Oleh: Khadijah Ibrahim

MENCARI rezeki bukanlah mudah, setiap orang perlu bekerja keras untuk menyara diri atau keluarga. Justeru itulah ada ketikanya terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan kerana kos hidup sekarang semakin meningkat.

Apabila bekerja lama tanpa batasan waktu, ada ketikanya kita akan rasa penat fizikal mahupun mental kerana cabaran sentiasa mendatang.

Pakar Neuro-Linguistic Programming atau NLP, Dr Hisham Dzakiria mengakui fenomena begini pasti berlaku dan berdasarkan pengalamannya ‘merawat’ ribuan peserta dalam seminar, beliau temui ramai yang memerlukan ‘rawatan’.

Pada 10 dan 11 September ini, Dr Hisham yang menerajui EcoTwin Step Sdn Bhd akan menguruskan ‘burnout’ seramai 300 peserta dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bertempat di Courtyard by Marriott, Setia Alam.

Untuk makluman, burnout adalah istilah yang merujuk kepada satu keadaan emosi, mental dan fizikal yang mengalami kepenatan yang diakibatkan oleh stres yang berpanjangan dan berulang.

“Selama dua hari, saya akan bersama 300 kakitangan AADK dalam sesi yang dinamakan ‘Jom Rawat Burnout’. Alhamdulillah pihak AADK sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya dan EcoTwin Step untuk membantu kakitangan mereka, baik dari peringkat bawah mahupun atasan.

“Seperti yang saya selalu kongsikan, setiap manusia perlukan rawatan dan sembuh daripada gejala burnout dan kakitangan AADK tidak terkecuali yang rata-rata berdepan dengan tanggungjawab kerja yang berat yakni berkaitan musuh utama negara, dadah.

“Objektif program ini adalah untuk membantu peserta menangani sindrom burnout yang selalunya dialami oleh mereka yang mengizinkan ia berlaku.

“Program ini juga akan mengajar mereka cara dan strategi untuk menyahkan sindrom burnout daripada berulang dan bertukar menjadi insan yang luar biasa, bertenaga dan positif, insya-Allah,” katanya yang pernah dijemput AADK bagi sebuah program di Gopeng, Perak, Julai lalu.

Menurutnya, EcoTwin Step mempunyai beberapa modul tersendiri yang dirangka bagi membantu peserta mengatasi burnout dan bagaimana untuk kembali bangkit daripada keletihan mental melampau itu.

Bagaimanapun katanya, Jom Rawat Burnout tidak sesekali menyamai kebanyakan program motivasi atau bina semangat yang sedia ada.

“Program ini bukan sekadar program motivasi atau mitigasi isu burnout tetapi ia program yang digubal bagi mengubah minda, mindset, cara berfikir dan budaya kehidupan peserta yang boleh menjadi game changer dalam rutin harian mereka.

“Bagi 300 peserta AADK Zon Tengah ini, kami menyediakan modul khas yang ini dirangka dengan penuh teliti sebagai satu inisiatif progresif untuk membantu setiap peserta bukan sahaja menangani isu keletihan dan tekanan kerja, malah membina semula kekuatan dalaman serta semangat positif.

“Harapan saya, melalui perkongsian pengalaman dan modul yang berimpak tinggi, kakitangan AADK yang hadir itu akan mendapat manfaat untuk menjadi insan yang lebih seimbang, membina budaya kerja yang lebih dinamik, bertenaga serta berdaya saing,” katanya.

Seminar Jom Rawat Burnout itu akan turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Dato Ruslin Jusoh selaku tetamu VIP, manakala artis jemputan adalah Ayu Damit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here