Aina Abdul menang besar dalam AIM24 yang pertama kali disertainya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALI pertama menyertai Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan sembilan pencalonan dalam lapan kategori dan menjadikan Aina Abdul sebagai artis dengan pencalonan terbanyak untuk anugerah tersebut.

Pada malam kemuncak AIM24 yang berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting Highlands, Pahang dan bersiaran secara langsung d saluran RTM, Aina menarik perhatian ramai apabila dia memenangi empat anugerah, termasuk Lagu Terbaik menerusi lagu “Jangan Mati Rasa Itu”.

Aina yang merupakan pencipta sepenuhnya untuk lagu tersebut turut diumum sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik dan Lagu Pop Terbaik, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penyanyi generasi baharu paling menyerlah dalam industri muzik tanah air.

Siti Nuthaliza diangkat sebagai penerima Anugerah Sri Wirama.

Satu lagi anugerah yang diraih oleh Aina adalah menerusi Image Deluxe Edition, apabila album tersebut diangkat sebagai pemenang kategori Rakaman Album Terbaik yang diusahakan oleh Imamz, Peter Chong dan Ezra Kong.

“Alhamdulillah. Sebenarnya, ini memang antara anugerah yang saya tunggu juga dalam hidup saya. Ini adalah salah satu anugerah yang ikonik di Malaysia selain Anugerah Juara Lagu.

“Ini adalah penguat terbaharu saya untuk berkarya. Terima kasih sangat-sangat kepada pihak juri yang meluangkan masa berjam-jam untuk memilih lagu terbaik dan akhirnya memilih lagu ini.

“Saya memang tak sangka kemenangan ini melalui Jangan Mati Rasa Itu kerana ia lagu yang sangat bermakna dalam hidup saya. Lagu lain-lain pun hebat,” katanya berkongsi kegembiraan.

Ujar Aina, dia tidak menyangka dapat meraih Vokal Wanita Terbaik kerana calon yang tersenarai untuk kategori tersebut bukan calang-calang iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Liza Hanim dan Ernie Zakri.

“Terima kasih AIM dan saya tujukan anugerah ini kepada semua penyanyi yang tercalon dalam kategori ini terutama Siti Nurhaliza.
Kalau saya tak menonton beliau di televisyen, saya mungkin tidak akan jadi penyanyi juga,” katanya yang sentiasa berpijak di bumi nyata.

Sementara itu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sudah 30 tahun terlibat dalam bidang seni diberi penghargaan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama.

Siti menganggap pengiktirafan AIM itu sebagai pencapaian terbesar sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik yang bermula sebagai juara Bintang HMI anjuran RTM pada 1 April 1955.

Ernie Zakri dan Ade Govinda dipilih sebagai pemenang untuk kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama, iaitu suatu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya.

 

“Jutaan terima kasih kepada AIM dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, malah, untuk semua insan seni yang telah bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri muzik.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang, keluarga, pihak pengurusan, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit dan media serta semua yang menjadi tulang belakang kerjaya saya.

“Tidak lupa juga kepada peminat yang saya kasihi sekalian, mereka yang setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti,” kata Siti yang menyifatkan anugerah yang diperoleh sebagai tanggungjawab untuk dirinya terus berkarya.

Siti yang tercalon bagi lima kategori AIM tahun ini, antaranya Vokal Wanita Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Album Terbaik menganggap anugerah yang diterima adalah tanggungjawab untuknya terus mengangkat muzik tanah air dan memberi inspirasi kepada generasi baharu.
“Kepada adik-adik dan artis muda, percayalah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Apa yang perlu adalah usaha berterusan, disiplin yang tinggi dan keikhlasan dalam berkarya.

“Jangan pernah takut untuk bermimpi besar kerana mimpi itulah yang akan menjadi api dalam perjuangan kita. Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua individu yang percaya bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi, bahasa jiwa, penyatu bangsa dan warisan yang harus kita pelihara bersama.

