Oleh: Khadijah Ibrahim
SEJARAH mungkin berulang lagi apabila kumpulan KRU bakal mengadakan Konsert GenKRU The Finale One More Time pada 22 November 2025 sebagai penututp untuk empat siri konsert GenKRU yang diadakan sebelum ini.
GenKRU The Finale One More Time yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil itu merupakan penganjuran kelima yang diadakan pada tahun ini selepas empat konsert yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil mencetak sejarah terhebat industri muzik tempatan.
Menerusi penganjuran empat hari yang ‘full house’, konsert ini telah mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) Most Show in a Single Concert Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour
Lebih mengujakan penganjuran GenKRU The Finale One More Time adalah atas maklum balas yang cukup memberangsangkan dalam kalangan peminat selain penaja yang sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama.
Ketua Pegawai Eksekutif Icon Entertainment, Iman Tang, berkata Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di ibu negara menjadi pilihan bagi merealisasikan konsert tersebut yang dirancang berskala lebih besar dari segi produksi serta persembahan.
“Benar, kami telah ‘berhari raya’ selama empat hari sebelum ini dan tidak salah rasanya konsert ini dilakukan sekali lagi – finale – kali terakhir. Kerana apa?
“Kerana permintaan melihat KRU beraksi dalam sebuah konsert berskala besar sangat tinggi. Sejak penganjuran pada bulan Mei, Icon Entertainment terus ‘didesak’ untuk membawa KRU kembali ke pentas,” jelasnya.
Iman menyifatkan penganjuran konsert di Malaysia sudah mula mengikut rentak trend penganjuran global dan ia adalah satu perkembangan yang positif.

“Jika kita lihat trend penganjuran konsert global sekarang banyak melebihi satu hari. Malah ada sehingga seminggu. Trend sebegitu mula mengalir dalam penganjuran konsert di Malaysia. Bukan hanya Icon Entertainment tetapi rakan penganjur lain juga dengan senang hati menambah penganjuran konsert apabila menerima permintaan tinggi.
“Trend penganjuran ‘berhari-hari’ ini membuktikan betapa industri hiburan Malaysia kini berada pada tahap yang baik – ada permintaan dan permintaan itu dilunaskan penganjur. Buktinya penganjuran GenKRU The Finale One More Time. Bagaimana ia boleh tercetus? Kerana terdapat permintaan yang tinggi,” katanya pada pengumuman konsert GenKRU The Finale One More Time pada 29 September, baru-baru ini.
Jelas Iman, selepas kejayaan empat konsert yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil, pihaknya mendapat maklum balas ramai mencadangkan supaya konsert GenKRU ini diadakan di luar Kuala Lumpur, namun terdapat banyak faktor perlu diambil kira.
“Selepas berbincang, kami memutuskan untuk menganjurkannya semula di ibu negara dengan skala penerbitan yang lebih besar dan tentu sahaja bertambah baik.
“Trio KRU juga sependapat tetapi bukan bermakna kami ‘downgrade’ atau enggan jelajah ke negeri lain, cuma perlu banyak pertimbangkan perkara lain kerana kita mahu buat sesuatu yang mega,” katanya yang mengutamakan kualiti untuk setiap konsert yang dianjurkan.
Tambah Iman, konsert yang bakal disajikan itu nanti juga akan memberikan pengalaman berbeza kepada 12,000 penonton di gelanggang terbabit.
“Kami enggan mengulangi perkara sama kerana penonton kini semakin bijak menilai. Banyak idea sebenarnya dalam kepala yang akan diperincikan secara bersama-sama.
“Sebenarnya saya agak bosan dengan situasi sebegitu. Sudah tentu, dengan KRU yang sentiasa lapar dengan idea baharu, kami saling melengkapi.
“Boleh sahaja kami ulang formula sama, tetapi tentu sahaja membosankan. Saya tahu trio bersaudara itu juga mempunyai banyak ilham yang ingin diterjemahkan,” ujarnya.
Sementara itu, KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry menyifatkan penganjuran konsert kali kelima ini sebagai inisiatif yang baik dan menunjukkan industri hiburan yang sihat.
“Sejujurnya, KRU tidak pernah terfikir akan ada hari kedua, ketiga, apa lagi sehingga kelima dengan genKRU The Finale One More Time. Namun kami melihat ia sebagai tanda yang baik, yang positif dan bukti bahawa pemuzik lokal tidak pernah menjadi anak tiri dalam penganjuran konsert.
“Memikirkan tentang impak positif itu KRU bersetuju dengan penganjuran genKRU The Finale One More Time kerana kami mahu rakan penganjur, calon penaja dan rakan pemuzik lainnya tidak takut kerana kita yang menjadi gamechangers kepada industri sendiri,” ujar Norman mewakili KRU.
Tambah Norman, mereka ingin membawa pengalaman ketika Konsert GenKRU yang berlangsung pada Mei lalu di lokasi luar atau di gelanggang terbuka.
“GenKRU kali ini boleh diibaratkan sebagai ‘re-imagine’ dari lokasi tertutup ke gelanggang terbuka, dengan skala yang lebih besar berbanding GenKRU di Axiata Arena sebelum ini.
“Kami berhasrat untuk ‘raise the bar’. Ini satu penghormatan besar bagi kami apabila dapat menjadi artis solo mengadakan konsert di lokasi ini.
“Soal repertoire persembahan, sudah pasti semuanya akan ada penambahbaikan kerana KRU adalah penghibur. Kita tak mahu buat benda sama,” katanya.
Bagi tempahan tiket, kaunter akan dijual pada harga RM188 hingga RM558 bermula 3 Oktober ini, pukul 2 petang di https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









