Sudah tiga tahun Erra Fazira menjadi duta untuk produk Captain Dolphin.

Oleh: Khadijah Ibrahim

POPULARITI seseorang artis sekali gus akan menarik perhatian syarikat pengeluaran produk untuk bekerjasama dengan mereka untuk menjadi duta produk berkenaan.

Pengeluar percaya dengan menampilkan wajah jelita atau kacak selebriti tersebut di produk atau memaparkan wajah mereka di papan iklan, barangan yang dijual akan meningkat jualannya.

Namun bagi pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 51, jika wajah selebriti sahaja yang ditonjol untuk melariskan jualan, produk tersebut tidak mampu bertahan lama. Baginya, yang paling utama adalah perlu ada kerjasama antara pengeluar dan duta yang dilantik untuk memastikan jualan produk terus melonjak.

Selain itu, Erra yang mendapat jolokan Primadona Malaysia itu mengakui beliau ada prinsip tersendiri sebelum bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu melantiknya sebagai duta atau wajah produk mereka.

“Memanglah ‘masyuk’ kalau jadi duta tapi saya tidaklah gelap mata. Perkara pertama yang saya akan pastikan adalah saya kena kenali produk dan perlu suka produk tersebut. Macam dengan Captain Dolphin, keluaran Happy Alliance (M) Sdn Bhd ini, sewaktu ditawar, bos dia kata Konjac Jelly (produk) popular di Korea waktu itu.

“Saya tak pernah tahu dan minta untuk cuba rasa dulu. Konjac ini macam sumi yang kita makan sejak kecil lagi tapi in better version. Saya rasa okey dan bila semak ada logo halal. Dia tunjuk juga sejarahnya, kilangnya menerusi gambar.

“Selepas membuat sedikit penyelidikan, saya nampak okey dan lepas tu baru berjumpa dengan Mr dan Mrs Tan. Lepas bincang-bincang saya setuju untuk bekerjasama dengan mereka,” cerita Erra tentang kerjasamanya dengan Johnny S.C. Tan sewaktu pihak media berkunjung ke Tanjung Sepat, Selangor, baru-baru ini.

Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan duta produk Captain Dolphin.

Kehadiran Erra dan pihak media ke situ adalah untuk meraikan pelancaran produk baharu dari Captain Dolphin dan perisa baharu Konjac Jelly iaitu Cola, Calamansi dan Caramel. Lain-lain produk yang turut diperkenalkan adalah Magic Balls, Pudding Yogurt, Crystal Ball, Crystal Bubble, Coco Cube, Nata De Coco dan Jelly Yogurt.

Erra akui, beliau sangat beruntung dapat bekerjasama dengan Captain Dolphin, pemiliknya seorang yang berfikiran terbuka dan baik. Malah usahawan itu melayannya seperti ahli keluarga.

“Bosnya Mr Tan, dia sangat open minded dan baik. Dia layan kita macam adik. Dia selalu tanya, apa perisa yang boleh dibuat lagi. Dia selalu cadangkan kepada kita untuk pelbagaikan kegunaan konjac ini yang boleh juga dijadikan ubat-ubatan.

“Selain makanan, konjac ini boleh juga dijadikan face mask. Dia pula yang beri cadangan kepada kita untuk buat apa saja dan dia sentiasa sokong. Dia beri kita semangat untuk nak berniaga seperti dia dan bersedia untuk membantu.

“Kadang-kadang dia tanya apa lagi produk yang nak dikeluarkan atau untuk tambah baik produk yang ada. Saya sangat berbesar hati kerana dia pernah bawa saya pergi ke Guangzhou untuk mencari material barang kilang.

“Dia very family man dan dia bawa kita dalam family dia. Dah tiga tahun saya bersama Konjac Jelly dan Captain Dolphin rasa macam tiga tahun bersama keluarga. Saya dah banyak jadi duta untuk produk-produk lain tapi untuk produk ini mereka layan kita seperti famili.

“Mr dan Mrs Tan dengan anak-anaknya, kadang-kadang buat video call anaknya yang study kat over sea. Mereka buat saya seperti ahli keluarga, saya tak rasa seperti bekerja. Sebab itu bila mereka suruh datang ke kilang, saya tak ada masalah. Kita nak mereka gembira dengan kita dan kita pun gembira dengan mereka.

“Dia selalu perkenalkan kawan-kawan dia dari China atau Dubai. Dia sangat berbesar hati memperkenalkan kita kepada rakan-rakannya. Ini satu yang saya rasa berbesar hati kerana sebagai orang Malaysia, tidak ada isu yang pelbagai, semua bersama.

“Saya belajar daripada mereka, persatuan perniagaan mereka macam mana memberi sokongan antara satu sama lain. Saya harap kita pun boleh ambil apa yang baik daripada mereka. Contoh yang baik kita ambil, mereka menyokong antara satu sama lain. Mereka seperti piramid, sokong antara satu sama lain. Dari sudut berniaga mereka memang bagus,” cerita Erra tentang pengalamannya sepanjang bekerjasama dengan usahawan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here