Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS berjaya menghibur peminatnya menerusi ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya pada Disember 2024, kini penyanyi berkenaan mahu meneruskan pula dengan konsert berskala besar tahun ini.
Kali ini penyanyi lagu “Bunga Bunga Cinta” itu memilih Mega Star Arena, Kuala Lumpur sebagai lokasi untuk dia menjayakan konsert ‘DiA Misha Omar’ yang dijadual berlangsung pada 29 November ini yang dianjurkan oleh Double M Production dengan Altus Prohouse sebagai Pengurus Konsert ‘DiA Misha Omar’.
Misha atau Samihah @ Aisah Omar, 43, pemilik tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) mengakui tidak sabar untuk menjayakan konsert tersebut yang dianggap sebagai sejarah penting yang bakal tercatat dalam karier seninya setelah 20 tahun menyanyi.
“Konsert ‘DiA Misha Omar’ bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier yang telah dilalui lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh penggiat industri dan peminat.
“Ironi, saya tidak pernah mempunyai kelab peminat tetapi dengan kuasa karya bermutu yang diberikan kepada saya, dengan kepercayaan peminat bahawa saya masih relevan untuk menghiburkan mereka, maka perjalanan seni saya dapat bertahan sehingga kini.
“Siapa sangka, diam-diam saya berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai seorang penghibur. Dan ‘DiA Misha Omar’ adalah titik destinasi baharu yang akan saya tandai dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua.
“Ia umpama sebuah “Riwayat Cinta” daripada Misha Omar kepada semua. Saya mahu melihat adakah peminat “Masih Mempunyai Rasa Itu” terhadap Misha Omar. Jika ada, “Pulangkan” rasa itu dan “Semoga Abadi” dalam lipatan memori mereka yang hadir kelak,” katanya penuh semangat tatkala bercerita mengenai persembahan yang bakal dijayakan nanti.
Selaku penganjur, Double M Production menegaskan ‘DiA Misha Omar’ bukan sekuel kepada showcase yang dianjurkan sebelum ini. Sebaliknya, ‘DiA Misha Omar’ adalah sebuah keraian perjalanan seni, merayakan muzik yang tetap subur dan tanda apresiasi terhadap sokongan lebih dua dekad yang telah diperoleh penyanyi itu.
‘DiA Misha Omar’ juga menjadi titik perjalanan fasa baharu penghibur itu yang tidak selalu melakukan konsert kerana dia seorang penghibur yang sentiasa sukakan sesuatu yang sederhana tetapi meninggalkan atau mencetak nilai yang besar di sebalik setiap pekerjaan yang dilakukan.
Sama seperti pemilihan judul, konsert ini adalah tentang penceritaan yang disampaikan lewat karya-karya dan ‘hitam putih’ perjalanan 23 tahun dirinya dalam industri seni.
‘DiA Misha Omar’ diharapkan menjadi momen untuk berbagi hal-hal manis bersama peminat sejak dari zaman Bunga-Bunga Cinta sehingga single terkini, “Break”.
Sementara itu, Altus Prohouse selaku pengurus konsert akan memastikan peminat yang hadir menikmati kepuasan dan pengalaman baharu yang tidak pernah didapatkan menerusi persembahan Misha Omar sebelum ini.
“Kami akan memastikan sesuatu yang berkualiti, pengalaman menikmati konsert yang hebat dengan barisan pemuzik dan persembahan panggung daripada sang legenda Misha Omar pada tahap terbaik pada ‘DiA Misha Omar’, malam 29 November 2025 nanti.
“Bagaimana ia akan berlangsung dan apa yang bakal berlaku, semua itu terjawab apabila anda menjadi salah seorang saksi nyata DiA Misha Omar di Mega Star Arena, Kuala Lumpur kelak,” ujar Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse.
Kategori tiket bermula daripada harga RM288 (SILVER), RM388 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM588 (DIAMOND), RM688 (VIP 2), RM1,200 (VIP 1), RM1,200 (2 PAX, ROYAL TWIN SEAT) boleh dimiliki menerusi pembelian di https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