“Terima kasih sekali lagi atas penghormatan ini. Semoga industri muzik kita terus mekar dan menjadi kebanggaan di mata dunia,” katanya.

Ryenald memenangi kategori Artsi Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik.

Majlis berprestij itu ditonton lebih 4,000 tetamu dan memberikan pengiktirafan kepada 31 kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Sri Wirama.

AIM24 yang dihoskan pasangan Sherry Al Hadad dan Alif Satar, menampilkan persembahan menarik antaranya adalah Dolla & Tobii, Ara Johari, Black Hanifah, Shila Amzah, Uriah See, Masdo, Ernie Zakri, Anggi Marito, Ade Govinda, Exits,Luca Sickta, Kmy Kmo, Salammusik dan Siti Nurhaliza.

Bagi penganjuran kali ini, Kementerian Komunikasi telah memperuntukkan Dana Kandungan Kreatif (DKD) berjumlah RM700,000 menerusi My Creative Ventures yang diagihkan kepada 11 pemenang AIM24.

Sebanyak 10 kategori menerima dana bernilai RM50,000 iaitu Artis Baharu Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik manakala Album Terbaik pula memperoleh dana RM200,000.

AIM24 kali ini mempertandingkan empat kategori terbaharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Keputusan penuh AIM24
1. ARTIS BAHARU TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika)
2. VOKAL LELAKI TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika)
3. VOKAL WANITA TERBAIK: Aina Abdul (Lagu Jangan Mati Rasa Itu)
4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK: In-Team (Lagu Nasab Nabi)
5. KUGIRAN TERBAIK: Mafidz (Lagu – Teleportasi)
6. VOKAL DUO/ KOLABORASI TERBAIK: Faizal Tahir & M Nasir (Lagu Campak Bintang)
7. VIDEO MUZIK TERBAIK: Voodo (KRU)
8. RUNUT BUNYI TERBAIK DI DALAM FILEM/ DRAMA: Hasrat (OST Imaginur)
9. LAGU ROCK TERBAIK: Saksama (Akim & The Majistret)
10. LAGU POP TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
11. LAGU RAP/ HIP HOP TERBAIK: Dannok (Salammusik ft Namawee)
12. LAGU POP ELEKTRONIK/ DANCE TERBAIK: Angkat (Mimifly)
13. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK: My Home Is In Your Arms ((Daiyan Trisha)
14. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK: Divorce in Ghana (Firdhaus)
15. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK: Pothum (Sheezay & Hasmita)
16. LAGU BAHASA MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA: Bertengkar Manis (Rossa & Barsena Bestandhi)
17. KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/ KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK: Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
18. LAGU NASYID TERBAIK: Biar Satu Dunia Tahu (Faiza Tahir & Mirwana)
19. LAGU ETNIK TERBAIK: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo & Eda Ezrin)
20. LAGU PERPADUAN TERBAIK: Bendera (Faizal Tahir)
21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK: Canda Citra Cinta (Hazra Dollah)
22. KULIT SINGLE/ ALBUM TERBAIK: Iman (Irfan Ramos)
23. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU (SEMUA BAHASA): Rindu Menyapa (Aubrey Suwito)
24. RAKAMAN ALBUM TERBAIK: Image Deluxe Edition (Imamz, Peter Chong, Ezra Kong)
25. RAKAMAN LAGU TERBAIK: Aura (John Jeeves)
26. ALBUM TERBAIK: Belagu 2 (Aubrey Suwito)
27. LAGU TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
28. LAGU DENGAN HASILAN VIDEO TERTINGGI Di TIK TOK: Santai (Faizal Tahir)
29. LAGU PALING TINGGI DISTRIM: Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
30. VIDEO MUZIK RASMI MALAYSIA DENGAN TONTONAN TERTINGGI DI PELANTAR VIDEO UTAMA: Sayunk I Love You (Chombi)
31. ANUGERAH SRI WIRAMA: Dato Sri Siti Nurhaliza

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here