Riza Che Umar (dua dari kiri) harap Malam Pesta Ronggeng dapat memperkenalkan muzik klasik kepada generasi baharu.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEJAK Restoran Saloma diambil alih oleh Datin Riza Che Umar selaku Presiden Saloma Kuala Lumpur, premis tersebut sering menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati makanan yang enak di situ. Selain menikmati pelbagai hidangan makanan, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan.

Sehubungan itulah, bagi memeriahkan lagi suasana di situ, Riza bakal menganjurkan Malam Pesta Ronggeng yang bakal menggamit memori indah dengan persembahan eksklusif daripada Aruel & The Fasola yang akan berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada 15 dan 16 ogos ini.

Jelas Riza, penganjuran acara tersebut bukan sekadar untuk menghiburkan penonton tetapi juga bakal menjadi platform untuk memperkenalkan semula keindahan muzik klasik dan tradisi tari menari kepada generasi muda.

“Objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk mengembalikan memori indah muzik klasik kepada generasi baharu sambil meraikan peminat muzik lama.

“Jadi, Malam Pesta Ronggeng ini diadakan untuk mencipta ruang hiburan yang bukan sahaja eksklusif tetapi juga mengekalkan elemen seni budaya tempatan yang semakin dilupakan. Kami ingin semua tetamu merasai keunikan muzik klasik dengan sentuhan moden dalam suasana penuh gaya,” katanya.

Menurut Riza, pihaknya optimis persembahan yang diadakan selama dua malam itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan jualan tiket amat memberangsangkan dengan sasaran 50 meja untuk dua malam persembahan. Kami optimis untuk melihat kehadiran penuh bagi kedua-dua malam ini,” katanya.

Malam Pesta Ronggeng bakal dijayakan oleh Aruel & The Fasola.

Pada masa sama, Riza berkata, pihaknya bercadang menjadikan Malam Pesta Ronggeng sebagai acara berkala.

“Insya-Allah, kami merancang untuk mengadakan acara seperti ini setiap empat bulan sekali di Saloma KL supaya hiburan berkonsep klasik terus mendapat tempat di hati penggemar seni tanah air,” katanya.

Sementara itu, Aruel yang mewakili The Fasola berkata, persembahan ‚Malam Pesta Ronggeng‘ adalah sesuatu yang cukup bermakna buat mereka.

“Kami, Aruel & The FasoLa, mula aktif membuat persembahan sejak 2022 hanya secara ‘private’ dan ‘underground’. Namun, kini dengan sokongan ramai dan peluang besar ini, kami sangat terharu.

“Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak penganjur serta semua yang terlibat. Pastinya kami ingin memberikan persembahan yang maksimal untuk semua yang bakal hadir. Kami benar-benar teruja dan berterima kasih kepada semua,” katanya.

Menurut Aruel, malam penuh magis itu bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia era 40-an hingga 60-an, terutamanya karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma, yang diiringi oleh 10 pemuzik termasuk penyanyi latar.

Menurutnya lagi, persembahan mereka membawa konsep ala ‘Buloh Inn’ yang terkenal dengan suasana klasik dan eksklusif.

“Kami bawakan gubahan muzik dengan gabungan elemen klasik dan moden agar lebih segar untuk didengar semua tetamu. Ia bukan sahaja mengekalkan keaslian karya lama tetapi turut memberi sentuhan baharu supaya relevan kepada generasi masa kini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsep ‘ronggeng’ yang diangkat sebagai tema malam tersebut, Aruel berkata persembahan itu lebih menyeluruh.

“Dalam sudut kebudayaan, memang wujud istilah ‘tarian ronggeng’. Namun bagi kami, Aruel & The Fasola, ronggeng itu kami gambarkan dengan suasana tari menari yang mana muzik kami mempunyai elemen Malay Jazz dan klasik serta suntikan latin seperti Cha Cha, Rumba, Bossa dan Twist pasti akan menukarkan malam itu menjadi malam tari menari untuk semua yang hadir,” ujarnya.

Aruel turut berharap persembahan mereka mampu mengembalikan nostalgia dan memberikan kepuasan sepenuhnya kepada tetamu yang hadir.

“Semestinya kami akan cuba membuat semua tetamu bangun dan menari bersama pada malam itu. Kami mahu menghidupkan semula kenangan manis dengan lagu-lagu klasik yang sudah sebati dalam jiwa ramai penggemar,” tambahnya.

Bagi yang ingin hadir pada acara Malam Pesta Ronggeng, tiket-tiket dijual pada harga DIAMOND (VIP) : RM8,000/rm800 perpax (termasuk makan malam dan merchandise rasmi), PLATINUM : RM6,000/rm600 perpax (termasuk makan malam dan merchandise rasmi) dan GOLD : RM4,000/rm400 perpax (termasuk makan malam dan merchandise rasmi).

Untuk pembelian tiket/meja sila hubungi SNI: 012 662 4079, HATTA: 018 223 9934 dan JOE: 017 470 5455

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here