Oleh: Khadijah Ibrahim
KEBELAKANGAN ini boleh dikatakan setiap minggu ada saja konsert yang berlangsung kerana ramai penganjur berlumba-lumba untuk menganjur acara tersebut.
Namun perlu diingat jika asyik menampilkan wajah yang sama saja, tak kiralah penyanyi itu popular tahap mana pun, sama ada artis tempatan atau dari Indonesia, ada ketikanya tempat kosong lebih banyak daripada bangku yang diduduki penonton.
Setakat ini, penulis hanya nampak kumpulan KRU saja yang berjaya menarik perhatian ramai penonton kerana selepas 10 tahun tidak mengadakan konsert berskala besar. ‘Kehilangan’ KRU di pentas membuatkan penonton yang kebanyakannya membesar dengan lagu mereka, rindu untuk melihat tiga beradik itu beraksi di pentas.
Tidak dinafikan kalau artis itu sering dipanggil untuk menjayakan persembahan, itu adalah rezeki mereka. Namun kalau setiap kali persembahan terutamanya untuk yang berskala besar, perlulah dibuat perubahan agar penonton tidak bosan.
Jika penyanyi tersebut tidak ada masalah dari segi vokal (menyanyi secara langsung) itu dikira keberuntungan, namun janganlah ambil mudah. Ketika di pentas, anda bukan sekadar penyanyi tapi seorang penghibur yang mampu membuat penonton tersentuh dengan persembahan tersebut.
Salah seorang artis yang kerap mendapat undangan menjayakan persembahan pentas yang berskala besar atau acara tertentu adalah kumpulan Exists yang dianggotai oleh Ujang (dram), Ajai (keyboard), Musa (bass), Along (gitar) dan Ezad (vokal).
Sebelum ini Exists yang popular dengan lagu ‘Langkah Seiringan’, ‘Masih Terserlah Ayumu’, ‘Alasanmu’ dan ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’ bersama penganjur JioBuddy telah mengumumkan, kumpulan tersebut bakal menjayakan konsert Exists Premium Live @ PJ pada 4 Oktober ini. Namun atas beberapa sebab tertentu, konsert tersebut ditunda kd 20 Disember 2025.
“Pemilihan tarikh baharu 20 Disember 2025 adalah persetujuan yang dicapai antara pihak JioBuddy dan Exists. Penundaan tarikh baharu ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya penganjuran Exists Premium Live @ PJ bukan sekadar sebuah persembahan pentas yang biasa ditonton tetapi sesuai dengan tajuk yang dibawa, ia mesti bersifat premium dan eksklusif,” ujar Sean Ng dari JioBuddy.
Kata Sean Ng, pihaknya tidak bimbang mengenai penundaan tarikh kerana percaya dengan piawaian Exists yang telah melahirkan banyak karya malar segar karya yang telah dicipta sejak akhir tahun 1991.
“Kami sedar Exists boleh dilihat ‘di mana-mana’ kerana permintaan terhadap kumpulan yang diasaskan di Johor Bahru ini cukup tinggi.
“Konsert mereka ‘back to back’. Secara logiknya juga, Exists akan memainkan lagu-lagu hit mereka sama seperti dalam kebanyakan persembahan atau konsert yang telah dilakukan.
“Bagaimanapun selaku penganjur, saya boleh memberi jaminan Exists Premium Live @ PJ akan bertaraf premium atau mewah seperti judul yang dipilih.

“Premium daripada segi permainan muzik, premium daripada segi audio dan premium buat peminat yang hadir kerana konsert ini bersifat lebih intim.
“Kerana itu kami bersetuju dengan tarikh baharu 20 Disember 2025 yang akan menjadi konsert penutup terbaik Exists di tahun ini,” ujar Sean Ng.
Bagi anggota Exists penundaan tarikh baharu tidak menjejaskan mereka malah memberi lebih banyak ruang untuk melakukan persiapan daripada segi teknikal.
Ikrar mereka sebagai pemuzik yang cukup berpengalaman adalah melahirkan erti persembahan mewah dalam Exists Premium Live @ PJ yang akan menjadi konsert berskala besar terakhir mereka tahun ini.
“Tarikh 20 Disember 2025 sangat sesuai buat Exists kerana memberi kami ruang untuk memperkemaskan dan mempersiapkan semua termasuk teknikal dengan lebih baik.
“Hal ini kerana Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap wang yang dikeluarkan untuk menyokong konsert kami. Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan peminat,” ujar Along.
Manakala Musa pula berpendapat, penundaan itu sekali gus memberi ruang kepada Exists untuk tampil dengan idea yang lebih kreatif bagi menghibur para peminat kelak.
“Exists juga mahu peminat rindu dan menjadikan Exists Premium Live @ PJ pada 20 Disember 2025 sebagai pesta menikmati persembahan premium kami,” tambahnya.
Maka untuk menikmati rasa premium yang dijanjikan penganjur dan Exists, peminat boleh mendapatkan tiket dalam beberapa kategori. Lebih mengujakan, 100 peminat bertuah akan memiliki peluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists.
Tiket dengan kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh didapati menerusi www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja).
Peminat yang telah membeli tiket masih sah untuk tarikh baharu. Sebarang pertanyaan mengenai tiket, sila hubungi e-mel: [email protected] atau Talian Hotline (WhatsApp sahaja)

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









