saya juga,” katanya.
Single “Bakal Kekasih” kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube AR United Music.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









