Yonnyboii tampil dengan single baharu "Tanya Tuhan" yang dihasilkan berdasar pengalamannya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELAMA ini Yonnyboii hanya mampu menyanjung Malique dari kejauhan sahaja. Namun, rezekinya sampai jua untuk berkongsi karya bersama bekas duo hip hop Too Phat itu.

Kesempatan tersebut diperoleh Yonnyboii dek usaha dan sokongan daripada Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng yang memudahkan cara untuk penyanyi tersebut menggapai impiannya.

Bagi Yonnyboii atau Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 27, peluang bekerjasama dengan penerbit ikonik Malique merupakan pencapaian tertinggi dalam karier seninya.

Lebih manis, lirik “Tanya Tuhan” ditulis atas gabungan idea mereka berdua untuk lagu yang dicipta bersama LastKhalif itu. Lastkhalif juga bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek terbabit.

Terlalu banyak momen hebat berlaku sepanjang proses menyiapkannya. Yonnyboii sukar uraikan setiap satunya namun sudah terlalu tinggi penghormatan dapat bekerja dengan nama-nama hebat itu.

“Ada hal tak terduga seperti dapat berjumpa dan bekerja dengan insan-insan yang hebat belaka. Saya sangat berbangga, rasa kerdil terhadap segala pengalaman saya raih itu.

“Ini satu daripada pencapaian peribadi tertinggi saya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat hebat. Terima kasih pengurusan jadikan cita-cita saya jadi realiti dan perhebatkan lagi idea saya.

“Memang saya tak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. Memang gila, saya pun tak boleh hadam lagi ada lagu bersamanya,” katanya.

Bagi Yonnyboii, keseluruhan pengalaman itu sendiri satu perjalanan yang indah untuknya pahat dalam hati. Justeru, besar harapannya “Tanya Tuhan” mampu menjadi karya agung dan ikonik.

“Saya harap pendengar dapat fahami dan dalami apa yang saya rasakan. Semoga sampai dan mampu berkaitlah kisah saya ini dalam hidup mereka, terus jadi kuat sepanjang perjalanan,” katanya.

Video muzik untuk lagu ini diarah oleh Thaqif Saadon.

Seperti identiti lagu-lagu terdahulunya, Yonnyboii terinspirasi menulisnya daripada kisah sebenar dirinya. Idea itu terbit di saat dirinya terjerat dalam rasa keraguan mengenai persoalan tanpa jawapan.

“Mesej besar yang ingin disampaikan adalah momen di mana saya berefleksi dengan diri sendiri. Saya inginkan sesuatu namun buntu ingin bertanya kepada siapa lagi demi mencari jawapan.

“Sewaktu menulis lagu ini, bukanlah nak kata saya tengah susah atau apa. Cuma ketika itu, saya menjauh daripada diri dan sangat emosional. Banyak pergelutan dalam hidup saya baik sebagai pemuzik dan bapa.

“Itulah, kadang-kadang kita penat, ‘burnout’. Jadi, kita tak tahu nak tanya siapa lagi. Bukanlah nak cakap semua hal berdepan kesulitan sekarang. Cuma, saya tak tahu hendak mengadu pada siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Yonnyboii amat berbesar-hati apabila penghasilan lagu itu dilengkapkan sempurna dengan video muzik hasil sentuhan pengarah idamannya yang juga sahabat diseganinya, Thaqif Saadon.

Yonnyboii akui, dia tahu idea yang datang daripada otaknya bukan mudah difahami dan diterjemah mana-mana pengarah. Namun, katanya, pengarah Thaqif adalah insan yang tepat untuk realisasikan ‘gilanya’ itu.

“Untuk video muzik ini, saya dapat bekerja dengan seorang daripada pengarah impian juga, rakan saya Thaqif dan produksinya. Lagipun, saya sudah lama tidak bekerjasama dengannya dan dapat rasakan magisnya semula.

“Semoga jalinan kerjasama kami dapat diteruskan ke projek lain kerana bagi saya, dia adalah satu daripada pengarah terbaik dalam industri. Syukur sangat, dia boleh bersefahaman dengan idea saya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here