Oleh: Khadijah Ibrahim
SUDAH 34 tahun kumpulan Exists berkecimpung dalam bidang seni dan kumpulan Slam pula lewat dua tahun bergerak dalam industri hiburan berbanding Exists iaitu pada 1993.
Meskipun banyak kumpulan muzik yang muncul di persada seni tanah air, namun Exists dan Slam yang berasal dari Johor Bahru itu masih kekal berdiri megah di tengah-tengah nama anak seni baharu.
Cara anggota Exists dan Slam bermain muzik sama sahaja dengan band-band lain, begitu juga dengan gaya nyanyian Ezad mahupun Zamani masih lagi bersopan tanpa perlu melakukan aksi yang berlebihan.

Ah! Mungkin mereka mempunyai peminat yang setia dan sebab itulah konsert ‘Slam X Exists: Our Journey’ yang berlangsung di Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai baru-baru ini penuh panggung.
Penonton belum habis berbicara tentang keghairahan mereka menonton konsert Slam X Exists: Our Journey, di media sosial sudah keluar jualan tiket untuk konsert mereka seterusnya.
Pada 29 November nanti, kedua-dua kumpulan tersebut akan beraksi di The Star Theatre, Singapura bagi memeriahkan konsert Exists X Slam Live in Singapore kerana Exists dan Slam mempunyai peminat tegar di Kota Singa.

Rahsia kedua-dua kumpulan yang pernah mendapat sokongan dan bimbingan daripada Johan Aziz yang pernah menjadi pengurus Exists dan Slam sebelum ini mungkin terletak kepada karya-karya yang mereka keluarkan.
Boleh dikatakan lagu-lagu dendangan Exists dan Slam bukanlah lagu yang popular dalam tempoh tertentu saja tapi kebanyakan lagu nyanyian kumpulan tersebut adalah malar segar.
Kata orang pertama kali dengar sudah menusuk jiwa dan sebab itulah lagu tersebut mampu bertahan sehingga kini dan tidak dinafikan lagu-lagu keluaran era 90-an ada aura tersendiri.
Baru dengar intro muzik saja, peminat setia kedua-dua kumpulan tersebut sudah tahu lagu apa yang bakal didendangkan. Itulah suasana yang dapat dirangkumkan sewaktu konsert Exists dan Slam tempoh hari.

Exists yang menampilkan Ezad sebagai vokalis dan Zamani mewakili Slam memulakan persembahan dengan lagu duet “Jesnita” dan “Kembali Merindu” sebelum pentas diambil alih oleh anggota Exists terlebih dahulu.
Memulakan persembahan solo, Exists menampilkan lagu “Seperti Dulu” yang merupakan album studio ketujuh Exists yang diterbitkan pada 2002 dan diikuti dengan lagu “Mama Tolonglah Percaya”, lagu ciptaan Along dan lirik oleh Allahyarham Loloq yang dipetik dari album keenam mereka, “Ada”, keluaran 2001.
Untuk pertama kali juga Ezad memberitahu yang dia akan menyanyikan lagu “Anugerah II” yang dipetik dari album ketiga Exist, “Diammu Gunung Berapi”.
“Terima kasih semua kerana hadir pada malam ini memberi sokongan kepada kami. Lebih 30 tahun, inilah wajah-wajah yang anda tengok mewaikili Exists sejak dulu hingga kini. Semoga dengan sokongan anda, kami akan terus kekal berkarya,” kata Ezad sebelum meneruskan persembahan dengan lagu “Masih Terserlah Ayumu” yang turut dinyanyikan bersama oleh penonton itu.
Exists yang turut dianggotai oleh Along (gitar), Musa (bass), Ujang (dram) dan Ajai (keyboard) telah mendendangkan 12 buah lagu termasuk lagu hits, “Mengintai Dari Tirai Kamar”, “Langkah Seiringan”, “Rahsia Pohon Cemara” dan “Percayakan Siti”.

Manakala kumpulan Slam yang turut dianggotai oleh Shah (gitar utama), Lili (bass), Man (dram) dan Eddie (keyboard) muncul di pentas kira-kira jam 10.23 malam dengan lagu “Nurkasih”.
Seperti Exists, lagu-lagu Slam juga sudah dihafal oleh penonton yang hadir, antaranya lagu “Jika Kau Rasa Getarnya”, “Gerimis Mengundang”, “Mentari Muncul Lagi”, “Suratan” dan “Maria Mariana”.
Konsert anjuran SS Karya Venture dan Repbulic Mokhmah Records selaku penganjur utama berjaya membuat penonton mengimbau semula nostalgia silam mereka yang mendengar lagu-lagu Exists dan Slam sejak di bangku sekolah hingga sudah bekerjaya dan berkeluarga.
Untuk memastikan konsert sesebuah kumpulan atau penyanyi itu mendapat sambutan hangat, mesti ada lagu-lagu yang malar segar dan bukan lagu popular semasa sahaja.
Suara vokalis mesti mantap seperti mana yang kita dengar di corong radio. Dalam hal ini Ezad dan Zamani berjaya menyampaikan lagu dengan baik.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









