Noh Salleh mendendangkan lagu Glenn Fredley yang berjudul "Tega" dan " Karena Cinta".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM mengakhiri persembahan pada malam itu menerusi lagu “Kasih Puith”, hologram Glenn Fredly menyeru penonton agar berbagi kasih sesama insan. Sosok tubuh yang ditampilkan menerusi teknologi imej tiga dimensi itu juga mengakui malam itu adalah sejarah buatnya kerana kehadiran penonton yang hadir menyokong konsertnya.

Pada 18 Julai baru-baru ini, di Zepp Kuala Lumpur, peminat-peminat Glenn berpeluang melepaskan rindu mereka untuk mendengar suara mendiang ‘secara langsung’ menerusi konsert ‘Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia’ yang dibawa khas oleh Premier Live Productions.

Konsert hologram adalah penggunaan teknologi yang membolehkan penghibur kembali ke pentas semula selepas mereka tiada. Tidak dinafikan ada yang mengkritik penganjuran konsert hologram kerana ia merupakan satu bentuk eksploitasi, terutamanya apabila melibatkan penghibur yang telah meninggal dunia.

Namun penyokong berpendapat ini adalah cara untuk mengekalkan legasi penghibur dan memperkenalkan muzik mereka kepada generasi baharu.

Bella Astillah mengambil kesempatan mendendangkan single baharunya, “Lebih Indah Berpisah”.

Ternyata menerusi teknologi terkini itu juga berjaya menyentuh hati penonton, tatkala Glenn tampil mendendangkan lagu “Itu Saja”. Lagu “Itu Saja” merupakan duet mendiang dengan isteri tercinta, Mutia Ayu.

“Lagu itu dicipta Glenn sempena sambutan ulang tahun perkahwinan kami yang pertama dulu dan itulah kali pertama kami berduet. Lagu itu direlease pada 2021 selepas pemergian dia.

“Malam ini sangat luar biasa kerana saya dapat menyanyi di hadapan anda semua di sini bersama anak saya (Gewe). Saya harap anda semua suka dengan lagu tersebut,” kata Mutia dalam nada sebak.

Selain Mutia yang sangat terasa kehilangan suami tercinta, rakan-rakan pemuzik yang lebih 10 tahun mengiringi persembahan Glenn juga turut terasa. Anggota kumpulan The Bakuucakar yang dianggotai oleh Rayendar Sunito (dram), Rifka Rachman (squencer), Bonar Abraham (bass), Andra Dinuth (gitar), Harry Anggoman (keyboard), Kenna Lango (hammond) dan Nicky Manuputty (saksafon) memberitahu selepas pemergian Glenn, mereka nyaris berpecah.

“Sejak 2008, kami iringi persembahan Glenn dan sudah 17 tahun kami bersama. Pemergian Glenn pada 8 April 2020 merupakan satu kehilangan besar buat kami dan seluruh Indonesia.

Rian Ekky Pradipta, vokalis kumpulan d’Masiv mendendangkan lagu “Terserah” dan “Akhir Cerita Cinta”.

“Selepas Glenn tiada, kami semua menjadi sessionist untuk penyanyi lain. Pada 2022, kami release album berjudul “Bakuucakar” dan lagu “Merindu” yang terdapat dalam album tersebut menceritakan tentang kerinduan kami kepada Glenn. Semoga lagu ini memberi kekuatan kepada kami untuk terus bermain muzik,” kata Rifka Rachman yang merupakan vokalis Bakuucakar.

Sementara itu, Matthew Sayersz yang mendendangkan lagu “Cukup Sudah” dan “Kisah Romantis” turut berkongsi pengalamannya sewaktu sepanjang mengenali mendiang.

“Bagi aku, Glenn Fredly orangnya cukup ‘warm’ dan tidak hairanlah karyanya masih diminati hingga kini,” katanya yang turut mendapat kerjasama daripada Glenn sewaktu merakam lagu “Extra” bersama rapper Rayi pada 2009.

Bagi Allan Anderson atau Joan Allan Anderson Sinapati, Glenn Fredly Deviano Latuihamallo yang meninggal dunia akibat penyakit meningitis merupakan idolanya sejak awal pembabitannya dalam bidang seni.

Pada malam itu, Allan yang merupakan salah seorang peserta program realiti ‘Big Stage Alpha’ mendendangkan lagu “Pada Satu Cinta” dan “Sekali Ini Saja”.

‘Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia’ turut menampilkan vokalis d’Masiv, Rian Ekky Pradipta yang mendendangkan lagu “Terserah” dan “Akhir Cerita Cinta”.

“Lagu dendangan Glenn pasti akan membuat kita rasa sedih. Dia adala seorang mentor dan pahlawan muzik. Manakala Bakuucara umpama avenger kerana mereka semua jaguh dalam muzik,” katanya.

Sementara itu, Bella Astillah yang terakhir diumumkan untuk menjayakan konsert tersebut diberi penghormatan sebagai pembuka tirai persembahan.

Untuk persembahan pertamanya itu, Bella mengambil kesempatan mengeterngahkan single baharunya, “Lebih Indah Berpisah”. Bella juga berpeluang berduet dengan Glenn menerusi lagu “Cinta Dan Rahsia”, lagu dendangan asal mendiang bersama Yura.

Lain-lain penyanyi yang menjayakan konsert dedikasi khas untuk Glenn Fredly ini ialah Noh Salleh, Nadira Adnan dan Gretchene Quirina.

Memandangkan ramai yang hafal akan lagu “Januari”, justeru lagu tersebut ‘didendangkan’ secara langsung oleh Glenn. Lagu tersebut dipersembahkan pada segmen Hologram yang menampilkan Glenn mendendangkan lagu “Sedih Yang Tak Berujung”, “Rame-Rame” dan “Timur”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here