Oleh: Nury Kadir
Kali ini hanya hendak kongsi tentang ajaibnya surah al-Ikhlas yang pendek dan paling senang dibaca. Biasanya surah ini menjadi pilihan selamat untuk dibaca kalau tiba-tiba disuruh jadi imam ‘terjun’.
Jika hendak dibaca dalam setiap solat fardu dan sunat pun tidak menjadi masalah kerana ia pendek dan mudah. Malah Rasulullah SAW tidak pernah mengatakan bahawa membaca surah itu dalam setiap solat tidak boleh namun lebih elok diperlbagaikan kerana surah di dalam al-Quran banyak.
Tentu kita tidak asing dengan ungkapan bahawa membaca surah al-Ikhlas seperti membaca satu pertiga al-Quran. Sebenarnya ungkapan tersebut datang daripada hadis Rasulullah SAW.
Adakah maksudnya apabila sudah membaca tiga kali surah al-Ikhlas seperti membaca keseluruhan al-Quran? Apa yang dimaksudkan dengan satu pertiga al-Quran?
Sekejap lagi Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri akan jawab persoalan itu. Sebelum itu kita tengok dahulu apa maksud di dalam surah al-Ikhlas?
Firman Allah SWT:
قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (٣) وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”(Surah al-Ikhlas: 1-4)
Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalamTafsir al-Munir, “Segala hal yang ditetapkan dalam surah ini merupakan penetapan akidah Islam yang berdiri tegak di atas tauḥid, tanzih, dan taqdis (penyucian). Segala hal yang dinafikan dalam surah ini adalah bantahan terhadap orang-orang yang memiliki akidah sesat, seperti kaum penyembah berhala yang mengatakan bahwa ada dua tuhan di alam ini, iaitu tuhan cahaya dan tuhan kegelapan. Kaum Nasrani yang mengatakan adanya triniti, kaum Sa’ibah yang menyembah matahari dan bintang-bintang, kaum Yahudi yang mengatakan bahawa ‘Uzair adalah anak Allah dan kaum musyrikin yang mengatakan bahawa para malaikat adalah puteri-puteri Allah, semua dibantah oleh surah ini.”
Menurut Datuk Dr Zulkiflia Al-Bakri, disebut dalam Tafsir al-Bayan. Fadhail surah al-Ikhlas ini merangkumi kelebihannya secara khusus dan juga kelebihannya merangkumi al-Mu’awwizat ( المعوذات) iaitu surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Adakah setiap daripada kamu merasa sukar untuk membaca satu pertiga al-Quran dalam tempoh semalaman?” Para sahabat R.A berkata: Bagaimana seseorang boleh membaca satu pertiga al-Quran? Sabda Nabi SAW: “قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ” menyamai satu pertiga al-Quran”. (HR Muslim)
Tambahnya, walaupun membaca surah al-Ikhlas diberi ganjaran satu pertiga al-Quran namun ia tidak boleh dianggap sebagai gantian kepada membaca satu pertiga al-Quran itu sendiri.
Meskipun membaca surah tersebut menerima ganjaran setara dengan satu pertiga al-Quran, ini tidak bermakna ganjarannya sama dengan yang terdapat dalam ayat atau surah lain dalam al-Quran. Oleh itu, membaca keseluruhan al-Quran dianggap lebih baik daripada membaca surah al-Ikhlas tiga kali, walaupun jumlah ganjaran sama; perbezaannya terletak pada perincian nilai ganjaran tersebut.
Dalam hal ini juga, pandangan ulama yang lebih benar tentang hadis membaca surah al-Ikhlas menyamai satu pertiga al-Quran adalah surah al-Ikhlas merangkumkan satu pertiga daripada bahagian al-Quran. Hal ini kerana al-Quran diturunkan dalam tiga bahagian:
Satu pertiga tentang hukum-hakam.
Satu pertiga tentang janji syurga dan ancaman siksa neraka.
Satu pertiga tentang asma’ dan sifat.
Sebenarnya surah al-Ikhlas menghimpunkan bahagian asma’ dan sifat Allah SWT. Inilah pandangan Abu al-Abbas bin Suraij. Pandangan ini dinilai baik oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Justeru, jelaslah bahawa antara fadhail surah al-Ikhlas adalah dengan membacanya, ganjarannya menyamainya dengan membaca satu pertiga al-Quran. Surah al-Ikhlas juga merupakan surah yang disukai oleh Allah SWT kerana padanya juga ada nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha Agung.
Selain itu, surah al-Ikhlas juga antara surah yang dijadikan oleh Rasulullah SAW untuk berlindung kepada Allah SWT bersama dengan surah al-Falaq dan Surah al-Nas.
#Ikuti sambungan artikel bahagian ke 2 mengenai fadhilat-fadhilat membaca surat al Ikhlas.#

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









