Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU sebut nama SonaOne pasti teringat lagu dendangannya bersama Joe Flizzow, antaranya “Havoc”, “Apa Khabar?”, “Sang Saka Biru” dan “Satu Malam di Temasek”.
Sebenarnya SonaOne atau nama penuhnya, Mikael Adam Muhammad Rafee Michel Lozach, 37, bukan sekadar boleh menyanyi, dia juga berbakat sebagai penulis lirik, penggubah lagu, penerbit rakaman dan pelukis grafiti.
SonaOne yang dilahirkan di Kuantan, Pahang itu kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single baharunya berjudul “Stamina”.

Stamina yang membawa maksud daya tahan adalah sebuah karya yang menampilkan sisi lebih matang dan reflektif dari SonaOne. Ia tentang mengekalkan ‘cool’ dalam situasi sukar.
Lagu ini membawa pendengar menyelami perasaan dalaman yang disimpan, saat kita cuba kekal tenang walaupun jiwa sedang bergelora.
Menurut SonaOne, lagu tersebut dicipta secara spontan, bermula dengan hook “mmm-mmm” yang dirakam secara rawak, namun kekal hingga ke versi akhir.
“Saya tak fikir terlalu banyak. Saya hanya ikut rasa. K1O bantu perkemas beberapa baris akhir, dan Wolfy pula bantu bina struktur lagu dari draf asal saya.

“Kadang-kadang lagu terbaik datang bila kita berhenti cuba dan biarkan ia mengalir kerana demo “Stamina” sendiri sudah memiliki jiwa. Kami hanya memperindahkannya tanpa menghilangkan perasaannya.
“Saya mahu mengekalkan rasa asli itu. Dari lakaran ke gambaran penuh, ia berkembang, tetapi degupan jantungnya tidak pernah hilang. Lagu ini berkaitan stamina emosi terutamanya ketahanan hati dan bukan fizikal semata-mata,” jelasnya tentang maksud di sebalik lagu tersebut.
Tambahnya lagi, lagu yang sudah dilancarkan di semua platform digital itu hanyalah permulaan dan baru pemanasan.
“Tiada gimik, tiada sensasi palsu, hanya karya jujur dengan produksi yang berkualiti. Kalau lagu ni kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya.
“Selepas ini akan ada lebih banyak muzik, lebih banyak visual, dan lebih banyak cerita. Sekarang saya lebih yakin nak berkarya dengan cara saya sendiri,” katanya penuh keyakinan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









