Oleh: Khadijah Ibrahim
MESKIPUN perlu berlakon dengan kanak-kanak istimewa yang membawakan watak Rose Ameena dalam drama “Rumah Tanpa Luka”, Shukri Yahaya tak sangka adik Naura Arissa mampu menonjolkan bakat lakonannya tanpa masalah.
Shukri yang melakonkan watak Ahmad Qiuzi atau Qiuzi dalam drama arahan Nur Ain Sharif yang diadaptasi dari novel karya Ezza Mysara itu melahirkan rasa gembira dapat bekerjasama dengan Naura Arissa yang merupakan kanak-kanak istimewa itu.
“Mula-mula saya rasakan akan agak susah sebab dia anak yang istimewa. Rupanya senang sangat kerja kerana dia sangat memberi. Cuma kita jangan buat dia rasa takut atau terkejut. Kena jaga hati dia. Sangat seronok berlakon dengan adik Naura,” ujar Shukri yang bergandingan dengan Erysha Emyra sebagai Kalsum.
Menurut Shukri, watak Qiuzi seorang mekanik yang dilakonkannya kali ini berbeza daripada apa yang sering dibawanya sebelum ini seperti dalam drama “Curang Tanpa Niat”.

“Selalu tengok watak saya yang suka pukul bini, curang, kena pukul tapi watak kali ni lain. Watak Qiuzi yang saya bawakan merupakan
watak lelaki yang sangat green flag dan ramai perempuan impikan. Yang entah ada entah tidak dalam dunia nyata ini.
“Qiuzi ini merupakan seorang yang easy going dan down to earth. Orang yang senang tetapi tak menunjuk. Dia humble dan setia. Malah tak pandai bercinta dan tak pandai mengorat perempuan. Kehadiran Qiuzi akan meredakan suasana,” ujar Shukri tentang wataknya kali ini yang jelas menunjukkan sisi green flag seorang lelaki.
Drama terbitan Suhan Movies & Trading serta BamBam Studios yang disiarkan di Astro Ria, pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis, sejak 1 September lalu, berkisar tentang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (Down Syndrome) yang tidak diinginkan oleh ibu bapanya sendiri.
Rose Ameena merupakan watak penghidap Down Syndrome yang mana kelahirannya sangat tidak dimahukan oleh kedua orang tuanya sendiri. Malah dianggap sial sedangkan dia seorang anak yang berjiwa besar. Rose selalu dibuli di sekolah dan hanya mempunyai seorang kawan baik, Dewi.
Drama 20 epsod ini juga membawakan para penonton mengenai isu anak perempuan pertama menggalas tanggungjawab ibu bapa yang dekat dengan situasi masyarakat.

Bagi Nadhir Nasar pula, dia diberi peranan yang bertentangan dengan karakter Qiuzi. Dia melakonkan watak antagonis yang bernama Hayden Hayyan yang akan meresahkan jiwa penonton.
“Saya pun tidak faham kenapa orang labelkan Hayden Hayyan ini seorang yang red flag walhal dia seorang yang bertangggungjawab. Sebenarnya Hayden Hayyan ni anak mak, sebab tu dia jadi macam tu. Kena tengok drama ini dan anda akan tahu yang dia merupakan seorang yang sangat bertanggungjawab dengan keluarganya,” terang Nadhir.
Namun watak tersebut secara tak langsung membawakan satu permainan emosi buat Nadhir sebagai pelakon.
“Paling mencabar buat saya adalah seni dan marah. Dari episod ke episod, kita tidak boleh baca perjalanan dan roller coasternya sikap Hayden Hayyan, kadang tinggi dan kadang rendah. Itu cabaran di set untuk mengawal emosi,” ujar Nadhir lagi.
Seperti Shukri, dia juga tak sangka Naura dapat memberi kerjasama yang baik sepanjang berada di set.
“Saya meluangkan banyak masa dengan dia di set. Bila dia sudah kenal kita dan attitude kita, dia tahu bila waktu nak action dan cut. Dia tahu bila masa kita sedang berlakon. Senang bekerja dengan anak istimewa. Bukan cabaran malah merupakan satu berkat untuk kami semua,” ujar Nadhir.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









