Oleh: Khadijah Ibrahim
SEMPENA cuti sekolah mulai 13 September ini, pusat membeli-belah BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras bakal mengadakan pesta dan karnival keluarga, BMC Family 360°.
Pesta dan karnival keluarga BMC Family 360° yang bertema “A Step to the Future”, merupakan acara keluarga UN SDG terbesar 2025 yang disasarkan untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar.
Acara anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi itu bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras pada 19 hingga 21 September 2025, bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif AI Global, Prof. Dr. Ng Kheng Lun berkata, berlandaskan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), acara ini disasarkan untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar dengan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan serta hiburan yang disesuaikan untuk semua peringkat umur.
“BMC Family 360° bukan sekadar sebuah pesta dan karnival, tetapi sebuah platform komuniti untuk keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih sejahtera dan berdaya tahan. Kami percaya bahawa kekuatan keluarga adalah asas kepada masyarakat yang makmur dan harmoni,” katanya.
Tambah Prof. Dr. Ng Kheng Lun, tema BMC Family 360° pada tahun ini adalah “Selangkah ke Masa Depan”. Ini adalah langkah pertama, langkah yang kecil tetapi juga langkah yang sangat penting. Selalunya langkah yang pertama adalah susah dan mencabar tetapi ia juga langkah yang sangat diperlukan.
Beliau turut menjelaskan kenapa penyanyi dan pelakon Nabila Razali dipilih sebagai jurucakap Acara BMC Family 360°. Ujarnya, penyanyi tersebut dipilih kerana Nabila merupakan ikon generasi muda yang aktif dan berpengaruh.
“Nabila Razali dipilih kerana keperibadiannya yang dekat dengan keluarga dan anak muda, sekali gus mencerminkan nilai yang dibawa oleh acara ini. Dia juga dikenali di kalangan pelbagai bangsa di Malaysia,” jelasnya.

Bagi Nabila pula, dia berasa sangat teruja apabila berpeluang terlibat dalam penganjuran karnival ini lebih-lebih lagi ianya adalah satu cara untuk meraikan peranan keluarga dalam membentuk masa depan yang lebih baik.
“Saya akan terlibat secara langsung dalam beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat (meet & greet), persembahan khas serta kempen promosi menjelang acara utama pada 19 hingga 21 September nanti.
“Sebagai seorang ibu, isteri dan seorang wanita kerjaya, UN SDG telah menyediakan satu pelan tindakan bagi saya dan keluarga saya untuk membina dan membangun satu keluarga yang mampan, aman dan makmur, biarpun sekarang mahupun masa depan.
“Melalui SDG, barulah saya sedar kemampanan bukan hanya terhad kepada alam sekitar tetapi ada banyak aspek yang lain termasuk sosial dan ekonomi,” akuinya.
Antara pengisian utama dan aktiviti BMC Family 360° termasuklah pameran dan Showcase oleh agensi kerajaan, swasta serta NGO selaras dengan 17 UN SDG.
Bagi generasi muda yang meminati sukan, ruang permainan interaktif turut diadakan termasuklah pertandingan esports, hiburan untuk seisi keluarga iaitu mini zoo serta pameran inovasi melibatkan pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari. Tidak ketinggalan juga pertunjukan kebudayaan dan persembahan termasuk persembahan khas oleh Jurucakap Acara, Nabila Razali.
Acara ini dijangka menarik lebih daripada 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dengan sasaran komuniti dari Kajang, Cheras dan kawasan sekitar Lembah Klang.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









