Tampil dengan wau bulan sebagai tanda dia menghargai budaya Malaysia.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU melangkah masuk ke ruang Mega Star Arena pada 21 September lalu, dalam hati penulis bertanya-tanya, kali ini berapa jam perlu aku duduk di sini untuk menonton konsert The Last Parade Tour oleh penyanyi rap dan komposer dari Korea Selatan, B.I.

Bukan apa, tahun lalu sewaktu menonton konsert solo pertama B.I 2024 Tour ‘Hype Up’ di Malaysia yang berlangsung di lokasi yang sama, hampir empat jam baru berakhir.

Rupa-rupanya, Kim Han-bin atau B.I apabila berada di pentas, memang tak ingat dunia, fokusnya adalah untuk menghibur peminat-peminatnya yang digelar ID (Be Identity).

Persembahan kali ini pun sama juga, nampak sangat yang B.I ikhlas mengadakan persembahan yang bermula pada jam 7.12 malam untuk menceriakan kira-kira 2,000 peminatnya yang hadir dan berakhir kira-kira pukul 9.45 malam.

Lagu-lagu dendangan B.I turut dinyanyikan sama oleh penonton.

Penyanyi berusia 29 tahun yang merupakan bekas anggota kumpulan iKON yang memulakan persembahan dengan lagu “Parade” sempat bertanya khabar dengan penonton yang hadir dan berkata, “malam ini saya akan pastikan anda semua tidak menyesal datang ke konsert saya”.

Apa yang pasti B.I telah mengotakan kata-katanya itu kerana sepanjang persembahan yang menampilkan pelbagai lagu hits dendangannya, penonton kelihatan terhibur dan turut menyanyi bersama.

Malaysia merupakan negara terakhir yang disantuni B.I sepanjang menjayakan konsert jelajah The Last Parade Tour yang bermula sejak Julai lalu di Korea Selatan. Kemudian diikuti di Macao, Taipei, Taiwan, Bangkok, Thailand, Ho Chi Minh City, Vietnam, Manila, Filipina, Jakarta, Singapura dan terakhir di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment.

Selain mendendangkan lagu-lagu solo, B.I turut menyanyikan lagu-lagu duet yang pernah dirakam bersama beberapa artis lain. Walaupun tanpa kehadiran pasangan duet, B.I tetap berjaya menghiburkan penonton dengan aksi yang tersendiri.

Antara lagu duet yang didendangkan pada malam tersebut adalah “BTBT”, yang dirakam bersama DeVita, “All Shook Up” (Agnez Mo), “Die For Love” (Jessi), “Ferris Wheel” (Heize), “Dare To Love” (Big Naughty) dan “Wave” (Kid Milli & Lil Cherry).

Apa yang membuatkan persembahan B.I tidak jemu ditonton adalah kerana vokalnya yang menarik dan setiap lagu yang diperdengarkan pasti diiringi dengan rentak tari yang serasi dengan karya tersebut.

Malaysia adalah lokasi terakhir bagi B.I menjayakan konsert jelajah The Last Parade Tour.

Hanya sebuah lagu sahaja B.I duduk di tangga tanpa menyanyi, sebaliknya seperti penonton, dia turut menikmati keindahan lagu

“Rainy Day”, lagu baharu yang berentak perlahan itu. Lagu tersebut berbeza dengan lagu-lagu lain yang setiap kali dia menyanyi, pasti B.I akan menari sama ada secara solo atau diiringi oleh dua penari latar.

Selalunya, kalau tiba pada segmen akhiran persembahan, peminat akan menjerit encore, encore yang membawa maksud lagi dan lagi. Selepas mendendangkan 30 buah lagu, penonton belum puas dan menjerit encore, encore.

Akhirnya, B.I keluar dengan gaya santai, memakai kemeja-T yang tertulis perkataan ID (merujuk kepada kelab peminat) sambil membawa sebuah wau bulan dan meneruskan persembahan dengan lagu “Re-Birth”.

Selepas lagu tersebut, B.I meneruskan persembahan dengan lagu “Romance” dan ketika itu dia dihulurkan sebuah bendera. Penulis sebagai penonton berkata, janganlah tersilap kibar.

Walaupun B.I membalut tubuhnya dengan bendera Malaysia, kedudukannya tetap betul, bukan seperti individu yang mengaku warga negara tapi tidak tahu kedudukan bendera itu dikibar atau dipasang dengan betul.

B.I turut turun dari pentas untuk menemui peminatnya secara dekat sambil berswafoto dan bersalaman. Keseluruhannya, persembahan B.I sangat bertenaga dan dia tidak ‘berkira’ untuk menghibur penonton lebih daripada 40 buah lagu yang jarang dilakukan oleh penyanyi solo lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here