Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 28 September ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur, penyanyi Bilal Indrajaya dan Pamungkas akan menghibur peminat mereka sempena acara Panggung Purnama yang dianjurkan oleh UdaraLaskhar.
Bukan sekadar pemuzik dari seberang, malah wakil tunggal Malaysia pun ada untuk menjayakan Panggung Purnama iaitu kumpulan Fugo yang menyifatkan acara tersebut sebagai reunion manis untuk sepentas kembali bersama Pamungkas dan Bilal Indrajaya.
Wakil UdaraLaskhar, John Labu berkata, gabungan Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo, akan menarik perhatian peminat sekali gus menjadi konsert yang memiliki momen terbaik saat terlaksana kelak.
“Walaupun September mempunyai lambakan konsert, kami percaya Panggung Purnama akan sukses kerana produk yang dipersembahkan Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo mempunyai peminat dan kekuatan tersendiri,” kata John Labu dengan yakin.

Sementelah, Pamungkas atau nama penuhnya, Rizki Rahmahadian Pamungkas, 32, yang akan menjadi pemuzik headliner Panggung Purnama menyiapkan ‘hadiah’ istimewa buat peminat di Malaysia.
Menurut Pamungkas, untuk pertama kalinya, dia akan membawakan single terbaharu, “Sambung” yang dikeluarkan pada 12 September lalu di Panggung Purnama.
“Judulnya “Sambung”, itu single terbaharu saya yang dipasarkan 12 September lalu. Ya, sudah pasti saya akan dendangkan secara langsung di Panggung Purnama,” kata Pamungkas menerusi temu bual virtual yang berlangsung di Bijou Cafe, Ara Damansara baru-baru ini.
Selain “Sambung”, tentu sahaja Pamungkas akan membawakan ‘lagu-lagu kebangsaan’ miliknya yang telah lama menjalar dalam jiwa peminat.
Malah saat ditanya adakah peminat akan melihat Pamungkas bergabung dengan Bilal Indrajaya mengantikan Noh Salleh pada lagu “Yang Tercinta”, pemuzik itu menyambut baik.

“Ya, itu perlu saya minta izin dulu kepada Noh Salleh,” katanya ringkas. Lebih menarik, Bilal dan Fugo juga telah melakukan persiapan rapi untuk menjadikan Panggung Purnama sebagai konsert yang memberi momen tersendiri buat peminat.
Sementara Bilal Indrajaya atau Bilal Ahmad Indrajaya, 30, yang berasal dari Tangerang Selatan, itu cukup sinonim dengan lagu antaranya, “Biar”, “Ruang Kecil”, “Yang Tercinta” dan “ I Wish I Was Your Joke”.
Tidak hanya Pamungkas, Bilal juga pernah berkolaborasi dengan Noh Salleh menerusi lagu “Niscaya” dan “Ruang Kecil” bersama Romantic Echoes, menjadikan dia antara figura muzik yang dekat di hati peminat tempatan.
“Saya anggap ini seperti mini festival peribadi. Ini juga adalah peluang untuk menyatu semula dengan para pendengar yang telah menemani saya sejak awal perjalanan,”katanya.
Pada masa sama, peminat masih boleh dapatkan tiket dengan kategori Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) boleh diperoleh menerusi www.ilassotickets.com.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









