Oleh: Khadijah Ibrahim
KOS sara hidup sekarang amat mahal dan sebab itulah ramai orang di Malaysia dikategorikan sebagai golongan B40. Golongan B40 ialah 40% isi rumah dengan pendapatan terendah yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas dan hidup.
Wang amat diperlukan dalam kehidupan dan ada ketikanya demi meneruskan kehidupan, dalam keadaan terdesak cara mudah untuk mendapatkan wang adalah dengan membuat pinjaman daripada Along atau ‘Ah Long’.
Along atau ceti haram adalah terma yang merujuk kepada syarikat pinjaman wang yang tidak berlesen. Pinjaman Along lebih mudah, ringkas dan boleh segera dapat wang tunai, tidak memerlukan sebarang pemeriksaan kredit berbanding dengan pinjaman bank atau syarikat pinjaman wang yang berlesen.
Meminjam wang daripada Along akan mengakibatkan kehidupan anda dan keluarga terancam kerana Along adalah penjenayah. Wang yang dipinjam daripada Along didatangkan dengan faedah dan risiko yang tinggi.
Ramai yang memandang rendah terhadap risiko meminjam wang daripada Along. Mereka berpendapat bahawa selagi jumlah wang yang dipinjam adalah kecil dan dibayar dalam tempoh sesingkat yang mungkin, urusan pinjaman wang daripada Along boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Ketua Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM) Adam Mustapa berkata, setiap hari beliau menerima pelbagai aduan daripada mangsa pinjaman tidak berlesen ini.
Katanya, selain diugut, mangsa pinjaman Along ini juga dikerah melakukan jenayah dengan menyimbah cat dan mengganggu peminjam lain yang gagal membayar hutang.
Terbaharu, Adam berkongsi kisah pahit yang dialami oleh seorang mangsa pinjaman Along, Puan Siti (bukan nama sebenar) dan kes mangsa itu, bukanlah satu kisah baharu.
Adam yang berpengalaman lebih 20 tahun dan juga merupakan bekas gengster kini menggunakan segala pengalaman dan pengetahuannya bagi memastikan ancaman dan gangguan yang dialami mangsa akan dihentikan sepenuhnya.

Berkongsi kisah pahitnya itu, Puan Siti memberitahu yang awalnya, dia hanya ingin meminjam sebanyak RM8,000 sahaja selepas terbaca satu iklan.
“Mulanya saya nak pinjam RM8,000. Saya jumpa iklan di internet dan mula menghubungi tempat pinjaman tersebut. Dengan hanya mengemukakan salinan IC (kad pengenalan) dan beberapa maklumat diri seperti alamat kediaman dan maklumat kerja, lelaki bernama Thomas mengatakan permohonan saya diluluskan.
“Tetapi tiba-tiba saya berubah fikiran, tidak jadi meminjam. Thomas terus memujuk saya dan menawarkan saya wang pendahuluan atau test loan sebanyak RM600. Jika tak jadi boleh pulang balik katanya. Malas berfikir panjang, saya rasa nanti boleh pulang balik, saya pun okey saja.
“Dua hari tamat tempoh berfikir, test loan RM600 saya kembalikan. Saya transfer semula wang itu ke nombor akaun yang Thomas sertakan. Tapi selang beberapa jam, Thomas menghubungi saya semula mengatakan pihak HQ bagi tahu saya kena bayar RM5,000 termasuk bunga jika nak tutup akaun.
“Saya dimarahi apabila mempersoalkan. Merasa terganggu saya pun bayar RM5,000 tanpa berfikir panjang. Bila saya minta resit bayaran, Thomas berdalih dan tiba-tiba nombor saya dihubungi nombor lain yang memaksa saya bayar lagi RM5,000.
“Di peringkat inilah saya mula berasa takut dan tidak ketentuan. Suami mula tahu malah along berkenaan mengancam untuk menghebahkan perihal saya kepada ahli keluarga yang lain serta rakan-rakan pejabat.
“Kebetulan salah satu posting DM Perunding AhLong lalu di fyp TikTok saya. Kerana ingin mohon bantuan, saya hadir hari ini bersama suami ke pejabat DM,” kata Puan Siti yang terperangkap dengan ugutan hingga menjejaskan emosinya dan keluarga.
Berdasarkan cerita dan pengakuan Puan Siti tersebut, Adam menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati walaupun berada dalam keadaan terdesak memerlukan wang segera.
“Jangan ambil mudah jika anda berurusan dengan Along ini. Memanglah mereka dapat membantu anda dengan kadar segera tapi tanpa pengetahuan anda, ada yang maksud yang tersirat.
“Istilah “Ah Long” dipercayai berasal daripada budaya Cina, kerana sering digunakan untuk merujuk kepada individu yang memberi pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi.
“Namun, dalam konteks masyarakat Malaysia, Along menjadi lebih terkenal dengan kebangkitan masyarakat yang memerlukan wang dengan cepat tetapi tidak mempunyai pilihan lain.
“Peminjam yang mendapatkan bantuan daripada Along biasanya terdiri daripada mereka yang berada dalam situasi kewangan yang kritikal dan tidak mempunyai akses kepada pinjaman daripada institusi kewangan formal,” ulas Adam.
Tambah Adam lagi, pihak DM sedia membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah mereka dengan Along tapi ada syaratnya.
“Pihak DM sedia membantu, tapi dengan syarat mesti mengikuti kelas Pengajian al-Quran dan fardu ain yang kami tawarkan secara percuma selain berjanji tidak akan meminjam dengan along selain tidak tinggalkan solat,” katanya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









