Oleh : Nafsiah Jani
Semua orang ingin tampil cantik, awet muda dan bergaya. Tak kira perempuan atau lelaki ditambah mereka yang sudah berusia pasti ingin awet muda iaitu sentiasa kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.
Semakin usia bertambah, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa apa yang dimakan pada hari ini sebenarnya adalah pelaburan kepada kesihatan kita pada masa hadapan.
Mana tidaknya, pengambilan makanan yang diproses tinggi kandungan lemak, garam dan gula boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti obesiti, kolesterol tinggi, berat badan berlebihan, kencing manis dan sakit jantung.
Jangan risau, untuk awet muda amalkan dan ikuti petua-petua dibawah ini. Amalkan sejak muda dan jangan tunggu sehingga separuh usia baru hendak mencuba atau mengamalkannya. Seperti kata orang tua, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
Untuk kelihatan awet muda, beberapa petua boleh diamalkan seperti menjaga pemakanan, melakukan senaman, mengurangkan stress dan melindungi kulit dari matahari. Selain itu, penting juga untuk mendapatkan tidur yang cukup, menjaga hidrasi tubuh, dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Mulai sekarang, mari kita amalkan segala petua dibawah ini tak kira petua moden atau tradisional bersama-sama:-
- Banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Ia penting untuk kesihatan badan, malah dapat membantu mengekalkan kecantikan kulit dan keanjalannya kulit untuk kelihatan awet muda. Pengambilan air kosong yang mencukupi, dapat memastikan organ badan termasuk kulit berfungsi sewajarnya.
- Lakukan urutan wajah secara berkala untuk meningkatkan peredaran darah dan merangsang pengeluaran kolagen. Dengan kolagen secukupnya, kulit anda bukan saja kekal gebu dan menarik, malah dapat mengekalkan kelembapannya supaya ia tampak sihat, segar dan berseri.
- Sayur bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh, malah ia juga bermanfaat untuk melambatkan penuaan tubuh serta wajah. Sayur-sayuran yang kaya dengan beta karoten seperti lobak merah, labu dan keledek mampu melindungi kulit daripada kerosakan UV dan penuaan kulit. Untuk kesihatan dalam dan luaran yang baik, anda disarankan untuk makan sekurang-kurangya 2 hidangan sayur setiap hari.
- Cendawan kaya dengan pelbagai mineral penting seperti selenium dan kalium dapat membantu untuk awet muda dan mencegah penuaan awal khususnya pada saraf otak. Ia juga mampu membaiki sel-sel tubuh yang rosak serta menguatkan sistem pertahanan tubuh.
- Ikan mampu merangsang tubuh menghasilkan kolagen, selenium dan elastin yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keanjalan kulit dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV. Khasiat lemak omega-3 yang tinggi dari ikan dapat mencegah keradangan, mengawal kolesterol serta melindungi jantung. Antara ikan tersebut ialah ikan tenggiri, ikan kembung, ikan tongkol, ikan sardin dan ikan selar.
- Banyakkan pengambilan Vitamin C dari sumber semulajadi seperti buah-buahan agar dapat mengurangkan kedutan pada kulit wajah. Ia membantu melembapkan kulit selain melambatkan proses penuaan. Antara buah-buahan yang kaya vitamin C ialah buah oren, mangga, belimbing, nanas dan jambu batu.
- Senaman juga mempunyai banyak kebaikan bagi memastikan seseorang itu jadi lebih sihat dan berat badan berada pada julat yang normal. Terdapat kajian menunjukkan senaman yang kerap dapat memperlahankan penuaan sehingga 10 tahun.
- Pengambilan kopi dan minuman yang mengandungi kafein boleh meninggalkan kesan pada kesihatan diri dan juga kulit. Kafein boleh membuatkan kulit menjadi kering dan kesannya juga berpanjangan.
- Dapatkan tidur yang mencukupi kerana menurut kajian individu yang tidur selama 7 hingga 9 jam setiap hari mempunyai kulit yang lebih lembap. Ketika tidur, badan akan merembeskan hormon yang penting untuk menggalakkan pembaharuan sel-sel kulit. Mereka yang dapat tidur yang mencukupi, mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi kerana mereka merasa diri lebih cantik dan yakin sepanjang hari.
- Jauhkan diri daripada cahaya matahari kerana ia boleh membuatkan kulit rosak dan cepat berkedut.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









