Syed Saddiq dan Bella Astillah turut hadir memeriahkan Malaysia Sarong Music Run.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KIRA-KIRA 15,000 peserta menyertai Malaysia Sarong Music Run (MSMR) anjuran Malaysia Marathon Official Sdn Bhd (Malaysia Marathon) yang berlangsung di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur pada 20 September, baru-baru ini.

Menariknya, MSMR yang diadakan sempena Hari Malaysia 2025 bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan sahaja tapi terbukti mampu merangsang industri pelancongan negara kerana turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta dari 26 buah negara.

Acara ikonik edisi ketiga itu yang dipacukan oleh JETOUR Malaysia sebagai ‘Penaja Utama’ dan ‘Rakan Kereta Rasmi’ turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MSMR kini dikenali sebagai sebuah festival inklusif yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, busana tradisional, makanan, muzik dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia itu disempurnakan oleh Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Siong. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah Mohd Sahrif.

Acara sebegini mampu merangsang industri pelancongan negara.

Presiden Malaysia Marathon merangkap Pengasas MSMR, Eddy Casmady berkata, MSMR kini berkembang sebagai acara masyarakat antarabangsa dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

“Meskipun baru tahun pertama MSMR diperkenalkan dengan tiga edisi, kami amat berbangga kerana ia bukan sekadar acara larian, malah kini diangkat sebagai festival masyarakat antarabangsa yang mempromosikan budaya dan warisan negara,” katanya.

MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 menawarkan tiga acara utama iaitu EKI JETOUR X BSC, perlumbaan berganti menggunakan sarong sebagai selempang yang berlangsung pada 9 September 2025.

Diteruskan dengan perlumbaan 5KM (5K Malaysia Speed) pada 20 September dan terbuka kepada rakyat Malaysia sahaja – menonjolkan bakat pelari rekreasi dan elit Malaysia. Pada hari yang sama sebelah petang, berlangsung kategori 5KM Fun Run – terbuka kepada semua, termasuk pelancong antarabangsa.

Acara ini turut menjadi platform pelancongan inklusif bertaraf antarabangsa yang seiring dengan usaha MOTAC mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus mengangkat MSMR sebagai ikon budaya dan gaya hidup Malaysia di mata dunia.

Eddy menambah, penggunaan sarong sebagai elemen utama di dalam acara itu turut mempromosikan kebersamaan antara generasi di dalam masyarakat, terutama membabitkan ahli keluarga yang menyertai acara larian bersama.

Di setiap check point ada acara yang dipersembahkan untuk menghibur peserta.

“Kita turut boleh melihat lautan manusia mengangkat satu elemen yang sama iaitu sarong, sebuah busana tradisi yang tidak asing di Malaysia di dalam MSMR Sempena Hari Malaysia 2025. Sekali gus, mencerminkan nilai kebersamaan dalam kalangan peserta,” ujarnya.

MSMR kali pertama diperkenalkan pada Februari lalu diadakan di Kuala Lumpur dengan 11,000 jumlah peserta. Kemudian edisi kedua, MSMR Edisi Sarawak diadakan di Matang, Kuching di Sarawak yang menarik lebih 5,500 peserta dan dibanjiri 20,000 orang pengunjung.

Manakala, Malaysian Marathon Official Sdn Bhd (Malaysia Marathon) Malaysia Marathon ialah sebuah syarikat penganjuran acara sukan dan gaya hidup yang komited dalam memupuk semangat komuniti, menghargai kepelbagaian budaya serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian dan berjalan kaki.

Malaysia Marathon merupakan penganjur rasmi bagi Anak Sarawak Night Run 2022, Anak Sarawak International Half Marathon (ASIHM21) 2024 serta Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025 yang diraikan sempena Hari Wilayah pada Februari dan Hari Sarawak pada Julai.

Berpandukan prinsip kecemerlangan, Malaysia Marathon sentiasa menganjurkan acara yang selamat, menarik dan berimpak tinggi dengan matlamat menyatukan komuniti di samping menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan sukan dan landskap budaya Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here