Filem "3 Hajat" ditayangkan di 70 buah pawagam di seluruh negara sejak 2 Oktober lalu.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI yang suka menonton wayang, jangan lupa untuk menjengah ke pawagam sekarang ini kerana filem “3 Hajat” arahan Zul Huzaimy sedang ditayangkan di 70 pawagam di seluruh negara sejak 2 Oktober lalu.

Filem yang menampilkan lakonan hebat daripada pelakon ternama, Eman Manan, Amerul Affendi, serta pelakon baharu, Iman Aneesa itu mampu membuat penonton teruja kerana ia sarat dengan nilai kekeluargaan, kasih sayang, penyesalan dan pengharapan yang dekat dengan hati setiap insan.

“3 Hajat” mengisahkan perjalanan Awang (lakonan Eman Manan), seorang bekas banduan yang berlawan dengan masa akibat penyakit kronik, untuk menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq (lakonan Amerul Affendi).

Namun, hubungan itu jauh daripada mudah kerana Tawfiq sendiri bergelut dengan tekanan hidup dan sejarah hitam yang membelenggu jiwanya.

Zul Huzaimy turut berlakon sebagai Mamat dalam filem “3 Hajat” arahannya itu.

Menurut Zul Huzaimy, “3 Hajat” bukan sekadar sebuah filem bergenre drama biasa, tetapi satu eksplorasi tentang penebusan, perdamaian dan ikatan kekeluargaan yang disampaikan dalam kualiti sinematik.

“Filem ini mengangkat dua watak anti-hero dengan sisi gelap masing-masing, yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil,” jelasnya tentang filem yang berlatarbelakangkan keindahan perkampungan nelayan di Terengganu dan turut turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Sementara itu, Astro Shaw, selaku penerbit bersama, KRU Studios berharap kerjasama antara mereka akan berterusan dan bakal menerbitkan lebih banyak karya lagi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad selaku penerbit “3 Hajat” berkata, hubungan Astro Shaw dan KRU Studios telah terjalin lebih sedekad menerusi beberapa projek dan keserasian itu diteruskan dengan filem “3 Hajat”.

“Mempertaruhkan kisah yang dekat dengan masyarakat kita, kami yakin genre drama seperti ini mampu memikat hati penonton, apatah lagi dengan jalan cerita, kualiti visual serta gaya pengarahan yang kemas.

“Istimewanya lagi, “3 Hajat” digerakkan oleh gandingan hebat bintang senior Eman Manan dan pelakon versatil Amerul Affendi yang mempamerkan persembahan luar biasa,” katanya.

Tambah Raja Jastina, KRU Studios yang sinonim dengan kekuatan teknikal dan teknologi, manakala Astro Shaw menerusi aset, pemasaran dan tenaga kreatif. Justeru pihaknya, mengharapkan sinergi ini mampu mencipta impak bermakna kepada industri.

Manakala, Penerbit Eksekutif mewakili KRU Studios, Dato’ Norman Abdul Halim mengakui filem “3 Hajat” merupakan satu detik bersejarah buat KRU Studios kerana ia merupakan filem bergenre drama eksperimental pertama mereka.

“Kami berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu filem sebegini setahun dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional, sambil menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti di Malaysia.” ujar Norman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here