Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Entah apa yang disibukkan sangat hingga kadang-kadang untuk melawat sahabat handai dan saudara mara yang sakit pun tidak berkesempatan. Itulah kita, sibuk memanjang mengalahkan menteri.

Hal sakit pening, kalau tidak betul-betul mempunyai keinginan yang kuat untuk menziarah nescaya kita tidak mampu hendak buat. Tambah-tambah jika orang sakit yang hendak diziarahi itu berada di hospital dengan masalah parking, jalan sesak dan masa melawat yang terhad. Akhirnya ambil keputusan tidak apalah, kita doakan dari jauh dan buat video call saja. Adakah video call sama dengan menghadirikan diri untuk menziarah? Nanti kita jawab!

Berlainan dengan suasana kampung, jika ada saja ahli kariah yang jatuh sakit akan sentiasa ada orang kampung yang datang bertanya khabar. Dan, datangnya pun bukan tangan kosong, ada saja makanan yang dibawa, bukan untuk yang sakit tetapi untuk seluruh isi rumah dan tetamu yang datang.

Itu cara orang kampung membantu jiran tetangga yang sedang ditimpa musibah. Dan, tidak lupa sebelum balik diselitkan duit di tangan atau dibawah bantal pesakit sebagai belanja. Sebelum melangkah pergi, dipujuk si pesakit dengan kata-kata indah dan semangat serta doa kesembuhan yang Nabi SAW ajarkan.

Menziarah orang sakit bukan sekadar menghadirkan diri kemudian bergelak ketawa dan bergurau senda. Ada adab yang perlu dijaga dan ada hikmah yang perlu diketahui mengapa menziarah orang sakit itu dituntut oleh agama?

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima. Membalas salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, hadir jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” (HR Al-Bukhari & Muslim)

Kemudian di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda; Maksudnya: “Kewajipan seorang Mukmin ke atas seorang Mukmin yang lain ada enam; menziarahinya ketika sakit, bersama dengannya ketika dia meninggal dunia, menyahut jemputan jika dijemput (ke majlis anjurannya), memberi salam kepadanya ketika bertemu, mendoakan kebaikannya untuknya ketika dia bersin dan tulus kepadanya ketika ketiadaannya ataupun ketika dia ada.” (HR Al-Tirmizi & Al-Nasai’i)

Imam Bukhari dan Muslim juga ada merekodkan hadis yang mempunyai maksud yang sama seperti hadis di atas. Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan kebaikan untuk orang yang bersin, memenuhi jemputan, menyebarkan salam, membantu orang yang dizalimi dan membantu dan berbuat baik pada orang yang bersumpah (supaya tidak dianggap melanggar sumpah). Baginda juga melarang kami daripada memakai cincin emas, minum daripada bekas perak,menaiki tunggangan yang dihiasi sutera, melarang daripada memakai Al-Qassi dan melarang daripada memakai kesemua jenis sutera.” (HR Al-Bukhari & Muslim).

Kesemua hadis yang disebut di atas membicarakan tentang hak Muslim ke atas Muslim yang lain yang perlu ditunaikan, salah satunya adalah menziarahinya ketika sakit. Al-Munawi dalam Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir menyebut bahawa hadis yang disebutkan adalah umum. Ini bermakna diwajibkan untuk menziarahi orang yang sakit walaupun dia seorang ajnabi (dipetik daripada www.muftiwp.gov.my)

Image by Freepik

Maksudnya perempuan boleh menziarahi orang sakit lelaki tetapi masih tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Menziarahi orang sakit tidak hanya terhad kepada kaum kerabat dan sahabat handai sahaja. Orang asing yang tidak ada kaitan kekeluargaan atau sahabat handai mahu pun seagama juga termasuk dalam digalakkan menziarahi orang sakit.

Namun semua itu masih tertakluk pada keadaan semasa kemudaratan sesuatu penyakit, misalnya ada penyakit berjangkit yang dilarang untuk menerima pelawat seperti covid atau batuk kering.

Perhatikanlah bagaimana Nabi SAW memujuk kita agar sentiasa berlapang dada untuk menziarahi orang sakit tidak kira sama ada seagama atau berlainan agama sebagai cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Malah Rasulullah SAW pun pernah menziarahi orang Yahudi yang sakit.

Dalam sebuah hadis daripada Anas, beliau berkata; Maksudnya: “Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: “Masuklah Islam”. Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: “Taatilah Abu al-Qasim Nbi SAW”. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.” (HR al-Bukhari)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah menyebut: Menurut nas hadis-hadis Nabi SAW, menziarahi orang sakit merupakan hak seorang Muslim kepada Muslim lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi.

Beliau kemudian menyimpulkan: Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi non Muslim yang sakit. Boleh jadi dengan ziarah, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Rasulullah dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya.(dipetik daripada www.muftiwp.gov.my).

Menurut Datuk Dr. Zulkifili Mohamad al-Bakri, diperhatikan kepada lafaz-lafaz hadis ini, didapati ia datang dalam bentuk yang umum iaitu meliputi lelaki dan perempuan. Hadis-hadis seperti ini yang bermaksud “Ziarahilah orang yang sakit” atau hadis “Sesiapa yang menziarahi orang sakit” juga hadis “Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia” kesemuanya itu adalah dalam bentuk yang umum dan bukannya khusus untuk lelaki sahaja. Ini sudah cukup untuk menjadi dalil harusnya lelaki menziarahi wanita yang sakit dengan syarat ia benar-benar mengikuti adab serta batasan-batasan syarak yang telah ditentukan.

#Ikuti sambungan akan datang tentang syurga dan rahmat Allah yang menanti mereka yang menziarahi orang sakit#

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here