Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU anda adalah penonton setia drama ‘Anak-Anak Mafia’ yang ditayangkan secara eksklusif menerusi Tonton, pasti sudah biasa mendengar lagu “Arus & Arah” yang merupakan runut bunyi untuk drama 10 episod arahan Shuhaimi Zulkefli.
Lagu “Arus & Arah” nyanyian Firdaus Rahmat adalah sebuah karya yang membawakan semangat perjuangan melalui alunan rock moden yang bertenaga dan penuh emosi hasil sentuhan, John Jeeves dan Iqie Hugh.
Dengan konsep “drive” dan “fast-pace”, “Arus & Arah” hadir sebagai lagu motivasi dengan suntikan adrenalin, ditujukan khas kepada mereka yang sedang mencari semangat untuk terus bangkit.
“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan John dan Iqie, kerana kami memang sering bekerja rapat dalam projek lagu sebelum ini.
“Saya percaya ramai yang sedang berjuang dalam hidup masing-masing, dan lagu ini mungkin boleh jadi teman untuk terus melawan arus. Harapan saya agar “Arus & Arah” dapat menjadi siulan ramai, dan lebih penting, dapat jadi kekuatan kepada jiwa-jiwa yang hampir putus asa,” jelas Firdaus mengenai kolaborasi ketiganya bersama Alternate Records.

Menurut Firdaus, proses rakaman lagu ini mengambil masa dua minggu kerana ia menuntut variasi teknik vokal yang mencabar dan memerlukan disiplin tinggi untuk menyampaikan dengan penuh penghayatan.
“Lagu ini benar-benar mencabar saya daripada sudut penyampaian vokal, dan saya harap pendengar dapat rasa tenaga yang saya salurkan,” akuinya.
Lebih istimewa, katanya, “Arus & Arah” membawakan semangat perjuangan, konflik dalaman, dan tekad untuk melawan segala halangan, selari dengan tema dan perjalanan watak utama dalam ‘Anak-Anak Mafia’ yang dibintangi oleh Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning, dan Scha Elinnea.
Sebagai penerbit dan pencetus idea lagu ini, John Jeeves berkongsi bahawa inspirasi utama datang terus daripada naskhah drama itu.

“Lagu ini tercipta dengan semangat seseorang yang tidak pernah berputus asa mengejar cita-cita, meskipun terpaksa melawan arus dan menghadapi pelbagai halangan.
“Kami sangat teruja untuk hasilkan lagu ini sebagai runut bunyi ‘Anak-Anak Mafia’, kerana ia padan dengan jalan cerita yang penuh konflik dan kekuatan dalaman,” ujar John.
John turut menyifatkan gabungan melodi pop dan instrumentasi rock moden menjadikan lagu ini unik dan relevan untuk pendengar masa kini. Komposer itu turut memuji Firdaus sebagai antara penyanyi paling senang untuk bekerjasama.
“Firdaus bukan saja penyanyi, dia juga penulis. Dia tahu apa yang diperlukan dalam satu rakaman, dan itu memang membantu dalam menghasilkan rakaman yang mantap,” akui John.
Lagu “Arus & Arah” nyanyian Firdaus Rahmat, boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









