Oleh: Khadijah Ibrahim
SEJAK mengadakan sidang akhbar untuk memberitahu bahawa mereka akan mengadakan konsert berskala besar, kumpulan 4U2C tak henti-henti dilanda kontroversi.
Biarpun begitu, 4U2C yang menggabungkan semula enam ahli asal iaitu Dato’ AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam tetap dapat menunaikan janji mereka untuk mengembalikan aura kehebatan 4U2C di pentas.
Selepas tiga dekad tidak beraksi di pentas besar, kumpulan rap legenda 4U2C berjaya mengubat rindu peminat apabila konsert We 4U2C berlangsung penuh meriah di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 15 September, baru-baru ini.

Membawa tema “Bringin’ Back Da 90’s Flava”, konsert itu mencatat kehadiran lebih 3,000 penonton yang teruja menyaksikan sendiri aksi bertenaga barisan ahli kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena hip hop Malaysia pada era 90-an.
Lebih dua jam membuat persembahan, 4U2C tampil dengan rangkaian lagu popular mereka yang digubah semula dengan susunan muzik lebih segar, lengkap dengan visual moden dan penceritaan perjalanan seni yang cukup menyentuh hati.
Menurut ketua kumpulan 4U2C, AC Mizal, dia bersama anggota lain begitu tersentuh dengan ribuan peminat yang hadir memenuhi arena pada malam tersebut.
“Kami benar-benar terharu melihat sambutan penonton. Inilah bukti muzik 4U2C masih dekat di hati mereka walaupun zaman sudah berubah. Terima kasih kerana terus menyokong,” katanya.

Malam penuh bersejarah itu turut diperkukuhkan dengan sentuhan magis komposer Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik yang berjaya meramu elemen nostalgia dan kontemporari menjadi sebuah persembahan mantap dan berkelas tinggi.
Lebih istimewa, persembahan pada malam itu turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan seperti kumpulan Res2, M’Steen dan A to Z, yang menghangatkan pentas dengan lagu popular mereka, sekali gus menambah warna pada malam penuh kenangan ini.
Konsert We 4U2C dianjurkan oleh Juss Events Sdn. Bhd. dan mendapat sokongan penuh daripada Millennium Group selaku penaja utama.
Sorakan dan laungan peminat sepanjang malam membuktikan bahawa legasi 4U2C masih utuh, malah konsert ini menjadi detik bersejarah kumpulan itu selepas sekian lama tidak beraksi bersama di pentas yang besar.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









