Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS muncul sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39, lagu “Bukan Lagi Kita” ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh berjaya membawa Nadeera Zaini ke peringkat antarabangsa.
Kali ini Nadeera dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang berlangsung pada 13 September 2025 di Tsonjin Boldog, Mongolia.
Pemilihan tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian penting buat Nadeera, malah turut membuktikan kepercayaan tinggi pihak RTM terhadap bakat, kemampuan serta aura bintang yang dimiliki oleh artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu.
Di pentas berprestij tersebut, Nadeera mempersembahkan lagu hitnya “Bukan Lagi Kita”, yang melonjakkan namanya sebagai antara vokal terbaik generasinya, sekali gus memperkenalkan karya tempatan ke mata dan telinga khalayak antarabangsa.

“Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya. Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025.
“Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua. Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia.
“Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” ujar Nadeera.
Meskipun ini bukanlah kali pertama Nadeera menjejakkan kaki di pentas luar negara, di mana sebelum ini dia pernah membuat persembahan di Vietnam dan juga Indonesia. Namun, peluang kali ini membawa makna yang jauh lebih besar.
“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia di pentas dunia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat dan harapan peminat di tanah air. Kali ini, ia lebih istimewa kerana saya tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis-artis hebat dari seluruh Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara yang tersendiri.
“Terima kasih RTM atas kepercayaan ini, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya. Doakan perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti menyentuh hati sesiapa yang menonton,” katanya lagi.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









